Thursday 3 October 2013

Laporan audit: PAS gesa demo ala-BERSIH


PAS mendesak satu himpunan seperti BERSIH diadakan bagi menuntut penyiasatan dan tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab berhubung ketirisan seperti yang dilapor Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan semalam.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) berkata rakyat perlu terus memberi tekanan berhubung perkara itu sehingga kerajaan BN mengaku bahawa "mereka boros".

"Media-media boleh terus mengorek ketirisan-ketirisan yang telah berlaku, tapi sekiranya rakyat Malaysia terus mengambil sikap hangat-hangat tahi ayam dalam soal ketirisan ini, kerajaan BN akan terus bersikap acuh tidak acuh pada laporan ketua audit negara.

"Jika tidak, budaya ketirisan ini akan berterusan dan rakyat akan disuruh terus membayar lebih untuk menampung kos kehidupannya untuk membolehkan kerajaan BN terus berboros dalam perbelanjaannya," katanya.


Jarumemas: Isu ini sudah pasti membuatkan rakyat tertanya-tanya kenapa ia berlaku? Sudah tiada lagikah insan yang berwibawa dan amanah dalam menjalankan tugas mereka? 

Pemimpin MCA anti-Chua berhimpun dengar taklimat


Seramai 500 orang perwakilan pusat dan pemimpin akar umbi MCA berhimpun hari ini untuk mendengar talimat berhubung dakwaan penyelewengan yang dilakukan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Perhimpunan di satu hotel bertentangan dengan ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur itu diketuai oleh ketua bahagian MCA Wangsa Maju Yew Teong Look.

Kebanyakan dari pemimpin yang hadir itu menuntut agar Chua menjawab soalan mereka berhubung aset parti.

Yew antara lainnya mendakwa Chua menjual tanah seluas lapan ekar milik MCA kepada seorang pemaju awal tahun ini.

Beliau mendakwa tanah tersebut disumbangkan oleh ahli perniagaan, mendiang Loh Boon Siew untuk membina ibu pejabat kedua MCA dan pusat latihan.

Sumber: Malaysiakini.com

Jarumemas: Pemimpin yang berwibawa akan disenangi pengikut, tetapi kalau pemimpin dah kencing berdiri tak kan pengikut kencing berlari....

Wednesday 2 October 2013

Pemilihan UMNO: Najib ulas cakap-cakap konon beliau restu calon tertentu

Betulkah Datuk Seri Najib Tun Razak merestui calon tertentu dalam pemilihan UMNO ? Ini ekoran tersebarnya cakap-cakap kononya begitu.Diminta mengulasnya Perdana Menteri berkata walau apapun kenyataan beliau mengenai perkara itu, orang tetap akan mentafsirkannya mengikut tafsiran mereka masing-masing.

"Maka, saya fikir lebih baik saya katakan bahawa apa yang penting ialah para perwakilanlah yang akan menentukan barisan kepimpinan parti yang terbaik untuk memperkukuh dan memajukan parti.

Najib berkata demikian kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja beliau ke San Francisco dan New York dari 22 Sept lepas hingga Ahad.

Presiden UMNO itu berkata pemilihan UMNO pada tahun ini perlu dilihat sebagai satu proses yang bersih dan sihat.

Beliau berkata pemilihan kali ini akan didasarkan kepada kewibaan calon untuk menyandang apa jua jawatan dalam UMNO, sama ada di peringkat nasional ataupun di peringkat bahagian.


Jarumemas: Baca yang tersirat dan yang tersurat. 

DUN Sungai Limau tanpa Azizan...Misi Mukhriz tawan kubu PAS...

Sudah pasti suasana ketika kempen pilihanraya kecil (PRK) Sungai Limau nanti akan lebih 'gempita' dari suasana di PRK Kuala Besut. Ini kerana di Terengganu, BN hanya mempertahankan kemenangan, tetapi di Sungai Limau, BN mahu menawan kubu PAS.

Ia merupakan DUN yang PAS tidak pernah kalah sejak Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak menjadi calon parti itu pada PRU ke lapan pada 1995.

Antara rahsia utama kemenangan Azizan adalah faktor pertalian darah beliau dengan sebahagian besar penduduk Sungai Limau.

Tapi kini, peluang BN lebih baik untuk memenangi kerusi DUN tersebut.

Menurut bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad PAS menang di kawasan itu sejak 1995 disebabkan daya tarikan peribadi Azizan dalam kalangan pengundi.

" Dulu Tan Sri Azizan dia tak kempen pun tapi dia menang, kerana personaliti. Orang sokong dia kerana personaliti dia, bukan parti. Sekarang mungkin orang nak tukar selera," katanya Isnin malam.


Jarumemas: 'May the best man win'

Dr Chua vs Tiong Lai: Gayung bersambut...

Nampaknya pertembungan antara orang nombor satu dan nombor dua dalam MCA berulang kembali, kini perang kem Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan timbalannya Datuk Liow Tiong Lai sudah tidak dapat disembunyikan lagi. Perang dingin sudah jadi perang mulut. Orang Melayu kata 'gayung bersambut'.

Kisah Dr Chua dan Liow kurang mesra ini sejak lepas PRU13 lagi, setelah MCA kalah teruk, wujud desakan supaya Dr Chua berundur dan menyerahkan kepimpinan parti kepada orang baru.

Namun akhir-akhir ini pergeseran antara mereka makin teruk, terutama apabila 20 ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA mahu mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) segera dan antara usul yang dicadangkan adalah mencela Tiong Lai.

Amarah orang nombor dua MCA itu tidak dapat dibendung lagi, di dalam sidang media di ibu pejabat MCA Selasa Tiong Lai memangil Dr Chua senagai 'diktator' dan 'kaki spin'.

Liow menegaskan dakwaan Dr Chua bahawa beliau mendesak Presiden MCA meletak jawatan sebagai tidak benar dan menyifatkan ia sebagai taktik buli.

"Hentikan buli orang. Kesabaran saya ada hadnya,"katanya.


Jarumemas: Selesaikanlah masalah seperti menarik rambut dari tepung, rambut tak putus, tepung tidak berselerak. 

Bolehkah Mukhriz diterima Naib Presiden?

Kira-kira setahun sebelum PRU ke13, saya secara positif meramalkan bahawa BN boleh menawan semula Kedah  dari Pas jika sekiranya mereka mencalonkan  Mukhriz Mahathir sebagai calon MB Kedah. Ini kerana ketika tulisan tersebut tersiar di akhbar ini, suasana politik UMNO Kedah agak gawat kerana ramai memasang angan-angan sama.

Penyakit nak jadi MB  ini bukan saja di  Kedah malah turut berjangkit ke beberapa negeri lain seperti Selangor, Perak  dan Terengganu.

Melalui langkah bijak  Najib Razak, Pengerusi BN, menamakan Mukhriz  sebagai calon MB Kedah telah membuah hasil buat BN negeri itu. Kedah yang dikenali sebagai Jelapang Padi berjaya ditawan semula apabila BN memperoleh 21 kerusi berbanding Pas,15.

Dengan sendiri sebaik BN diisytihar menang Mukhriz diberikan mandat menggalas jawatan MB ke-11 mengambil alih tugas tersebut daripada mantannya Azizan Razak.

Kini setelah lebih 100 hari menjadi MB, umum melihat Mukhriz bukan saja lulus malah berjaya menjalankan tugas itu dengan cemerlang berbanding penyandangnya.

Kalau kita masih ingat Mukhriz sebelum ini tidak diberi cukup pendedahan sewaktu bapanya masih menjadi PM. Seperti diketahui ramai Dr.Mahathir Mohamed tidak mengamalkan neopotisme sehingga perkataan  dinasti  dalam parti sesuatu dibencinya.


Jarumemas: Yang tuan jangan disangka bapak, ayng muda jangan disangka anak. 

Laporan audit bukti kerajaan telus - Ahmad Maslan

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 yang dikeluarkan semalam menunjukkan kerajaan telus dalam pentadbiran, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata laporan mengenai aktiviti kerajaan persekutuan, badan berkanun persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri tersebut sangat komprehensif.

“Jika kita tidak telus, laporan itu tidak akan dibuat sedemikian rupa,” katanya.

Ahmad berkata kerajaan mengambil serius semua teguran kerana ia dibuat demi kebaikan semua pihak.

“Memang tidak ada kesempurnaan 100 peratus tetapi kita mahu tatacara kewangan sentiasa dipatuhi termasuk peraturan pembelian.

“Segala teguran audit itu hendaklah dilihat dari sudut yang positif kerana sebahagian teguran ada jawapan berserta nota-nota tambahan,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad berharap jawapan yang diberikan oleh pihak yang berkenaan tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memperbaiki kelemahan mereka dari semasa ke semasa.

Sumber: Agendadaily.com

Jarumemas: Laporan Ketua Audit Negara merupakan satu penanda aras bagi memperbaiki setiap kelemahan dan kepincangan yang berlaku dalam membelanjakan wang rakyat. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab perlu memperbetulkan setiap kekhilafan yang berlaku dan mengambil tindakan terhadap mereka yang gagal menjalankan tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab. 

PDRM terus dikecam jika tidak berubah, kata penganalisis

Masyarakat akan hilang kepercayaan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika siasatan segera tidak dilakukan terhadap kehilangan 44 senjata api dan 29 kenderaan poli, kata Pakar Pencegahan Jenayah, Profesor Datuk Dr Abdul Halim Sidek.
“Polis mahu mendapat lebih kuasa dalam memerangi gensterisme menerusi Rang Undang-Undang Akta Pencegahan Jenayah (PCA) tetapi bagaimana orang ramai akan menaruh kepercayaan kepada PDRM jika masih dibelenggu dengan masalah ini.
“Laporan Ketua Audit Negara tidak harus dipandang enteng dan pendedahan itu menunjukkan kealpaan polis dalam menguruskan harta benda mereka kerana perolehan kelengkapan mereka menggunakan dana awam,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Abdul Halim yang juga pensyarah di Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara turut menggesa satu suruhanjaya siasatan khas ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan senjata api itu dengan penyiasat dari luar dipanggil untuk membantu siasatan.“Bukan hanya 44 senjata api dilaporkan hilang tetapi tiada pihak yang tahu mengenai perkara itu. Masalah ini mengancam keselamatan awam. Adakah senjata itu dicuri oleh polis sendiri atau disebabkan kecuaian mereka,” katanya.

Jarumemas: PDRM perlu mencari puncanya jika tidak mahu terus dikecam. 

Pembangkang tidak adil tuduh PAC tidak efisien, kata Nur Jazlan

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed  membidas cadangan Pakatan Rakyat (PR) untuk mewujudkan jawatankuasa ‘tiga orang’ kerana tidak bersikap adil dengan jawatankuasa berkenaan.
Nur Jazlan menegaskan Laporan Ketua Audit Negara 2012 baru diedarkan semalam dan ahli jawatankuasa yang dipengerusikannya masih lagi meneliti laporan berkenaan bagi mengambil tindakan susulan.
Lim Guan Eng hari ini mencadangkan majlis berkenaan akan dianggotai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.
"Mereka (pembangkang) tidak bersikap adil dengan PAC. Kami masih menyemak laporan berkenaan yang diedarkan semalam. Takkan keputusan nak hari ini?" Soal Nur Jazlan ketika dihubungi The Malaysian Insider. 



Jarumemas: Pada pendapat Jarumemas peluang dan ruang perlu diberikan kepada PAC untuk meneliti setiap kelemahan dan ketirisan yang berlaku seperti yang terdapat pada Laporan Ketua Audit  Negara. 
.

Keselamatan RM2 bilion di sekolah sia-sia


Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan salah pengendalian teruk sehingga RM2.051 bilion dalam mengupah kontraktor keselamatan untuk sekolah antara 2010 hingga 2012.

Daripada penyediaan kontrak sehingga mengambil pengawal keselamatan, ketua audit negara berkata, pengurusan perkhidmatan keselamatan di 35 sekolah dan asrama yang ditinjau rata-rata tidak memuaskan.

Audit, yang melibatkan sekolah-sekolah di Selangor, Perlis dan Sabah, mendapati bahawa kontraknya tidak seragam.

Tidak dinyatakan juga keperluan khusus yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

Ini termasuk, pelaksanaan sistem jam jaga, bagi memastikan dua pengawal bertugas untuk satu-satu masa dan spesifikasi kamera CCTV dan sistem penggera.

Sumber: Malaysiakini.com

Jarumemas: Laporan Ketua Audit Negara banyak menunjukkan kepincangan dan ketirisan dalam perbelanjaan beberapa kementerian. Persoalannya, siapa yang patut disalahkan dan dipertanggungjawabkan? Orang ramai sudah pasti mengharapkan pihak berkenaan dapat memberikan jawapan yang jelas lagi telus supaya yang sudah tercemar dapat dibersihkan secara tuntas.  

Zulkifli dakwa pemilihan DAP dicemari penipuan


Bekas naib pengerusi DAP Zulkifli Mohd Noor yang gagal dalam pemilihan parti Ahad lalu mendakwa, terdapat pemimpin menggunakan "formula 3M" untuk memperdaya perwakilan.

Zulkifli mendakwa, terdapat penggunaan "man, money and media" (manusia, wang dan media) untuk memastikan perwakilan mengekalkan status quo, bagi menyelamatkan parti itu daripada diharamkan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Beliau juga mendakwa, terdapat juga perwakilan yang diarah atau diugut oleh beberapa pemimpin untuk memenuhi hasrat mereka.

"Perwakilan, kebanyakannya anggota baru, dengan muda dipengaruhi dan percaya pada strategi tipu dan bohong," kata Zulkifli dalam kenyataan.

Sumber: Malaysiakini.com

Jarumemas: Zulkifli dah jadi macam anjing menyalak bukit, Guan Eng dan kuncu-kuncunya tak berganjak sedikit pun. Berundurlah secara terhormat agar orang akan memandang tinggi kepada anda. 

Pemimpin berpengalaman dalam senarai di Sg Limau


Bukan mudah untuk Umno merobek Sungai Limau, kubu kuat PAS yang diperlahankannya sejak 18 tahun lalu - kesemuanya dimenangi bekas menteri besar Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Untuk tujuan itu, akar umbi Umno bahagian itu melihat perlunya calon berpengalaman - sekurang-kurangnya yang pernah menentang allahyarham Azizan untuk menggalas tugas berat itu.

Selaras dengan itu,Malaysiakini difahamkan, dua bekas calonnya antara tersenarai sebagai pilihan bahagian Jerai, iaitu Ketua Bahagian Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dan Naib Ketua Pemuda Basori Hassan.

Seorang lagi calon yang dikemukakan bahagian Naib Ketua bahagian Datuk Ikmal Ismail.



Jarumemas: Pilihlah pemimpin yang mahu mendengar rintihan dan masalah rakyat bukan yang macam kad touch-n-go. 

IGP: Boleh jadi senjata api jatuh dalam laut


Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yakin bahawa senjata api polis yang dilaporkan hilang dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 tidak jatuh ke tangan penjenayah.

Menurutnya, setiap senjata api dilengkapi tanda pengenalannya dan sehingga kini  polis belum pernah mengesan senjata api tersebut digunakan mana-mana penjenayah.

"Daripada 37 senjata api yg hilang, setakat ini daripada laporan balistik kita, daripada 37 yang hilang itu kita belum kesan lagi bahawa senjata api ini pernah digunakan untuk tujuan jenayah.

"Kehilangan ini tak semestinya jatuh kepada penjenayah, boleh jadi jatuh waktu atas bot dalam laut, boleh jadi jatuh dalam air dan tak ada orang yang dapat," katanya pada sidang media pagi tadi.


Jarumemas: Polis perlu menyiasat dengan terperinci akan keadaan ini supaya perkara ini tidak dipolemikkkan oleh pihak yang sering mencari kelemahan polis.