Tuesday 7 January 2014

S'gor warta tanah untuk 'sekolah bawah pokok'


Selangor tiada masalah untuk mewartakan tanah miliknya, melalui syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) PKNS untuk tapak asal Sekolah Tamil Seaport di Petaling Jaya.

Kira-kira 20 ibu bapa mahu mengekalkan sekolah itu walaupun Kementerian Pendidikan telah memindahkannya ke tapak lain di Kampung Lindungan.



Wakil pejabat setiausaha kerajaan negeri NM Rajan yang berada di sekolah itu pagi ini berkata, kerajaan negeri secara prinsipnya bersetuju dan akan bertemu dengan lembaga sekolah dan ibu bapa untuk menyelesaikan perkara itu dalam masa terdekat.



Jarumemas: Inilah masalahnya apabila pihak kementerian telah memutuskan keputusannya ada pulak pihak lain yang cuba  menjadi hero untuk memansuhkan keputusan yang telah dibuat. 

Itu kereta peribadi saya bukan milik kerajaan negeri

Kedah menafikan laporan sebuah blog pro-pakatan pembangkang yang mendakwa kerajaan negeri membeli sebuah kereta baru sebagai kenderaan rasmi Menteri Besar.
Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir berkata Mercedes Benz S300 yang digunakan beliau di Kuala Lumpur dibelinya dengan wang sendiri dua tahun lepas bagi mengurangkan kos kerajaan negeri.
"Tulisan dan lambang Menteri Besar Kedah pada nombor pendaftaran kenderaan itu bertujuan memudahkan saya memasuki pekarangan Istana Negara atau lain-lain urusan rasmi," katanya kepada pemberita ketika menghadiri perhimpunan bulanan staf Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

Jarumemas: Jangan tuduh melulu tanpa  membuat siasatan terlebih dulu. 

Pengajaran untuk pemimpin masa kini dan inspirasi buat pemimpin masa depan

Setelah seminggu kita memasuki tahun 2014, rentetan peristiwa dan perubahan  yang berlaku baik daripada sudut ekonomi, politik serta sosial sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei 2013 membuatkan kita rakyat Malaysia makin hari makin mencari di manakah dia contoh pemimpin dan juga kepimpinan yang dapat menerajui negara ini di pentas antarabangsa, serantau dan pada masa sama dapat menjaga kebajikan rakyat di peringkat lokalnya.  Kerisauan ini dirasai di setiap lapisan masyarakat umumnya dan di kalangan generasi muda terutama kerana dari lapisan inilah akan lahir generasi pemimpin Malaysia pada masa akan datang.

Pemimpin serta barisan kepimpinan masa kini harus menunjukkan keazaman untuk mencontohi  Dzulkarnain kerana mereka akan dipertanggungjawabkan terhadap setiap tindakan mereka yang mempunyai kesan terhadap rakyat. Dan buat mereka yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin pula siapkan diri anda dengan keperibadian pemimpin yang lama hilang dan dirindui oleh masyarakat di Malaysia ini, sebagaimana yang dicontohkan oleh Dzulkarnain. 

Oleh Awang Ilham. 
Sumber: The Malaysian Insider
Jarumemas: Pemimpin yang adil pemimpin disanjung, pemimpin xalim pemimpin disanggah. 

Mujahid dan Marina diserang pertubuhan Islam kerana didakwa bela Kristian

Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menyifatkan perpecahan umat Islam di dalam negara berpunca daripada sikap umat Islam yang menyokong agama Kristian, termasuk sikap pemimpin Datuk Dr Mujahid Yusof dan Datin Paduka Marina Mahathir yang disifatkannya menyokong Kristian.
"Hujahnya membuat orang awam jadi keliru, atau menerima saja kerana tidak ada neraca syarak untuk menilai. Sangat pelik dan ajaib pendirian itu untuk dipakai bagi pembela yang mengaku menjadi pemimpin Islam," katanya lagi yang merujuk kepada kenyataan Mujahid.
Isma juga kesal dengan tindakan umat Islam yang ke gereja untuk membela Kristian.

Jarumemas: Apabila dunia hampir kiamat, inilah perkara-perkara yang akan berlaku dan akan terus berlaku. Agama ISlam diperlekeh dan orang Islam turut memperlekehkannya. 

Perkasa tidak iktiraf majlis perpaduan, dakwa majoriti ahli bukan Islam

Kumpulan pendesak melayu, Perkasa mengkritik Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (MPPN) dan menegaskan tidak akan sesekali mengiktiraf pertubuhan tersebut mewakili masyarakat Islam.
Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali, berkata Perkasa mempersoalkan kelayakan segelintir anggota MPPN dengan mendakwa majlis itu tidak layak mengeluarkan kenyataan membabitkan isu agama Islam memandangkan majoriti ahlinya adalah bukan Islam.
Malah, katanya, MPPN bukan saja dianggotai majoritinya bukan Islam tetapi diwakili oleh beberapa panel yang berpendirian liberal dalam soal agama.

Jarumemas: Mengapa perkara ini boleh terjadi? Adakah rakyat Malaysia ini semakin liberal dan semakin pandai mengolah? 

Mahkamah Persekutuan perlu segera selesai isu Allah

Bekas peguam negara, Tan Sri Abu Talib Othman mahu Mahkamah Persekutuan Malaysia mengadakan sidang prosiding berhubung isu Allah pada kadar segera supaya satu keputusan muktamad terhadap perkara itu dapat diambil dan “menghalang ketidakadilan berlalu”.
Beliau berkata, isu itu amat penting kepada masyarakat awam dan mahkamah apex perlu mengambil tindakan segera, dan bukannya melihat kejadian yang berlaku membentuk isu berkenaan.
“Ia agak menghairankan apabila Mahkamah Persekutuan memerhatikan dari sisi isu yang membabitkan kepentingan nasional. Anda tidak boleh membenarkan ketidakadilan berlalu begitu sahaja.

Jarumemas: Sewajarnya dilakukan demi keamanan dan keharmonian negara. 

Hard Rock Cafe? Perbadanan tak mahu layan


Perbadanan Putrajaya mengumumkan bahawa pihak berkuasa tersebut tidak akan melayan sebarang cadangan untuk membuka pusat hiburan Hard Rock Cafe di kawasan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu.

Kenyataan presidennya, Tan Sri Aseh Che Mat dalam laporan Utusan Malaysia hari ini menyebut, badan tersebut tidak mempertimbangkannya, dan akan mengembalikan semula kepada pemohon sekiranya cadangan seperti itu dikemukakan.

Kenyataan itu timbul tidak berapa lama selepas laporan The Star yang menyebut, “rancangan itu masih di peringkat awal dan tiada keputusan dibuat”.


Jarumemas: Keputusan terbaik dan tidak akan membuat masyarakat di Putrajaya marah. 

MKPN tak yakin, tapi harap selesai isu 'Allah'


Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) hari ini berkata mereka “tidak yakin” orang tengah dapat memainkan peranan mendapatkan hasil yang damai bagi kedua-dua belah pihak dalam isu penggunaan kalimah Allah.

Ditanya tentang isu itu, pengerusi majlis yang baru ditubuhkan Tan Sri Samsudin Osman berkata: “Kita tidak yakin, tapi kita berharap.”

“Kita tidak boleh kata kita yakin atau tidak tetapi kita akan bekerja sekeras yang mungkin jika terdapat penyelesaian.... Kita boleh cuba,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung langkah kumpulan Islam dan Kristian berhubung yang berkeras berhubung pandangan masing-masing dalam penggunaan kalimah Allah.


Jarumemas: Bermesyuarah adalah lebih baik daripada  berhimpun di jalanan yang tidak akan membawa kepada sebarang penyelesaian. 

Dr Dzul: Rekonsiliasi dwipartisan hadapi kemelut


Demi menangani kemelut ekonomi dan pertentangan agama berterusan, PAS mahu mengangkat semula agenda rekonsiliasi nasional seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad berkata sudah sampai masanya Pakatan Rakyat dan BN secara dwipartisan menentukan langkah menangani pelbagai isu termasuk dua “krisis" itu.

"Serbuan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) telah mencetuskan satu konflik dan pertentangan agama yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat.

"Sementara kemelut kenaikan kos sara hidup untuk menangani hutang negara... Pada 2014 ini, ia merupakan ancaman dan jika berterusan dua atau tiga tahun maka ia sudah tidak boleh ditangani oleh Najib dan kerajaan BN.

"Maka kita menyambut usul agenda rekonsiliasi nasional supaya diangkat (semula)... Ia bukan kerajaan perpaduan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.


Jarumemas: Bersatulah demi agama, bangsa dan negara. 

Tiada Hard Rock Cafe di Putrajaya


Hard Rock International menjelaskan ia tidak ada niat untuk membuka cawangan baru di Malaysia ataupun mengeluarkan apa-apa kenyataan berkenaan itu, selain daripada yang telah diumumkan sebelum ini.
    
"Hard Rock International mempunyai prosedur operasi yang ketat untuk mengenal pasti dan mengkaji satu-satu pasaran sebelum membuka cawangan baharu, mengambil kira budaya tempatan dan permintaan pasaran.
    
"Pengumuman pembukaan cawangan baharu akan datang daripada Hard Rock International dan bukan daripada mana-mana pihak ketiga," katanya dalam satu kenyataan yang diterbitkan semalam.
    
Sebelum ini, dilaporkan Hard Rock International dijangka membuka satu cawangan Hard Rock Cafe di Putrajaya tahun ini.
    
Sumber: Bernama

Jarumemas: Terbaik!!!