Wednesday 5 December 2012

Ku Li mahu cukai tinggi ke atas kereta mewah dan pengurangan subsidi petrol secara berperingkat

KUALA LUMPUR, 4 Dis — Subsidi petrol perlu dikurangkan secara berperingkat dan cukai bagi kenderaan yang mempunyai enjin kapasiti besar perlu ditingkatkan, kata bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah hari ini.

Beliau berkata, subsidi petrol “membebankan kewangan kerajaan” disamping menjadi halangan kepada pengagihan sumber dengan baik, Tengku Razaleigh berkata: “Kita tidak boleh hidup dengan petrol murah sampai bila-bila.”

“Kita boleh cari jalan untuk transisi dalam penurunan kadar subsidi,” kata ahli parlimen Gua Musang itu.
Beliau mencadangkan pemilik kereta besar harus membayar cukai yang lebih tinggi untuk membantu penurunan subsidi.

“Untuk melindungi pengguna pendapatan sederhana, mungkin kita boleh mulakan dengan pemotongan subsidi kepada kenderaan besar melalui kenaikan cukai jalan,” katanya semasa ucaptama di National Economic Outlook Conference MIER 2013-2014 di sini hari ini.

“Dalam masa yang sama, subsidi petrol diturunkan perlahan-lahan,” katanya lagi.

Minggu lalu, ketua pegawai eksekutif PEMANDU Datuk Seri Idris Jala berkata kerajaan persekutuan akan terus memotong subsidi, tetapi akan dilakukan secara berperingkat-peringkat pada masa yang lebih panjang.
Idris yang juga menteri di jabatan perdana menteri, berkata fokus kerajaan ialah untuk menangani kebimbangan rakyat mengenai kenaikan kos barangan.

Beliau turut berkata kerajaan tidak melupakan rancangannya untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan dengan memotong subsidi.

Malaysia memberi subsidi kepada beras dan gula, tetapi terdapat kebimbabgan tentang ketirisan dana akibat penyeludupan barangan tersebut ke negara jiran.

Di bawah Bajet 2013 yang diluluskan baru-baru ini, subsidi bagi gula akan dikurangkan kepada RM0.20 sen sekilogram, tetapi masih memerlukan RM278 juta untuk mengekalkan subsidi RM0.34 per kilogram.

Sumber: Malaysian Insider

Jarumemas: Satu cadangan yang baik yang perlu dilihat dan dikaji oleh kerajaan.

Indonesia memberitahu rakyatnya tidak pilih Malaysia untuk jadi pembantu rumah

KUALA LUMPUR, 4 Dis — Jakarta hari menasihatkan rakyatnya tidak harus bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia berikutan kes layanan teruk melibatkan warganya yang semakin meningkat.

Jakarta hari menasihatkan rakyatnya tidak harus bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia berikutan kes layanan teruk melibatkan warganya yang semakin meningkat.
 
 
“Pihak pemerintah Malaysia harus ambil tindakan tegas, atau lebih baik
pembantu rumah dari Indonesia tidak bekerja di Malaysia.

“Mereka (Malaysia) mahu pembantu rumah dari Indonesia, tetapi mereka tidak boleh melindungi pembantu rumah dari negara kami,” kata Suryana Sastradiredja, jurucakap kedutaan Indonesia yang dilaporkan AFP.

Sabtu yang lalu, jabatan imigresen menyelamatkan 105 pekerja asing yang dikurung dalam agensi pembantu rumah di Bandar Baru Klang.


Berita lanjut....

Jarumemas: Majikan Malaysia juga tidak perlu terhegeh-hegeh mengambil warga Indonesia sebagai pembantu. Hantar aje anak ke nurseri di mana kini semakin ramai rakyat Malaysia yang sudah terlatih dalam hal menjaga anak-anak kecil.

SPR: Petugas media boleh mengundi melalui pos

Semua petugas media yang diperakukan oleh majikan sebagai petugas yang dikehendaki bertugas di luar kawasan pendaftarannya pada hari mengundi untuk membuat liputan pilihan raya dan perkara-perkara berkaitan dengannya, layak untuk mendapat kemudahan mengundi secara pos dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) akan datang.
   
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata kemudahan mengundi secara pos adalah berdasarkan permohonan yang diterima daripada mereka kepada pegawai pengurusan bahagian pilihan raya di mana mereka didaftarkan.
   
Wartawan dan jurufoto ialah antara 112 kategori petugas yang disenaraikan layak mendapat kemudahan itu. Kategori lain antaranya pereka grafik, jurutera siaran luar, pengurus teknikal, juruteknik, juruelektrik, penerbit, pembantu skrip, pemandu dan pekerja am.
   
Kamaruddin berkata demikian pada sesi penerangan kepada media berhubung kemudahan itu di ibupejabat SPR di Putrajaya hari ini.

Berita lanjut....

Jarumemas: Mengundi walau di mana kita berada selagi hayat dikandung badan.

Syed Hamid: Masyarakat India perlu terus sokong BN

Masyarakat India perlu terus menyokong BN yang sudah ternyata mampu membela rakyat, kata pengerusi BN Bahagian Kota Tinggi, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata tiada alasan untuk mereka memilih pembangkang yang hanya bercita-cita menawan Putrajaya.

Kerajaan BN, katanya, telah menyediakan pelbagai keperluan masyarakat India termasuk dalam bidang pendidikan, ekonomi dan usaha menaiktaraf kehidupan mereka.

"Apa yang perlu, ialah kita bersama-sama bekerja kuat, saling membantu supaya jangan ada dalam kalangan kita yang ketinggalan, yang tidak dapat menikmati kemajuan, berhadapan dengan kesusahan dan kemiskinan," katanya pada majlis penyampaian sumbangan sempena sambutan Deepavali di Pejabat MIC Bahagian Kota Tinggi di Kota Tinggi, malam tadi.

Berita lanjut....

Jarumemas: Janganlah jadi seperti lalang ditiup angin.

Dr M: Ambil iktibar negara tak laksana pemerintahan demokratik

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat Malaysia perlu mengambil pengajaran daripada negara yang tidak dapat melaksanakan pemerintahan secara demokratik kerana rakyat taksub kepada pemimpin.

Keadaan itu, katanya berlaku kerana rakyat mengundi semata-mata berdasarkan perasaan tanpa menggunakan pemikiran sehingga negara menuju kehancuran.

"Sebagaimana penyokong parti PAS, walaupun pemimpin mereka jelas menyatakan sesuatu yang bertentangan dengan agama, tetapi kerana PAS parti dia, dia sokong kerana emosi dan taksub," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Ketahanan Nasional kali ketiga yang dianjurkan oleh Universiti Utara Malaysia di Ayer Keroh di Melaka hari ini.

Dr Mahathir berkata parti pembangkang di negara ini tidak mempunyai haluan dalam gabungan mereka berbanding BN yang bersepakat dan mempunyai organisasi serta matlamat dalam membentuk kerajaan.

Beliau berkata pakatan tiga parti iaitu PAS, DAP dan PKR tidak ada satu haluan dan kesepakatan, misalnya PAS yang mahu melaksanakan kerajaan Islam dan PKR yang mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Ketika ditanya sama ada kini adalah waktu yang terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum, beliau berkata ia bergantung kepada penilaian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya nampak semangat baik sekarang ini, kita perlu rapatkan barisan kita supaya kita dirikan sebuah kerajaan yang kuat dengan majoriti dua pertiga," katanya.

-Bernama 

Jarumemas: Mengapa perlu letakkan Anwar sebagai PM? Semua yang haram akan dihalalkan...

JPJ S'gor: AES untuk selamatkan nyawa

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Adenan Md Isa mahu orang ramai memahami bahawa pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) lebih bertujuan kepada menyelamatkan nyawa.

Malaysia, katanya, mencatatkan purata 20 kematian sehari akibat kemalangan jalan raya dan AES juga bukan bertujuan menghukum atau mencari salah pengguna jalan raya sebaliknya memastikan keselamatan sentiasa diutamakan.

Beliau berkata terdapat banyak kemalangan jalan raya membabitkan mereka yang tidak bersalah sebaliknya ia berpunca daripada kecuaian pengguna lain terutama ketika berada di lampu isyarat.

"Ada yang berhenti di lampu isyarat atau bergerak sebaik lampu bertukar hijau, namun kenderaan lain yang cuai dan melanggar peraturan menyebabkan mereka terbabit sama dalam kemalangan yang adakalanya mengundang maut," katanya pada sesi taklimat mengenai AES di Kompleks JPJ Selangor di Shah Alam hari ini.

Berita lanjut...

Jarumemas: Sudah nampak ada perbezaan cara pemanduan masyarakat kita sejak AES dipasang.

Dr M: '...Marah tak sampai tahap nak tembak, bunuh'

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun terdapat perbezaan politik di Malaysia, ia tidak menjejas kestabilan dan pembangunan negara.

Malah keadaan ini membenarkan kerajaan yang dipilih membangunkan negara ini dalam tempoh 55 tahun sehingga lebih baik dan mencapai kemajuan ekonomi menakjubkan berbanding negara yang mencapai kemerdekaan sama dengan Malaysia, katanya.

"Walaupun kita (kerajaan) marah kepada parti lawan (pembangkang) dan parti lawan marah kepada kita, tapi ia tidak sampai tahap nak tembak bunuh. Itu bukan budaya kita.

"Oleh itu, kita harus kekalkan. Kalau ada masalah, kita berbincang dan berdebat dalam Parlimen," katanya pada majlis makan malam merai tiga anggota Dewan Negara yang tamat tempoh lantikan di Bangunan Parlimen malam ini.

Mereka ialah Dr Ramakrishnan Suppiah (DAP), Dr Syed Husin Ali (PKR) dan Datuk Maijol Mahap, bekas Naib Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) yang mengumumkan keluar parti itu dan BN pada Ogos lepas bagi menyertai pembangkang.

Mereka dilantik selama sepenggal, iaitu sejak 2009.

Dr Mahathir juga berkata ini berbeza dengan beberapa negara lain yang menyaksikan pergaduhan serta pembunuhan berlaku dalam Parlimen hanya kerana perbezaan pendapat politik.

"Atas faktor itu, rakyat Malaysia harus bersyukur dengan keamanan yang dikecapi dan perlu mengekalkan momentum kedamaian itu," katanya.

Turut hadir isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

- Bernama

Jarumemas: Sewajarnya setiap kita memelihara keamanan dan kestabilan negara daripada runtuh kerana kalau runtuh kita juga yang rugi dan orang luar sudah pasti akan menangguk di air keruh.

Ketua bahagian kata Umno Subang tiada tanah

Ketua bahagian Umno Subang Datuk Muhammad Bushro Mat Johor tidak dapat mengesahkan dakwaan DAP bahawa sebidang tanah milik Umno bahagian tersebut – yang didakwa dibeli dengan harga murah pada tahun 2004 – kini menjadi tapak sebuah kondominium.

Namun, Muhammad Bushro berkata, Umno bahagian itu tidak memiliki apa-apa tanah sejak beliau menjadi ketua bahagian pada 2008.

"Saya tak pasti sebab saya jadi ketua bahagian dari tahun 2008. Jadi, kalau mereka nak bawa saya ke Selcat (Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor) pun bawalah," katanya ketika diminta mengulas dakwaan DAP itu.

Berita lanjut....

Jarumemas: Persoalannya mengapa pembangkang sibuk mendakwa UMNO itu dan ini sedangkan janji mereka kepada rakyat masih banyak yang belum tertunai.

Khidmat peguam percuma bantu pelabur emas Genneva

Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno menyediakan 10 peguam kepada 8,000 pelabur, yang membuat pelaburan emas mereka melalui Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (Genneva Malaysia), untuk menuntut kembali pelaburan mereka daripada syarikat terbabit.
  
Pengerusi Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno, Datuk Khairun Aseh berkata pihaknya menyediakan perkhidmatan itu secara percuma dan meminta pelabur terbabit tampil memberikan keterangan mereka.

Beliau berkata 8,000 pelabur itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu mereka yang telah membayar duit kepada syarikat itu tetapi belum mendapat emas dan mereka yang menyerahkan emas kepada syarikat itu tetapi belum menerima bayaran.
    
"Kita akan membuat tuntutan kepada syarikat terbabit dan bukannya kepada Bank Negara Malaysia (BNM). Ini adalah tindakan sivil agar para pelabur dapat menerima pelaburan mereka dengan segera," katanya kepada pemberita selepas sejam bertemu dengan pegawai Unit Siasatan Khas BNM, semalam.
  
Laporan awal perakaunan menunjukkan operasi Genneva Malaysia mengalami kerugian besar tahun ini dan mempunyai liabiliti melebihi 10 kali asetnya.
  
Mengenai pertemuan beliau dengan BNM, Khairun berkata beliau diberitahu siasatan pihak berkuasa berjalan dengan lancar dan menafikan ada orang kenamaan yang cuba mengganggu siasatan itu.
  
- Bernama

Jarumemas: Alhamdulillah, sekurang-kurangnya membantu mereka yang dalam membantu kesusahan.