Wednesday 17 April 2013

MAS Tawar Tambang Istimewa Bagi PRU13

KUALA LUMPUR, 17 April -- Malaysia Airlines (MAS) menawarkan tambang istimewa kepada rakyat Malaysia untuk terbang pulang bagi mengundi pada 5 Mei di dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata tempahan bagi kelas perniagaan dan ekonomi boleh dilakukan mulai sekarang sehingga 26 April bagi perjalanan dari 18 April hingga 30 November tahun ini, sebagai sebahagian daripada tambang istimewa PRU13 itu.

Beliaui berkata tambang kelas ekonomi yang merangkumi kesemua bayaran dari Kuala Lumpur ke Alor Setar, Pulau Pinang, Terengganu, Kuantan, Kota Baharu, Johor Baharu dan Langkawi bermula dari RM130 manakala tambang pulang yang merangkumi kesemua bayaran bermula dari RM713.

Tambang pulang yang merangkumi kesemua bayaran dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Labuan, Tawau, Miri, Sibu, Sandakan, Bintulu dan Kuching bagi kelas ekonomi atau perniagaan masing-masing bermula serendah RM300 dan RM1,713, katanya dalam satu kenyataan Rabu.

Sumber: Info Malaysia

Jarumemas: Balik mengundi sendiri bayar...

Abdullah Badawi Yakin BN Akan Pertahan Kepala Batas

KEPALA BATAS, 17 April -- Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yakin Barisan Nasional (BN) akan dapat mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas sekalipun ditandingi muka baharu.

Abdullah sebagai penyandang kerusi parlimen itu, berkata ini kerana calon yang dikemukakan BN iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican merupakan anak tempatan yang juga mendapat sokongan dan kerjasama masyarakat setempat.

"Calon-calon yang dipilih adalah orang Kepala Batas, orang tempatan bukan orang luar. Hanya orang kelahiran sini sahaja boleh diterima masyarakat di sini, bukan orang luar yang tidak pernah dilihat," katanya kepada pemberita, di Kepala Batas, Selasa malam.

Abdullah sebelum itu memperkenalkan calon-calon yang akan bertanding kerusi Parlimen Kepala Batas dan tiga kerusi dewan undangan negeri (DUN) iaitu Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal.

Beliau diminta mengulas kenyataan pembangkang yang yakin dapat merampas kerusi parlimen berkenaan. Abdullah merupakan penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas selama tujuh penggal sejak 1979.

Pada pilihan raya umum 2008, beliau menang dengan majoriti 23,445 undi mengatasi calon PAS Subri Md Arshad. Abdullah memutuskan untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum kali ini.

Selain itu, DUN Penaga dan Bertam masing-masing mengemukakan muka baharu iaitu Mohd Zain Ahmad dan Shariful Azhar Othaman. DUN Sungai Pinang akan dipertahankan penyandang Datuk Roslan Saidin.

Sumber: Info Malaysia

Jarumemas: In shaa Allah boleh...

Shahidan Mahu Pastikan Kemenangan Mutlak Di Arau

KANGAR, 16 April  -- Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang diumum sebagai calon di kawasan Parlimen Arau mahu memastikan kemenangan mutlak Barisan Nasional (BN) di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Parlimen berkenaan.

Dua kerusi di kawasan itu iaitu DUN Simpang Empat dan Sanglang kini disandang PAS.

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Arau yakin pengundi akan terus memberi sokongan kepada BN yang berupaya membawa perubahan dan sentiasa menunaikan janji.

"Ini adalah permulaan kepada semua calon BN untuk berjuang dalam memastikan kemenangan. Buktikan perjuangan parti (dengan kemenangan)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shahidan selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis akan menentang calon PAS Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Harun Din. Beberapa muka baharu yang diumum bertanding tidak menyangka akan terpilih. Ketua Puteri Umno Perlis, Azmaiza Ahmad yang dicalon bagi kerusi DUN Chuping menganggap pencalonannya sebagai hadiah sempena hari lahirnya yang ke-38 Khamis ini.

Sumber: Info Malaysia

Jarumemas: In shaa Allah menang bergaya...

Belia Cina Semakin Ghairah Keluar Mengundi - Huazong

KUALA LUMPUR, April 16 -- Keghairahan belia Cina mengikuti perkembangan politik tanah air makin meningkat berikutan ledakan teknologi maklumat yang mendedahkan kepada mereka dengan pelbagai isu semasa, kata Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) Tan Sri Pheng Yin Huah.

Lantas, katanya ia pasti mendorong kepada peningkatan keluar mengundi oleh golongan itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei depan.

"Kewujudan laman sosial seperti Facebook dan Twitter memberanikan mereka menyuarakan pendapat antara rakan-rakan serta pemimpin mengenai sesuatu isu," katanya kepada Bernama.

Menurutnya sebelum ini, belia Cina kurang kesedaran untuk keluar mengundi kerana berpendapat mengundi adalah sesuatu yang membuang masa dan tiada kaitan bagi mereka.

Sumber: Info Malaysia

Jarumemas: Asalkan jangan sokong membawa rebah kepada Barisan Nasional....

Mohd Ali Tanding Parlimen Bukit Katil, Idris Tanding Dun Sungai Udang

MELAKA, 16 April  -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka yang juga Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertukar kerusi ke Parlimen Bukit Katil pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau sebelum ini yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru dijangka menentang Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin di kerusi parlimen berkenaan.

Pertukaran kerusi itu menyaksikan Melaka bakal diterajui Ketua Menteri yang baharu sekiranya BN terus mendapat mandat rakyat untuk kekal memerintah negeri ini.

Sumber: Info Malaysia

Jarumemas: Datuk Ali nak ke Pusat ke? 

Ibrahim Ali Mahu Pertahan Kerusi Parlimen Pasir Mas Atas Tiket Bebas

KOTA BAHARU, 16 April -- "Saya tetap akan bertanding atas tiket Bebas walaupun menggunakan simbol katak puru pada pilihan raya kali ini," kata penyandang kerusi Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali hari ini.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu berkata demikian setelah tidak dinamakan sebagai calon rakan Barisan Nasional (BN) Kelantan pada pilihan raya umum ke-13.

Sebelum ini, beliau dikatakan antara calon Bebas yang akan diberi peluang bertanding atas tiket BN tetapi Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika mengumumkan senarai calon BN di Kelantan Selasa, menyatakan Che Johan Che Pa daripada Umno bertanding kerusi Parlimen Pasir Mas.

Ketika ditemui pemberita setibanya dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa di sini Selasa, Ibrahim berkata beliau tetap mahu mempertahankan kerusi itu dan simbol yang bakal digunakannya kelak bergantung kepada kelulusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurutnya dalam kempennya kelak, beliau akan mendedahkan prestasi rekod khidmatnya sebagai wakil rakyat kawasan itu selain memimpin Perkasa sejak empat tahun lepas.

Jika dipilih kembali sebagai wakil rakyat pada pilihan raya umum ini, Ibrahim berkata beliau mahu meneruskan agenda perjuangan Melayu.

Pada pilihan raya umum 2008, Ibrahim sebagai calon bebas bertanding atas tiket PAS mengalahkan calon BN Ahmad Rosdi Mahmad dengan majoriti 8,991 undi.

Ketika ditanya pemilihan bekas anggota Parlimen Bebas Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Nordin yang juga Naib Presiden Perkasa sebagai 'calon rakan BN' bagi kerusi Parlimen Shah Alam, Selangor, Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memberi peluang kepada Zulkifli.

Sumber: Info Malaysia

Jarumemas:  Orang Pasir Mas memang sayangkan beliau.

Senarai Calon BN PRU13 Muktamad, Kata Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 16 April -- Tiada perubahan dalam senarai calon Barisan Nasional (BN) yang diumum bertanding pada pilihan raya umum ke-13 dan ia adalah muktamad.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ini kerana pemilihan dan saringan telah dibuat secara teliti oleh Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pembangkang akan berkata macam-macam kononnya, wujud perasaan tidak puas hati dalam kalangan anggota BN dan itu memang sudah dijangkakan.

"Tapi saya yakin semua dapat terima dengan hati terbuka, lagi pun aku janji telah dibuat dengan pengerusi parti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tengku Adnan juga optimistik, dengan senarai calon tersebut BN mampu melakar keputusan lebih baik berbanding pilihan raya umum 2008.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan semua anggota parti, tindakan displin akan diambil oleh lembaga tatatertib, sekiranya ada anggota cuba mensabotaj parti.

Sumber: Info Malaysia

Jarumemas: Tiada talian hayat...