Monday 22 April 2013

Isu Pertindihan Kerusi PAS-PKR Masih Temui Jalan Buntu - Naib Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 22 April -- PAS dan PKR masih belum menyelesaikan isu pertindihan calon antara kedua-dua parti pembangkang itu di satu kerusi Parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum 5 Mei ini, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Beliau berkata satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan kemelut itu.

Katanya mesyuarat Dewan Harian pada Isnin tidak akan membincangkan isu berkenaan.

"Akan ada satu mesyuarat dalam masa terdekat. Dan segala keputusan akan diumumkan selepas mesyuarat berkenaan, "katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan borang keanggotaan PAS oleh bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib di ibu pejabat parti itu di sini.

Ditanya kemungkinan PAS tidak akan berkerjasama lagi dengan PKR jika penyelesaian isu itu menemui jalan buntu, Salahuddin berkata: "Ia tidak akan berlaku".

Pada hari penamaan calon Sabtu lepas, PAS menamakan Hadnan Mohamad manakala Tan Sri Ibrahim Manudi menwakili PKR bagi kerusi Parlimen Labuan.

Pertindihan turut berlaku di enam kerusi DUN iaitu Sungai Acheh (Pulau Pinang), Kota Damansara (Selangor), Bukit Besi , Kota Putra, Seberang Takir, ketiga-tiganya di Terengganu dan Panti (Johor).

Sumber: Info Malaysia

Jarumemas: Masing-masing  ada kepentingan, maka jadilah pertindihan...

Hadi Beri Sebab Pertindihan Kerusi Pada Ceramah PAS Di Marang

MARANG, 22 April -- Sikap yang bercanggah dengan fahaman parti dan salah faham di saat-saat akhir sebelum berakhir waktu pencalonan antara punca insiden berlakunya pertindihan kerusi antara rakan pakatan pembangkang, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Jelas calon Parlimen Marang dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Ru Rendang ini, PAS tidak menentang calon 'kawan-kawan' pada pilihan raya sebaliknya bertindak menurunkan calonnya bertanding di beberapa tempat kerana mahu menyelamatkan parti dan pakatan pembangkang daripada anasir 'syaitan'.

"PAS bertindak untuk memelihara keteguhan, bukan sahaja masa pilihan raya, keteguhan oleh Allah supaya syaitan-syaitan tak boleh masuk dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Sumber: Info Malaysia

Jarumemas:  Siapalah agaknya Haji Hadi nak mainkan dengan ayat begini? 

Muhammad Taib Tetap Akui Jasa BN

KUALA LUMPUR, 22 April -- Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang menyerahkan borang menyertai PAS hari ini, tetap mengakui Barisan Nasional telah banyak berjasa dalam membangunkan negara secara dinamik sehingga menjadi maju.

Malah hasil kemakmuran negara banyak melahirkan golongan berpendapatan tinggi terutamanya bagi orang Melayu, katanya semasa berucap selepas menyerahkan borang kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Ibu Pejabat PAS di sini Isnin.

Turut hadir Timbalan Presiden PAS Mohamed Sabu, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Muhammad Taib yang berjuang selama 40 tahun bersama Umno berkata yang menjadi kebimbangannya ialah pengisian ilmu agama terhadap generasi muda yang dilihat kurang diberi perhatian sehingga ramai yang tersasar dan mengalami masalah moral dan sosial.

Beliau berkata beliau berhasrat menyertai PAS sejak setahun lepas.

Sumber: Info Malaysia

Jarumemas: Ketika jadi pemimpin kenapa tak terfikir untuk berbuat sesuatu tentang pengisian agama dalam kalangan generasi muda? Adakah dengan menyertai Pas isu ini akan dapat diatasi? Buktikan...

Calon Bebas Parlimen Kota Baharu Guna Media Sosial Untuk Berkempen

KOTA BAHARU, 22 April -- Jika calon yang bertanding kebiasaannya menggunakan pendekatan bertemu pengundi dan berceramah serta mengedarkan poster parti masing-masing, namun Mohd Zakiman Abu Bakar, calon Bebas yang bertanding di dua kerusi di sini, memilih alam maya untuk mendekati pengundi.

Mohd Zakiman, 37, yang akan bertanding di Parlimen Kota Baharu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama, berkata beliau akan menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter dan blog untuk berkempen sepanjang pilihan raya umum ini.

"Saya tidak akan bertemu pengundi, berceramah dan memasang poster sepanjang saya berkempen. Cukuplah saya menggunakan Internet untuk memperkenalkan diri saya kepada pengundi.

"Pendekatan menggunakan media sosial ini akan berkesan jika kena pada caranya dan ini cara saya yang dirasakan lebih praktikal," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sumber: Info Malaysia

Jarumemas: Masih percaya kempen bersemuka  bersama pengundi dan rakyat adalah cara yang paling ampuh untuk memenangi hati mereka. 

Pikat Pengundi Atas Pagar, Golongan Yang Bercadang Sertai Pembangkang - Salang

PAKAN (Sarawak), 21 April  -- Petugas kempen Barisan Nasional (BN) di negeri ini perlu berusaha memikat pengundi atas pagar dan golongan yang baru bercadang menyertai pembangkang.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang berkata tiada alasan untuk mereka menyokong pembangkang, seperti Parti Pekerja Sarawak (SWP), PKR atau DAP.

Ini, katanya, disebabkan sebahagian besar rakyat akan mengundi BN yang sekali lagi akan membentuk kerajaan selepas pilihan raya 5 Mei ini.

Beliau berkata demikian pada perhimpunan di RH.Insilin, Lemujan dekat sini hari ini, bagi memulakan siri kempennya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Julau bagi penggal keempat.

Ketika membidas SWP dan PKR yang meletakkan calon untuk menentangnya, Salang berkata SWP tiada hala tuju manakala PKR pula tidak sudah-sudah membangkitkan isu tanah Hak Adat Pribumi, sungguhpun isu itu tidak relevan di kawasan ini.

Sumber: Info Malaysia

Jarumemas: Sayang Sarawak mendayu-dayu,
                   Lagu asli kesukaan ramai,
                   Pengundi atas pagar dipujuk rayu,
                   Termakan pujukan BN kan lerai. 

Sokongan Kaum Cina Permatang Pauh Kembali Kepada BN - Calon BN

BUKIT MERTAJAM, 21 April -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh Dr Mazlan Ismail percaya kaum Cina di kawasan itu sudah kembali memberi sokongan kepada BN.

Katanya keyakinan itu berdasarkan kehadiran kaum Cina pada setiap program anjuran BN yang bertambah dan rata-rata mereka memberi reaksi positif terhadap program yang dianjurkan.

"Sambutan (masyarakat Cina) sangat hebat dan saya yakin sokongan ini datang dengan penuh keikhlasan daripada mereka semua untuk melihat satu perubahan yang besar berlaku di Permatang Pauh ini.

"Saya juga yakin dengan kawan-kawan saya, pemimpin yang ada di Permatang Pauh ini telah memberikan sokongan yang sangat padu kepada saya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jalinan Mesra 1Malaysia anjuran Gerakan di Kampung Pauh Sama Gajah, dekat sini Ahad malam.

Sumber: Info Malaysia

Jarumemas: Permatang Pauh jadi taruhan, 
                  Dendan Anwar tiada kesudahan
                  Jangan nafsu  jadi taruhan
                  Gunakan akal buat pilihan.

PRU13: Pengundi Perlu Sedar Hanya Parti Yang Boleh Tubuh Kerajaan, Bukan Calon

KUALA LUMPUR, 21 April -- Pengundi perlu sedar dalam menubuhkan kerajaan pusat dan negeri, hanya parti politik yang menang kerusi majoriti Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja boleh berbuat demikian dan bukannya calon.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata sehubungan itu, pengundi tidak sepatutnya mengambil faktor calon sahaja dalam membuat keputusan.

"Pengundi kena ingat, kalau undi calon bebas, ia hanya memenuhi kehendak dan selera calon itu sahaja," katanya pada majlis penyampaian program Peningkatan Hasil Pertanian Peringkat Pertubuhan Peladang Kawasan Hulu Langat Ahad.

Beliau berkata pada pilihan raya umum ke-13, calon bebas tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, oleh itu, pengundi perlu membuat pilihan yang bijak.

Sumber: Info Malaysia

Jarumemas:  Pengundi perlu bijak memilih,
                    Nanti jadi Lebai Malang,
                    Jangan sampai terssalah pilih,
                    Masa depan  akan hilang.
                   

Fokus BN Pada PRU13 Untuk Raih Sokongan Pengundi Atas Pagar

ALOR SETAR, 21 April -- Fokus Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 adalah memastikan pengundi atas pagar, terutama yang berbangsa Cina, menyokong BN sekali gus menyumbangkan undi berharga kepada parti itu.

Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tokai Najmudin Darus berkata sehubungan itu, beliau yakin BN berpeluang menang di kawasan berkenaan.

"Mungkin majoriti undi yang diperoleh sedikit. Sebagai calon BN, saya perlu bekerja kuat untuk pikat hati pengundi yang menyokong pembangkang pada 2008," katanya di sini.

Pada pilihan raya umum kali ini, DUN Tokai menyaksikan pertandingan tiga penjuru iaitu antara Najmudin, Abu Bakar Abdullah iaitu bekas anggota PAS yang bertanding atas tiket Bebas dan penyandang Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul daripada PAS.

Najmudin juga berkata lebih 20 anggota dan penyokong PAS menyatakan hasrat menyokong BN kerana mereka tidak tahan lagi dengan Mohamed Taulan, wakil rakyat yang menghadiri kenduri dan melawat orang meninggal sahaja.

"Saya difahamkan tujuan Abu Bakar bertanding sebagai calon Bebas adalah untuk mengalahkan Mohamed Taulan, yang dikatakan gagal melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan itu," katanya.

Sumber: Info Malaysia

Jarumemas: Jangan duduk atas pagar, 
                  Kalau jatuh sakit jadinya,
                  Jangan cakap berdegar-degar,
                  Nanti tergadai negara sudahnya.
 
 

BN Berada Di Landasan Betul Bangunkan Negara - Musa Aman

SANDAKAN, 22 April  -- Barisan Nasional (BN) berada di landasan betul dalam membangunkan negara dan menjaga kepentingan rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Menurut beliau, BN tidak pernah lari dari landasannya dalam memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan rakyat sepanjang memerintah negara.

"Kita berada di landasan yang benar dalam menjaga kepentingan rakyat dan ia termaktub dalam manifesto pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini. Ia merupakan satu janji kepada rakyat.

"Janji itu akan ditepati," katanya semasa berucap pada majlis Riang Ceria Perpaduan anjuran Jawatankuasa Permuafakatan Rukun Tetangga Sandakan di sini Ahad malam.

Sumber: Info Malaysia

Jarumemas: BN sentiasa memastikan negara maju, aman dan makmur. Pembangkang hanya tahu mencemuh setiap usaha yang dilakukan BN. Pengundi perlu buka mata lihat selama ini siapa yang bertungkus lumus  membangunkan negara.