Wednesday 24 April 2013

PAS Kelantan Lancar Manifesto Dengan Sembilan Tawaran

PASIR PUTEH, 24 April -- PAS melancarkan manifestonya untuk Kelantan yang bertema Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan, dengan mengemukakan sembilan tawaran.

Antaranya, pembangunan rohani demi keberkatan Allah; melaksana keadilan untuk rakyat; kemakmuran ekonomi secara adil dan saksama; mewujudkan sosio budaya berteraskan iman, ilmu dan amal; pembangunan tanah dan ekonomi; mempertingkat taraf hidup ke arah masyarakat madani, kehidupan sosial yang harmoni dan kebajikan serta pembangunan kaum wanita dan anak muda.

Manifesto itu dibentang Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Wan Nik Wan Yusof di Padang Majlis Daerah Pasir Puteh di sini Selasa malam.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sumber: Info Malaysia

Jarumemas: Menifesto yang caca marba...

Populariti Artis Bukan Jaminan Boleh Raih Undi - Penganalisis

KUALA LUMPUR -- Pilihan raya umum ke-13 menyaksikan tiga orang artis atau lebih tepat lagi penyanyi turut menjadi calon.

Mereka yang bertanding atas tiket pembangkang dan Bebas mempunyai alasan tersendiri untuk menjadi calon dan mewakili parti-parti berkenaan.

Namun yang menjadi persoalan ialah sama ada golongan artis mampu memenangi hati pengundi untuk memenangkan pula parti yang memilih mereka sebagai calon.

Bagi Prof Madya Dr Ismail Sualman, pengundi kini tidak hanya memandang populariti, tetapi mereka melihat sejauh mana artis berkenaan boleh membawa isu tempatan dan nasional.

"Pengundi mahu melihat rekod kerja mereka, sama ada mereka pernah terlibat dalam politik walaupun sebagai pemimpin bawahan atau terlibat dalam penyelesaian sesuatu isu. Mungkin mereka akan dipilih pengundi nanti," katanya.

Ismail selaku pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara berkata jika artis hanya muncul secara tiba-tiba tanpa ada latar belakang politik, peratusan pengundi untuk memilih mereka adalah sangat kecil.

Sumber: Info Malaysia

Jarumemas: Hanya nak harapkan glamour aje...

Hadi Ulangi Pendirian Jawatan PM Hanya Layak Untuk Orang Islam

HULU TERENGGANU, 24 April  -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendiriannya bahawa jawatan Perdana Menteri hanya layak dipegang oleh orang beragama Islam.

Menegaskan demikian ketika berceramah di Kuala Berang di sini lewat malam tadi, Abdul Hadi berkata bagaimanapun soal menteri, tidak kira individu itu Islam atau tidak, masih boleh menjadi menteri seandainya pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

"Memerintah negeri (bukan Islam) boleh dengan orang Islam, syaratnya, nombor satu, Perdana Menteri adalah orang Islam, yang jaga dasar negara mestilah orang Islam di negara Islam. Kalau bukan Islam, suruh dia masuk agama (Islam).

"Tetapi (contohnya) kalau (jawatan) Menteri Kerja Raya, kalau dia bukan Islam tapi dia mahir bab jalan raya boleh buat bangunan, kita lantik dia. Tapi kalau nak lantik dia jadi Menteri Jaga Masjid memang tidak boleh," katanya.

Malah calon Parlimen Marang dan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang itu turut memperlekeh dan menyifatkan usaha kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) membangunkan Tasik Kenyir sebagai zon pulau bebas cukai serta pembinaan Zoo Kemaman di negeri ini sebagai suatu pembaziran wang rakyat.

Selain Hadi, beberapa pemimpin PAS turut berceramah dan mereka hanya mengupas isu lapuk yang pernah dimainkan sebelum ini serta menjadikan pentas ceramah sebagai tempat mengkritik pemimpin tertinggi BN pusat selain pemimpin negeri seperti Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said secara terbuka.

Sumber: Info Malaysia

Jarumemas: Jangan jadi Si Luncai sudahlah Hadi....

Kedah Umum 5 Mei Cuti Sempena Pru13

ALOR SETAR, 24 April -- Kerajaan Kedah hari ini mengumumkan cuti umum pada 5 Mei ini sempena pilihan raya umum ke-13.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata pengumuman ini dibuat bagi memudahkan penjawat awam, pekerja swasta dan rakyat Kedah keluar mengundi pada hari tersebut.

Katanya perkara itu diputuskan pada mesyuarat Exco hari ini yang diadakan khusus untuk membincangkan perkara itu dan cuti umum itu adalah berdasarkan Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan 1951.

"Orang ramai boleh keluar mengundi. Tak ada masalah lagi nak keluar mengundi atau tidak," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kota Darul Aman di sini.

Ahad merupakan hari bekerja di Kedah.


Sumber: Info Malaysia


Jarumemas: Kalau BN buat begini dah tentu puak-puak pembangkang kata BN nak beli undi...

Konsep Perkongsian Kuasa BN Berjaya - Dr Mahathir

IPOH, 24 April -- Konsep perkongsian kuasa Barisan Nasional dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini terbukti menjadi formula yang berjaya membawa pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan keamanan serta kestabilan di negara ini, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Tiada siapa pun yang boleh menafikan bahawa negara ini berkembang dan menjadi kaya kerana BN berupaya mentadbir negara ini dengan baik," katanya pada majlis jamuan malam bagi meraikan beliau di Ipoh, Selasa malam.

Dr Mahathir menegaskan terdapat sesetengah pihak percaya bahawa Malaysia telahpun menjadi sebuah negara maju, hasil usaha kaum utamanya selain penduduk di Sabah dan Sarawak yang sedia bekerjasama dalam sebuah parti gabungan demi kejayaan negara ini.

Sambil membidas parti pembangkang yang cuba meniru cara BN mewujudkan sebuah perikatan, beliau berkata parti gabungan pembangkang bukanlah tulen.

Tidak seperti BN, katanya, mereka bertanding dalam pilihan raya menggunakan lambang masing-masing dan kekurangan ideologi serta dasar bersama.

Sumber: Info Malaysia

Jarumemas: Dengarlah kata dan nasihat orang yang tersohor dengan corak kepimpinannya suatu ketika dulu.