Monday 3 March 2014

Guan Eng pertahan pembinaan terowong dasar laut

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tampil mempertahankan tindakan kerajaan negeri membina terowong dasar laut bernilai RM6.3 billion yang menghubungkan Persiaran Gurney dengan Bagan Ajam di Seberang Prai.
Beliau melahirkan rasa hairan dengan kritikan mengenai pembinaan terowong dasar laut, ekoran pembukaan rasmi jambatan kedua Pulau Pinang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.
Kerajaan negeri sebelum ini memberi alasan bahawa terowong itu perlu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di pulau berkenaan.
Beberapa ulasan di media pro-kerajaan bagaimanapun mendesak kerajaan negeri mengkaji semula pembinaan terowong yang bakal menjadi penghubung ketiga antara Pulau Pinang dan semenanjung.
"Amat jelas laluan ketiga iaitu terowong dasar laut antara Persiaran Gurney dan Bagan Ajam selain dapat mengurangkan kesesakan dalam pulau, ia dilihat sebagai mekanisme yang mengubah pembangunan dan menjana ekonomi di Seberang Perai Utara," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Jarumemas: Perbelanjaannya sudah pasti menelan berbilion ringgit. 

Saya isytihar RM1 bersamaan US$1 jika menang di Kajang, kata Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sekali lagi menjawab tuduhan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa satu undi kepada dirinya ibarat memberikan undi kepada Amerika Syarikat.
Calon PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang itu berseloroh jika beliau menang dalam pilihan raya kecil (PRK) itu maka RM1 akan diisytiharkan bersamaan US$1.
"Menang sahaja saya, saya isytihar RM1 bersamaan US$1 di Kajang. Saya dah 15 tahun dihamun setiap malam. Siapa ahli politik paling banyak kena maki. Sayalah," katanya dalam satu majlis Dialog Anak Muda di Seremban hari ini.
Pertengahan bulan lalu, Dr Mahathir memberi amaran kepada rakyat supaya tidak memilih Anwar sekiranya tidak mahu melihat Malaysia menjadi kerajaan pro-Amerika Syarikat.
Bekas perdana menteri itu berkata, Malaysia akan menjadi sebuah negara pro-Amerika jika Anwar diberikan peluang berada di tampuk kuasa.

Jarumemas: Amekau!! Sudah terang lagi bersuluh. Habislah Malaysia akan dijual!!!

Politik air di Selangor, siapa bakal kuyup?

Sejak Menteri Besar Selangor menandatangani memorandum persefahaman atau MoU secara tergesa-gesa dengan kerajaan pusat yang menyaksikan pertelingkahan yang berlarutan sejak lebih lima tahun lalu menemui titik penyelesaiannya, gelora politik di negeri paling kaya dan menjadi rebutan antara BN dan PR seolah-olah memasuki gerbang baru yang makin sukar diramalkan.
Ia bukan saja kerana MoU itu ditandatangani secara terburu-buru dan di luar pengetahuan pimpinan PR terutamanya Anwar Ibrahim yang merupakan Penasihat Ekonomi negeri itu, malahan ia kemudian disusuli dengan tindakan Khalid Ibrahim mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR menentang penyandangnya sedia ada, Mohamed Azmin Ali.
Segala-galanya kini tergantung kepada penyelesaian yang bermula dengan isu air di Selangor. Sama ada BN atau PR, Najib atau Anwar, Khalid atau Azmin – salah satunya akan basah dan mungkin kuyup kerana isu air ini. 
Oleh Shahbudin Husin
Sumber: The Malaysian Insider
Jarumemas: Gajah sama gajah berjuang pelanduk mati di tengah-tengah. 

Cukai tinggi klia2 kurangkan penumpang, keuntungan syarikat tambang murah

Berdepan dengan bahang kekurangan keuntungan, syarikat penerbangan tambang murah Malaysia dijangka akan kehilangan lebih ramai penumpang jika cadangan caj perkhidmatan penumpang antarabangsa (PSC) di lapangan terbang baru klia2 sama seperti RM65 yang dikenakan KLIA pada ketika ini, kata penganalisis dan sumber.
The Malaysian Insider difahamkan, pegawai syarikat tambang murah itu sudah diberitahu untuk bersedia dengan PSC sebanyak RM65, sekali ganda daripada RM32 yang dikenakan di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) oleh pengendali Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Syarikat penerbangan tambang murah yang menggunakan LCCT adalah AirAsia, AirAsia X dan Cebu Pacific Air.
“Mereka bercakap tentang kadar menghampiri atau menyamai RM65 dalam taklimat kepada penganalisis,” kata seorang penganalisis kepada The Malaysian Insider dan menambah ini dapat membantu MAHB menampung kos penangguhan pembinaan klia2 dengan lebih cepat.
Terminal tambang murah klia2 dijadualkan dibuka pada 2 Mei, setahun selepas ditangguhkan dengan Putrajaya dan MAHB bertegas ia dapat dibuka pada tarikh dijangka siap yang baharu.
“Tahun ini sudah menjadi sukar bagi syarikat tambang murah di LCCT yang sesak dan PSC lebih tinggi di klia2 akan menyebabkan penerbangan biasa dan penerbangan tambang murah sama sahaja.
"Jadi penerbangan mana yang penumpang akan pilih? Sudah tentu penerbangan biasa yang menawarkan perkhidmatan penuh,” kata satu sumber industri penerbangan kepada The Malaysian Insider.

Jarumemas: Kalau dah dinamakan lapangan terbang antarabangsa sudah tentulah harga barangannya mahal....

Jalan jauh untuk ekonomi Islam di M'sia


Konsep ekonomi Islam masih jauh untuk dicapai negara ini selagi institusi Islam tidak bebas dari kerenah birokrasi kerajaan.

Pemikir Islam terkenal Dr Mohd Asri Zainal Abidin memberi contoh industri halal yang hanya diberikan kuasa kepada satu agensi kerajaan sahaja sehingga menyukarkan perkembangan perniagaan khusus untuk orang Islam.

"Fakta harus kita terima, apabila agama ada di bawah kuasa negeri, kita tidak bebas, apa kita nak buat kena minta izin," kata beliau dalam Wacana Sinar Harian bertajuk “Bagaimana Ekonomi Islam Mampu Kawal Pasaran” di Shah Alam semalam.

Pengerusi Dewan Perniagaan Islam Malaysia Tan Sri Ali Hashim pula mencadangkan satu sistem institusi “wakaf korporat” bagi mengambil alih GLC atau syarikat milikan Melayu Islam yang menggunakan dana awam.


Jarumemas: Umat Islam perlu bangkit dari zon selesa mereka bagi meningkat ekonomi umat Islam. Kerajaan telah sedikit banyak membantu masyarakat Islam supaya maju dalam bidang ekonomi, namun malangnya, ramai umat Islam enggan menyambut bantuan yang disalurkan. 

Anwar: Dakwaan gaduh dengan MB cuma rekaan


Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menyokong sepenuhnya kerjasama antara kerajaan negeri Selangor dan kerajaan persekutuan dalam isu penstrukturan semula air.

Justeru Anwar menolak tanggapan bahawa beliau bermasam muka dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dan tidak tahu menahu kandungan Memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai Selasa lalu.

"Saya sokong sepenuhnya dasar (itu). Saya terlibat, cuma bila orang tanya mengenai MOU, saya kata memang tak tengok MOU.

“Saya bukan Umno, (saya) kena tengok dulu (MOU) itu," kata beliau dalam ceramah di Taman Saga Emas, Kajang semalam.


Jarumemas: Kaki putar alam akan cari pelbagai alasan untuk melepaskan tengkuknya....

DPIM: Rasuah punca kos sara hidup naik


Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata rasuah merupakan punca utama kenaikan kos sara hidup dan barangan di negara ini.

Beliau berkata, penting bagi rakyat menentang monopoli perniagaan serta budaya korupsi yang menebal dalam sistem perniagaan di negara ini supaya sebaran kekayaan lebih menyeluruh dan adil.

“Jihad (lawan) korupsi lebih penting daripada jihad (lawan) orang tengah, ini kerana ramai orang Melayu dan Islam berjaya menjadi orang tengah dalam pasaran.

“Jihad perangi monopoli juga pula diberi perhatian dengan berteraskan strategi bisnes dan mengelak ia didorong ketamakan,” kata beliau dalam Wacana “Bagaimana Ekonomi Islam Mampu Kawal Pasaran” anjuran Sinar Harian semalam.


Jarumemas: Rasuah masih berleluasa walaupun pihak SPRM telah melakukan pelbagai cara dan kesedaran bagi mengingatkan orang ramai mahupun pihak berkepetingan agar jauhi gejala ini.