Thursday 4 July 2013

Bekas ketua cawangan DAP dakwa 547 undi haram di pemilihan jawatankuasa tertinggi

Bekas Ketua Cawangan DAP Jalan Bagan Luar G Asoghan mendakwa seramai 547 orang dikenal pasti sebagai "perwakilan haram" dari Pulau Pinang telah mengundi dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu pada Disember lepas.
Beliau mendakwa perwakilan haram itu mengundi bagi memastikan "Dinasti Lim" terus berkuasa dalam DAP.
"Kalau betul 547 perwakilan haram itu tidak wujud, saya cabar Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk beri senarai lengkap perwakilan layak hadir bagi membuktikan tiada pengundi haram seperti yang saya dapat maklumat.
"Saya juga mahu tanya Lim sama ada betulkah sebenarnya 1,300 perwakilan yang sah dan bukannya setakat 753 orang yang tidak dijemput dengan notis mesyuarat rasmi intuk mengambil bahagian dalam proses pemilihan parti," katanya pada sidang akhbar di Pulau Pinang semalam. 


Jarumemas: Adakah mereka itu durian ahli pula mentimun? 
.

Anggota Parlimen Simpang Renggam enggan tarik balik dakwaan Anwar miliki 20 akaun bank

Anggota Parlimen Simpang Renggam Liang Teck Meng menegaskan semalam tidak akan menarik balik atau memohon maaf berhubung kenyataannya di Dewan Rakyat pada hari Selasa mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa memiliki 20 akaun bank yang berpangkalan di luar negara, termasuk Israel.
Beliau juga menyifatkan cadangan beberapa anggota Parlimen pembangkang untuk merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen adalah bertujuan mengalih perhatian dan menghalang kerajaan menjalankan sisasatan terhadap isu berkenaan.
Menafikan kenyataannya bersifat tuduhan, Liang berkata hujah yang dikemukakan itu bertujuan mendapatkan penjelasan daripada kerajaan selain mahu siasatan terperinci dijalankan terhadap maklumat yang diperoleh dari laman web Wikileaks itu.

Jarumemas: Berani kerana benar, takut kerana salah. 

Kumpulan agama desak pemimpin bukan Islam lawan undang-undang penukaran agama anak

Pemimpin bukan Islam Barisan Nasional (BN) yang lemah dalam keputusan Pilihan Raya 2013 dan Umno menyelamatkan gabungan pemerintah itu, menghadapi ujian terbesar selepas pilihan raya.
Sekurang-kurangnya dua menteri dan seorang pemimpin MCA menerima desakan daripada kumpulan berasaskan agama untuk berpendirian tegas melawan Rang Undang-Undang yang dibentangkan kerajaan minggu lalu bagi membenarkan ibu bapa tunggal menukar agama anak kecil mereka, walaupun seorang lagi pasangan tidak bersetuju.
Rang Undang-Undang ini dilihat oleh bukan Islam sebagai pengkhianatan kedua kerajaan selepas pemimpin menukar pendirian berhubung bukan Islam boleh menggunakan perkataan Arab Allah, sebagai rujukan kepada tuhan mereka.
Jarumemas: Bab agama janganlah dipermainkan kerana buruk padahnya. 

Isu akaun: Anwar mahu rujuk MP ke JK Parlimen

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan merujuk seorang MP BN, yang mendakwa beliau memiliki wang ratusan juta ringgit di akaun bank luar negara, ke jawatankuasa hak dan keistimewaan parlimen atas dakwaan menyalahgunakan kekebalan berhujah di Parlimen.


Menurutnya, dakwaan yang dihamburkan Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) itu tidak pernah dilaporkan laman WikiLeaks seperti yang didakwa.

Berucap di Parlimen pagi tadi, Anwar turut mencabar Liang sekali lagi untuk bangkit menjelaskan dakwaannya semalam.


Jarumemas: Masakan pokok bergoyang kalau tiada angin...

PRU13: DAP dakwa majoriti Melayu tolak BN

MP Raub Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz mendakwa majoriti pengundi Melayu pengundi yang keluar mengundi pada pilihan raya umum ke-13, 5 Mei lalu menolak BN.


Berucap ketika membahas titah Yang di-Pertuan Agong petang ini, beliau mendakwa seramai 7.3 juta daripada 11.23 juta pengundi merupakan pengundi Melayu.

"Umno dan BN mendapat 3.4 juta pengundi Melayu, manakala 3.9 juta lagi menolak BN. Umno sendiri secara keseluruhan mendapat 3.2 juta undi, yakni sama dengan jumlah ahli Umno. 

"Maka yang menjerit Melayu itu dan ini, menjerit atas autoriti apa? Majoriti Melayu tidak bersama kamu," dakwanya.


Jarumemas: Jangan sampai sokong membawa rebah. 

DBP mahu juruaudit bahasa di semua kementerian


Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mencadangkan agar semua kementerian dan jabatan kerajaan melantik juruaudit bahasa bagi memantau penggunaan bahasa Melayu dalam setiap urusan.

Ketua Pengarah DBP Datuk Dr. Awang Sariyan ketika mengemukakan cadangan itu berkata, kajian oleh DBP menunjukkan terdapat kementerian yang menggunakan bahasa Melayu hanya 17 peratus dalam urusan harian termasuk mesyuarat.

Katanya sudah sampai masanya penguatkuasaan mengenai pematuhan penggunaan bahasa Melayu di jabatan kerajaan ditingkatkan.

"DBP menyarankan semua kementerian dan jabatan kerajaan memiliki juruaudit bahasa mereka sendiri yang berperanan memantau tahap penggunaan bahasa Melayu dalam urusan harian.

"Pihak kita sedia melatih kakitangan kementerian dan jabatan terbabit sebagai pegawai bahasa bagi memastikan semua pihak mematuhi arahan untuk menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Wacana Perpaduan Ummah anjuran DBP, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) di Butterworth semalam.


Jarumemas: Bahasa melambangkan bangsa.

MCA: RUU harus pertimbang lebih banyak rundingan


MCA meminta kerajaan menarik balik cadangan pindaan Rang-Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 yang membenarkan pengislaman kanak-kanak bawah umur dengan persetujuan hanya seorang ibu atau bapa sahaja.

Timbalan Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata parti itu juga mahu kerajaan mempertimbangkan untuk mengadakan lebih banyak rundingan dengan badan-badan agama sebelum membuat keputusan mengenal perkara itu.

Cadangan pindaan ke atas Seksyen 107 (b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

"Kami berpendapat kerajaan perlu menarik balik rang undang-undang itu dan mempertimbangkan lebih banyak rundingan dengan pihak berkepentingan sebelum membentangkannya," katanya.

Liow berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan anggota Majlis Perundingan bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) di Wisma MCA di Kuala Lumpur.


Jarumemas: Kalau menarik rambut dari dalam tepung biarlah berhemah, rambut tak putus, tepung tidak berselerak...

ADUN diberi amaran kaitkan Umno-PERKASA


Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam A Tanasekharan diberi amaran keras oleh speaker Pulau Pinang Law Choo Kiang kerana mengaitkan kumpulan pendesak Melayu PERKASA dengan Umno.

Tanasekharan mendakwa Umno menggunakan PERKASA untuk mengadakan demonstrasi antikerajaan negeri dan menghasut kebencian kaum, lapor Bernama.

"Umno menggunakan Perkasa untuk menganjurkan demonstrasi menentang kerajaan negeri," beliau dipetik sebagai berkata pada persidangan dewan di George Town semalam.

Kenyataan Tanasekhharan itu menyebabkan Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) menuntut wakil DAP itu untuk menarik balik dan tidak mengulangi tuduhan tersebut.


Jarumemas: Kenapa suka sangat menjolok sarang tebuan? Kalau dah kena sengat nanti diri sendiri yang sakit..