Thursday 11 July 2013

16:16 pacu kempen PAS di Kuala Besut


Angka 16:16 dan sentimen Kelantan di bawah PAS menjadi taruhan kempen PAS bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Saiful Bahari Mamat berkata parti itu akan menggembleng tenaga bagi merampas Kuala Besut dan menjadikan agihan kerusi di negeri itu sama rata - 16 BN, 16 Pakatan Rakyat.  

"Keinginan rakyat seluruh Malaysia adalah untuk melihat 16:16 menjadi sejarah. Kita kena gembleng tenaga untuk melihat ini menjadi tunggak perubahan," kata timbalan pengarah pilihan raya kecil Kuala Besut itu.

Mengulas lanjut, Saiful yakin faktor Besut yang terletak bersempadan dengan Kelantan dan juga akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh PAS dalam kempen mereka.

Menurutnya, penduduk Besut dapat melihat kesejahteraan hidup rakyat Kelantan di bawah pentadbiran PAS Kelantan selama ini.

Ia juga akan turut dibantu sentimen kebanyakan orang di Besut yang menganggap diri mereka sebagai orang Kelantan walaupun menetap di daerah dalam negeri Terengganu.

"Jadi kalau orang Kelantan boleh pilih PAS, kenapa tidak orang di Besut?," kata ADUN Paka itu.


Jarumemas: Biarlah rakyat yang menentukan. Kempen biar berhemah. 

Lim: DAP tak ikut arahan MB isu isytihar aset

Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng berkata wakil parti itu tidak akan mengikut keputusan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung pengisytiharan aset anggota exco.


Katanya alasan yang dikemukakan Khalid berhubung pengisytiharan untuk sebahagian dari aset tersebut tidak ubah seperti alasan BN.

Oleh yang demikian, DAP tidak akan mengikut arahan tersebut dan sebaliknya menetapkan tiga wakilnya – yang dipertua DUN dan tiga anggota exco – mengisytiharkan sepenuhnya aset mereka.


Jarumemas: Kalau begitu mesti ada yang disorokkan. 

Ahmad Maslan: Pengundi K Besut jangan ubah selera


Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan menggariskan empat faktor kenapa pengundi di kawasan DUN Kuala Besut perlu memilih BN pada pilihan raya kecil kawasan itu 24 Julai ini.

Beliau turut mengingatkan pengundi untuk tidak menjadikan pilihan raya kecil itu sebagai satu mainan atau percubaan untuk mengubah selera kerana jika tersilap pilih, mereka akan kecewa sepanjang hidup.

"Faktor utama rakyat perlu memilih BN di Kuala Besut ialah bagi menentukan kestabilan pemerintahan di Terengganu yang diterajui BN," katanya kepada pemberita selepas berucap kepada pemimpin Rela di Pusat Khidmat Komuniti Rela DUN Kuala Besut di Kampung Baharu di Besut, semalam.


Jarumemas: pengundi tahu memilih mana satu intan mana satu kaca. 

'Mansuh, ganti, pinda Akta Hasutan tiada masalah...'


Anggota Parlimen BN tiada masalah dengan langkah memansuh, mengganti atau meminda Akta Hasutan 1948 selagi terdapat mekanisme semak dan imbang bagi memastikan ia tidak disalah guna, kata Datuk Chua Tee Yong.

Wakil rakyat Labis itu bagaimanapun berkata, keputusan berkenaan perkara itu bergantung kepada kerajaan. 

"Kalau ada jaminan semak dan imbang dan tidak akan digunakan untuk agenda tertentu, saya ingat kebanyakan ahli parlimen akan bersetuju termasuk saya.

"Maka kita tengah melihat sama ada terdapat pindaan atau ada akta-akta baru," katanya kepada Malaysiakini di bangunan Parlimen hari ini.


Jarumemas: Dunia semakin maju dan rakyat semakin cerdik. Mereka lagi pandai daripada undang-undang. 

Polis bertekak dengan Suhakam isu EO


Seorang pegawai polis hari ini tertarik dalam debat dengan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Hasmy Agam berhubung isu Ordinan Darurat (EO).

Insiden itu berlaku apabila Suhakam melancarkan laporan tahunan suruhanjaya itu bagi tahun 2012, yang membangkitkan bantahan mereka terhadap EO daripada perspektif hak asasi manusia semasa sesi soal jawab.



Hasmy (kiri) berkata, beliau "kecewa" dengan gesaan untuk mengembalikan EO - undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara - dan beliau tidak yakin dengan alasan di sebalik cadangan sebegitu.

"Sejurus selepas itu, terdapat draf disediakan. Ia nampak seperti segalanya sudah dirancang.

"Malah orang yang naif di jalanan pun boleh nampak ia sudah dirancang," katanya.

Hasmy yang juga bekas diplomat berkata, perdana menteri patut patut dipuji kerana memansuhkan undang-undang itu dan membawa negara ini ke depan.

"Bagaimanapun kami sangat kecewa, kerana bukan untuk bergerak ke depan, sebaliknya sesetengah pihak mahu kita mengundur ke belakang, hanya kerana apa yang dikatakan peningkatan kadar jenayah," katanya.



Kemudian, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Mohad Nazir (kanan), wakil Bukit Aman, bangun daripada kerusi untuk menyatakan sokongannya kepada EO.

Mohad berkata, EO membenarkan penahanan tanpa bicara dan "mencegah lebih baik daripada mengubati".

Tanpa EO, kata Mohad, orang ramai akan menderita dan beliau menyeru Suhakam menyokong usaha polis untuk mengembalikan EO.


Sumber: Malaysiakini

Jarumemas: Menarik perbahasan mereka. 

Wan Junaidi: Undang-undang baru ganti EO jamin hak asasi


Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi jaminan bahawa undang-undang baru yang menggantikan Ordinan Darurat (EO) akan memberi kebebasan hak asasi kepada rakyat. 

Beliau juga berkata, perlindungan hak kepada tahanan juga akan diberikan di dalam undang-undang baru itu. 

"Jika ada mana-mana undang-undang yang diwujudkan, sudah tentu mesti melindungi hak-hak kebebasan seperti hak untuk mendapat bantuan guaman dan membenarkan rayuan dibuat. 

"Mesti ada komponen perlindungan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini. 

Selain itu, Wan Junaidi juga berkata, draf undang-undang yang akan menggantikan EO itu kini sedang dirujuk dengan pihak yang berkepentingan. 


Jarumemas: Peranan undang-undang adalah untuk melindungi rakyat. 

Menteri: 'Pengacau' sokong mansuh Akta Hasutan

Menteri  Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa pembangkang menjadi pengacau yang ingin menimbulkan huru-hara dengan menyokong pemansuhan Akta Hasutan.


"Ini semua pengacau. Dan pengacau itu pembangkang kerana mereka seperti mahu keadaan negara menjadi huru-hara. Itu yang mereka mahu," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen ketika beliau sendiri ditanya mengenai pendiriannya berhubung pemansuhan akta berkenaan.

"Anda tahu apa nak jawab," katanya apabila ditanya lanjut sama ada beliau tidak menyokong pemansuhan itu.



Jarumemas: Jangan dilayan kehendak mereka yang mahu mmenjadikan negara ini tidak ada undang-undang ketat bagi mengawal perbuatan yang mahu menghancurkan negara. 

Polis akan mudahkan proses berceramah - IGP


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan ketua polis daerah akan memudahkan urusan pihak yang mahu berkempen menerusi ceramah pada pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, dengan syarat mereka memohon kebenaran terlebih dahulu.

"...kena mohon dulu untuk aturkan keselamatan untuk penceramah, orang ramai. Kita tidak mahu dua pihak bertembung di satu lokasi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat bersama anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbabit pilihan raya kecil itu, di Besut hari ini.


Jarumemas: berkempenlah secara berhemah, buangkan segala maki hamun dan cerca mencerca kerana kita orang Melayu yang kaya dengan budi bahasa dan lembut tutur kata. 

'Jangan sampai penjenayah pergi rumah MP'


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru agar MP Pakatan Rakyat menyokong usaha menggantikan Ordinan Darurat dengan undang-undang baru untuk mengelakkan lebih ramai individu menjadi mangsa penjenayah.

Usaha itu juga untuk mengelakkan para MP berkenaan turut menjadi mangsa penjenayah terbabit, katanya ketika menjawab satu soalan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Jangan sampai penjenayah yang buta warna (politik) ini pergi rumah Shah Alam (Khalid Samad) dan Gombak (Azmin Ali),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas “realiti” mengenai kejadian jenayah pada waktu ini, yang dibangkitkan Azmin.


Jarumemas: Adakah Malaysia kini semakin tidak selamat? 

Kuala Besut mahu kempen sederhana kerana Ramadan


Penduduk Kuala Besut berharap kempen parti politik sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut diadakan secara sederhana terutamanya bagi memelihara kemuliaan bulan Ramadan.

Menurut penduduk tempatan yang ditemui Bernama, tanpa kempen 'keterlaluan' pun pengundi tetap akan membuat pilihan dengan kecenderungan memihak kepada calon yang bijak berkempen secara berhemah seperti menjaga percakapan dan bahasa yang digunakan.

Peniaga kedai runcit di pekan Kuala Besut, Wee Shin Ai @ Wee Ew Hwa, 60, berkata rakyat kini bijak menilai dan lebih menghormati calon 'matang' yang tidak menyerang peribadi lawan, sebaliknya memaklumkan agenda pembaharuan jika terpilih menjadi wakil rakyat.

"Tidak perlu cakap banyak, cuma ambil tahu apa yang rakyat mahu. Di sini tidak ada bank komersil, menyebabkan kami terpaksa pergi ke Jerteh untuk urusan bank setiap bulan terutamanya bagi mereka yang menjalankan perniagaan," katanya.

Wee berkata kekurangan bank komersil perlu diatasi memandangkan Kuala Besut merupakan laluan masuk ke destinasi pelancongan terkenal Pulau Perhentian, menyebabkan pelancong termasuk dari luar negara mengalami kesukaran mengeluarkan wang tunai.


Jarumemas: Setuju!!