Thursday 6 June 2013

SUKAR UNTUK MENANG PETISYEN PILIHAN RAYA - PKR

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengakui bahawa adalah sukar untuk memenangi sesuatu petisyen pilihan raya di mahkamah. Semasa bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam, beliau merasakan sukar untuk membuktikan adanya penipuandalam  pilihan raya dan ia di luar kemampuan manusia untuk membuktikannya. Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Rafizi berkata, pihak yang memfailkan petisyen itu perlu membuktikan bahawa pihak lawan telah memberi rasuah atau telah menakut-nakutkan pengundi untuk mempengaruhi undi mereka.

Sumber: Makkal Osai 

Jarumemas: PKR seolah-olah mahu biar putih tulang jangan berputih mata untuk memegang tampuk Kerajaan Persekutuan. Mereka masih tidak mahu menerima kekalahan yang telah ditentukan oleh takdir. Muhasabah diri kenapa  pembangkang masih belum diangkat sebagai pemerintah. PR dah dapat tiga negeri untuk diperintah, maka tunjukkanlah kemampuan untuk menerajuinya dengan jayanya. Mungkin apabila melihat kemampuan pembankang pada tiga negeri itu, maka rakyat akan buka mata. 

MENGAPA PROSES PELANTIKAN WAKIL INDIA LEWAT?

Kesemua calon MIC yang bertanding di tiga kerusi DUN di Perak pada PRU-13 yang baru lalu, kalah.  Ini bermakna tiada wakil India dalam kerajaan negeri Perak.  Namun, Menteri Besar, Datuk Zambry telah berjanji akan memperuntukkan jawatan penasihat khas dan pegawai khas bagi masyarakat India.  Tetapi, timbul persoalan mengapa wakil-wakil tersebut masih belum dilantik? 

Sumber: Malaysia Nanban

Jarumemas: Sabar itu separuh daripada iman. Janganlah terlalu mendesak wahai kaum India. Berilah masa kepada MB Perak untuk membuat keputusannya. 

WAKIL INDIA TIADA TEMPAT DALAM PKR?

Ahli-ahli kaum India PKR Shah Alam merasa tidak puas hati dan kecewa kerana kerajaan negeri Selangor hanya melantik dua sahaja orang India sebagai Exco negeri. Pemimpin-pemimpin atasan Pakatan Rakyat seperti Dato Seri Anwar dan Menteri Besar Selangor tidak mengutamakan kaum India dalam pelantikan ini.  Mereka berpendapat ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar wajar dilantik sebagai Exco Selangor bagi mewakili ahli akar umbi kaum India dalam PKR.

Sumber: Malaysia Nanban. 

Jarumemas: Rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Kerajaan Negeri Selangor mungkin tahu sebabnya. Ahli BN pun ramai yang tidak dilantik oleh PM ke jawatan menteri kerana hanya beliau yang tahu sebabnya. Oleh itu, yang tidak dilantik itu perlulah memuhasabah diri masing-masing dan redha dengan kehendakNya. 

KAWAL PORTAL BERITA BUKAN TINDAKAN TEPAT

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyelar tindakan kerajaan yang mahu mengawal portal berita  dengan tujuan untuk menyekat pelaporannya.   Ia satu tindakan yang tidak patut di mana dunia maklumat teknologi moden masa kini.  Persoalannya,  mengapa kerajaan tidak merancang tindakan ini sebelum ini? Ia kini telah menimbulkan beberapa tanggapan dalam kalangan rakyat, kata beliau.

Sumber: Malaysia Nanban

Jarumemas: Langkah yang akan diambil oleh kerajaan adalah bagi memastikan rakyat sedar bahawa setiap pelaporan mereka perlu berlandaskan prosedur yang beretika bukan sewewenangnya  mengeluarkan kata-kata nista dan menghina pihak lain. Segala pelaporan perlu berhemah. 

KABINET LEMAH KATA RAMAKRISHNAN

Tindakan Kabinet melantik menteri sebelum dilantik ke jawatan Senator dikecam dan dikutuk oleh bekas seorang Senator, Dr Ramakrishan. Oleh itu, beliau berpendapat Kabinet tidak lagi diperlukan dan perlu dijumudkan sepenuhnya.


Sumber:  Malaysia Nanban.

Jarumemas: Mungkin ada peruntukan dalam pelantikan mereka cuma ia tidak diumumkan. Sesungguhnya kuasa Eksekutif terletak di tangan Perdana Menteri dan dipersetujui oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong. Apa hak kita untuk mempertikaikannya.