Wednesday 19 June 2013

Rumah mampu milik jadi mahal?

SEORANG peserta dari Filipina dalam forum Projek Perumahan Mampu Milik Ke-4 di ibu negara baru-baru ini telah bangun bertanyakan soalan yang sebenarnya menjadi pertanyaan seluruh rakyat Malaysia.

Beliau bertanyakan mengapa berlakunya masalah pemilikan rumah mampu milik di Malaysia, adakah perkara itu berpunca daripada kurang kesedaran mengenai pemilikan rumah, ketiadaan subsidi daripada kerajaan atau Malaysia tidak mempunyai syarikat pemaju yang mencukupi?


Salah seorang yang berada di pentas forum berkenaan adalah Pengarah Urusan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Prof. Datuk Dr. Kamarul Salleh, yang dengan tenang mencatatkan pertanyaan peserta dari Filipina itu dan memberikan penjelasan.


Beliau yang kemudian ditemui pemberita untuk penjelasan lanjut, memberitahu, masalah jurang besar antara penawaran dan permintaan rumah mampu milik melibatkan beberapa faktor lain sehingga menyebabkan harga pasaran rumah pada hari ini melambung begitu tinggi.Antaranya, trend pasaran hartanah yang dipengaruhi dengan polisi membenarkan warga asing memiliki hartanah bernilai RM500,000 sehingga menyebabkan pemaju lebih yakin untuk membina rumah mewah yang sebelum ini hanya disasarkan kepada golongan berpendapatan tinggi di Malaysia.

Selain itu, kekurangan projek pembinaan rumah mampu milik secara besar-besaran juga berlaku kerana kenaikan harga bahan binaan sebagaimana yang dilihat semasa krisis kenaikan harga minyak dunia pada tahun 2008.

"Bagaimanapun, keadaan yang berlaku sekarang adalah tidak seimbang, kenaikan tahunan pendapatan rakyat Malaysia masih kecil tetapi harga rumah telah naik dengan begitu tinggi dan cukup dahsyat," katanya.
Masalah kenaikan mendadak harga rumah di negara ini begitu serius sehingga walaupun had pinjaman perumahan dinaikkan, golongan berpendapatan sederhana tetap tidak mampu memiliki hartanah itu.



Sumber: Utusan Malaysia

Jarumemas: Ada rakyat yang berpendapat bahawa pihak pemaju lebih mementingkan laba daripada memeikirkan kebajikan rakyat negara sendiri. Pemaju lebih suka membina rumah untuk orang luar negara kerana pulangannya  berlipat kali ganda, sedangkan rakyat sendiri menggigit jari melihat rumah orang kaya luar negara yang dibeli di Malaysia. 

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

LANGKAH Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengkaji semula status lesen penjaja yang dimiliki warga asing di sekitar ibu negara amat perlu ketika kehadiran mereka jelas terlalu ramai. Lesen-lesen terbabit dipercayai diperoleh daripada pemilik peniaga tempatan, sedangkan pihak berkuasa tidak mengeluarkan lesen untuk mereka.

Jika kita melangkah ke Chow Kit dan Petaling Street misalnya, suasana ‘kawasan perniagaan asing’ cukup dirasai, dan tidak keterlaluan seolah-oleh kita berada di luar negara.

Oleh itu suasana tersebut perlu diubah. Ia demi memastikan perniagaan kategori itu dapat diisi oleh penduduk tempatan.

Ini bermakna pihak berkuasa perlu meneliti syarat pemilikan lesen supaya ia tidak disalahgunakan sehingga boleh bertukar tengan kepada orang asing. Kita percaya langkah menjual lesen perniagaan kepada orang asing adalah kaedah mudah untuk membuat untung singkat tetapi dalam jangka masa panjang ia menjejaskan banyak perkara termasuklah peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Peranan persatuan penjaja dan peniaga kecil cukup penting dalam memastikan soal pemilikan lesen niaga tidak disalahgunakan. Malahan persatuan-persatuan itu perlu membantu pihak berkuasa membanteras penyalahgunaan lesen tersebut.

Apa yang berlaku di ibu negara itu, perlu menjadi iktibar di bandar-bandar lain di seluruh negara. Tindakan serupa perlu dilakukan walaupun masalah itu mungkin belum serius kerana ia mungkin sukar diatasi jika keadaan sudah berleluasa.

Biarlah lesen perniagaan kecil dan penjaja benar-benar diberikan kepada warga tempatan untuk mencari rezeki secara betul, bukannya untuk mengaut untung singkat.

AWANG - Sokong.



Sumber: Utusan Malaysia

Jarumemas: Kebanyakan rakyat kita suka mengali-babakan perniagaan mereka. Yang kaya raya  'ali baba'. Sebenarnya kita yang mengayakan mereka sedangkan kita hanya makan tulang sahaja.