Susilo cuba diguling?
JAKARTA - Polis Indonesia akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan presiden Susilo Bambang Yudhoyono bahawa ada kumpulan cuba untuk menggulingkannya melalui satu rampasan kuasa sebelum 2014.

Bagaimanapun, beberapa pihak lain menolak dakwaan Susilo itu dan menganggap ia sebagai ‘usaha’ untuk mengalihkan perhatian terhadap rancangan kerajaan bagi menaikkan harga bahan api.

Ketua Polis Nasional, Timur Pradopo berkata, semasa mesyuarat bersama Parti Demokratik pada Ahad lalu, presiden mendedahkan kewujudan kumpulan yang telah mula bergerak dalam senyap untuk menjatuhkannya.

Menurutnya, Susilo mendakwa kumpulan tersebut akan menggunakan momentum kenaikan harga bahan api untuk mencetuskan provokasi dan hasutan.

“Setiap hari saya menerima pelbagai mesej berbentuk sokongan dan ada juga yang berbaur ugutan,” kata presiden itu.

Dakwaan pemimpin tersebut turut mendapat reaksi dari ahli parti gabungannya termasuk timbalan pengerusi Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Nasir Ali yang menyifatkan kenyataan presiden itu hanya akan memberi kesan negatif kepada masyarakat.

“Sebagai pemimpin tertinggi negara, beliau sepatutnya kuat menghadapi cabaran dan bukannya merungut untuk menunjukkan dia seorang lelaki yang lemah,” jelasnya.

Sumber: Sinar Harian.

ooppss!!!... Kalau seorang pemimpin itu berjaya membawa pembaharuan dan kemajuan kepada negaranya kenapa mesti digulingkan? Di Indonesia rakyatnya ramai, ramai bakal-bakal pemimpin yang boleh diketengahkan. Di Malaysia? Rakyat kita cuma 28 juta sahaja, itupun sudah ada yang  mengidam nak jadi PM, biarpun kewibawaannya menjadi tanda soal.