Wednesday 27 November 2013

15,291 Kes Kehilangan Kad Pengenalan Dilaporkan Di N.Sembilan Sehingga Okt Lepas

SEREMBAN, 26 Nov (Bernama) -- Sejumlah 15,291 kes kehilangan kad pengenalan dilaporkan di Negeri Sembilan dari bulan Januari hingga Oktober lepas, kata pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Negeri Sembilan Mohd Faizal Abdul Manap.

Beliau berkata bagi tempoh yang sama, sebanyak 565,157 kes kehilangan kad pengenalan berlaku di seluruh negara.

"Jumlah kes kehilangan yang tinggi ini boleh memberikan kesan yang negatif terutamanya jika kad pengenalan tersebut jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Lagi...www.bernama.com

Jarumemas: Kecuaian atau disengajakan? Sebagai pemegang MyKad sewajarnya kita menjaganya dengan penuh hati-hati dan kehilangannya perlu segera dilaporkan kepada pihak JPN, jika tidak mana-mana pihak yang menjumpai MyKad yang hilang tersebut sudah pasti akan menyalahgunakannya. 

Pengusaha Makanan Digesa Pasang Perangkap Minyak Atau Lesen Ditarik - Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Mulai Januari depan, pengusaha makanan di Wilayah Persekutuan yang gagal memasang perangkap minyak di premis mereka akan dikenakan tindakan lebih tegas termasuk kemungkinan ditarik balik lesen.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pemasangan alat itu sebenarnya telah dilaksanakan sebelum ini, justeru langkah mengetatkan lagi penguatkuasaannya tidak sepatutnya menjadi beban kepada pengusaha berkenaan.

"Kita memang dah buat, tetapi kalau tak sempat (pasang) dia (peniaga) kena bagi maklum balas kepada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), tetapi kita akan mula 1 Jan bagi semua premis yang ada tempat memasak," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan (MPPPKWP) Peringkat Pusat kali kedua di sini hari ini.

Lagi...www.bernama.com

Jarumemas: Teman lebih suka masak dan makan di rumah. Kalau asyik makan di luar duit tak cukup. 

Kementerian Pertahanan Pandang Serius Isu Mengintip Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertahanan memandang serius dakwaan bahawa Singapura terbabit dalam kegiataan mengintip Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perbuatan sedemikian bukan sahaja menyentuh soal maruah, malah turut menjejas kedaulatan negara.

"Saya tidak menafikan kemampuan Singapura untuk melakukan risikan dan pengintipan sedemikan rupa. Ia bukan sesuatu perkara yang baru.

"Pihak kita juga memiliki kemampuan yang sama. Namun, kita tidak tergamak melakukan risikan dan pengintipan terhadap sahabat dan negara terutama (bila) ia menyentuh soal maruah dan kedaulatan sesebuah negara," katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Lagi...www.bernama.com

Jarumemas: Pak Menteri jangan hanya suka keluarkan kenyataan sahaja. Bertindak pantas adalah lebih baik. Sepatutnya perkara ini telah lama disedari dan ditangasni tanpa pengetahuan rakyat. Jangan sampai nasi dah jadi bubur baru nak bertindak. 

Rais: UIAM Terus Usaha Penyelidikan Cari Penyelesaian Masalah Umat Islam

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan meneruskan usaha melakukan penyelidikan secara khusus berkaitan permasalahan yang sedang dihadapi umat Islam masa kini.

Presidennya Tan Sri Dr Rais Yatim berkata UIAM melalui Institut Pemikir dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) akan terus melaksanakan tanggungjawab berkenaan dengan mengkaji pelbagai topik yang relevan demi keharmonian dunia Islam.

"Masalah yang dihadapi oleh Muslim atau ummah di negara ini termasuk konflik Syiah, Sunni dan juga keadaan yang memerlukan kita mencari penyelesaian akan kita buat penyelidikannya," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas merasmikan "Persidangan Antara Agama: Agama Bagi Pembangunan Negara" di ISTAC, di sini, Selasa.

Lagi...www.bernama.com

Jarumemas: Usaha yang sangat baik demi agama agar Islam dapat menyerlah seperti pada zaman-zaman kegemilangannya dulu. 

Singapura Perlu Kemuka Bukti Jelas Jika Tidak Terlibat Dakwaan Mengintip Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Singapura perlu mengemukakan bukti dan maklumat yang jelas sekiranya dakwaan negara itu terlibat dalam kegiatan pengintipan terhadap Malaysia tidak benar.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan memandang serius terhadap dakwaan itu kerana Singapura adalah jiran terdekat dan mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia.

"Apapun maklumat yang kita dapati, yang berkaitan dengan soal espionage yang disebutkan oleh siapapun yang ada kaitan dengan negara kita sesuatu yang kita tidak pandang ringan.

"Kalau Singapura berkata itu tidak berlaku ia harus memberi kita maklumat untuk menafikan dan bukti yang menunjukkan hal itu tidak benar," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup Latih Amal Krisis Siber Negara 2013 (X-Maya 5) di sini Selasa.

Beliau berkata dakwaan sedemikian tidak sepatutnya berlaku memandangkan hubungan baik yang terjalin antara Singapura dan Malaysia sejak sekian lama.


Lagi...www.bernama.com

Jarumemas: Mengingatkan kita kepada sejarah kalahnya Melaka kepada Portugis pada 1511 kerana adanya Raja Mandeliar dan Si Ketol yang menjadi dalang membuka pintu negeri Melaka sehingga kapal-kapal perang Portugis berjaya menakluk dan menawan Melaka. 

YADIM Harap Muzakarah Umno-PAS Disegerakan

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berharap muzakarah antara Umno dan PAS dapat disegerakan kerana ia memberi kesan positif kepada budaya baharu politik Melayu-Islam.

Yang di-Pertuanya Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan Selasa berkata sudah tiba masanya untuk pemimpin kedua-dua parti terbesar mewakili Melayu berlapang dada dalam menangani isu yang menyentuh kepentingan agama dan bangsa.

"YADIM juga menyeru supaya semua pihak menyokong usaha ini kerana permuafakatan sesama Islam adalah tuntutan agama. Usaha ini mempunyai nilai yang sangat tinggi dan hanya mereka yang berjiwa kecil sahaja tidak menginginkan usaha ini dilaksanakan," katanya.

Beliau menambah YADIM menyokong penuh sebarang usaha mengadakan muzakarah itu dan berpendapat kenyataan pemimpin kedua-dua parti Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang wajar disambut secara positif.

Asyraf Wajdi juga berkata umat Islam sudah mulai jemu dengan polemik kepartian dan pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan, hingga ada yang menggadaikan prinsip dan kepentingan agama serta bangsa.

Niat untuk mengadakan muzakarah itu disuarakan Abdul Hadi semasa menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Shah Alam, dekat sini Ahad lalu.

-Sumber: BERNAMA


Jarumemas: Ada baiknya demi agama dan orang Melayu. Kita tidak mahu anak cucu kita nanti hidup menumpang di tanah air sendiri dan kita akan disumpah oleh mereka kerana gagal menjaga dan mempertahankan maruah bangsa dan  agama. 

CUEPACS Cadang Tambah Anggota Kastam Di Pelabuhan Atasi Penyeludupan

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan ditambah bilangan anggota penguat kuasa Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di pelabuhan bagi memastikan kecekapan pasukan itu menangani penyeludupan melalui laut di tahap optimum.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata pertambahan itu memudahkan anggota penguat kuasa memantau lebih teliti barangan kontena dengan lebih pantas tanpa mengorbankan masa proses kemasukan dan penghantaran barangan dagang.

Beliau berkata pertambahan itu juga dapat memastikan Kastam membuat pemeriksaan terhadap dokumen palsu pengisytiharan barangan kontena dengan efisien.

"Kita dapati anggota KDRM didapati bekerja di dalam bilangan syif yang banyak hingga mereka hilang tumpuan ketika berada di tempat kerja hingga menyebabkan pemeriksaan kastam dapat dibolos dengan mudah," katanya ketika dihubungi Bernama.


Lagi...www.bernama.com

Jarumemas: Jangan sampai penambahan yang dibuat juga tidak menjalankan dengan baik tugas yang diamanahkan. Jangan sampai harapkan pagar, pagar makan padi!!!

Malaysia Minta Penjelasan Singapura Berhubung Laporan Pengintipan

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Luar Malaysia Selasa meminta penjelasan daripada Pesuruhjaya Tinggi Singapura Ong Keng Yong berhubung dakwaan penglibatan negara itu dalam kegiatan pengintipan terhadap Malaysia.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataan di sini berkata Ong mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Othman Hashim berhubung perkara itu di sini.

"Ketua Setiausaha menyampaikan kebimbangan Malaysia berhubung dakwaan kegiatan pengintipan Singapura terhadap Malaysia, dan menegaskan bahawa kegiatan seumpama itu mencabuli kedaulatan Malaysia dan juga terhadap privasi individu," katanya.

Kegiatan seumpama itu, beliau berkata sepatutnya tidak dilakukan di kalangan rakan dan jiran terdekat seperti Malaysia dan Singapura apabila kedua-dua pihak saling memupuk perkongsian strategik dan hubungan yang erat.

Anifah menegaskan bahawa laporan berkenaan kegiatan pengintipan telah menyebabkan kemarahan dan kekecewaan di kalangan rakyat Malaysia.


Lagi....www.bernama.com

Jarumemas: Mungkin ada musuh dalam selimut yang menggunting dalam lipatan. Kerajaan perlu mengenal pasti dalang-dalang yang cuba menghancurkan negara sendiri. Jangan kita cari orang luar yang cuba mengintip, orang dalam pun mungkin sudah dibeli bagi menyampaikan maklumat negara kepada  Singapura dan lain-lain negara. 

SPAD Lindungi Kepentingan Awam Sebelum Putuskan Kenaikan Tambang Bas Sekolah

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan memberi pertimbangan ke arah melindungi kepentingan awam sebelum membuat keputusan berhubung cadangan menaikkan tambang bas.

Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar berkata suruhanjaya itu juga akan berusaha mencapai formula agar tidak menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pihak yang berkaitan.

"Kadar tambang bagi bas sekolah akan diumumkan tidak lama lagi. Kami mengadakan beberapa mesyuarat dan meneliti beberapa cadangan.

"Kami perlu menimbangkan (kepentingan) orang awam juga, kerana mereka sudah tentulah tidak mahu sebarang kenaikan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pengangkutan Bandar dan Transit Aliran Massa (MRT) 2013 di sini Selasa.

Syed Hamid mengulas cadangan Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia untuk menaikkan tambang bas sebanyak 30 peratus di seluruh negara, sebelum bermulanya sesi persekolahan awal Januari ini.

Lagi...www.bernama.com

Jarumemas: Bukan semua ibu bapa yang menggunakan pengusaha bas untuk menghantar anak-anak merka ke sekolah orang yang kaya. Orang kaya hantar anak-anak mereka  naik kereta peribadi yang dihantar sama ada ibu bapa sendiri atau pemandu. Berpada-padalah timbang naikkan harga tambang bas sekolah. 

Taska, Pengasuh Atau Berhenti Kerja: Dilema Ibu Bekerja

Oleh Siti Nursuraya Ali

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Setiap wanita bekerja yang bakal melahirkan anak, sering tidak lari daripada berhadapan dilema di mana hendak ditempatkan si manja apabila kembali bertugas selepas tamat tempoh berpantang.

Di Malaysia, dalam soal menjaga si manja terdapat beberapa pilihan bagi kaum hawa yang bekerjaya tetapi ia bukanlah semudah yang dianggap.

Antaranya mereka boleh memilih untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada anak dan keluarga.

Namun bukan semua wanita berkeluarga mampu meninggalkan pekerjaan kerana rezeki mereka itu penting untuk menampung keperluan keluarga.

Pilihan lain, yang mungkin praktikal bagi kebanyakan wanita bekerjaya adalah meminta bantuan keluarga untuk menjaga anak semasa bekerja, mendapatkan orang gaji, atau menghantar kepada pengasuh ataupun pusat penjagaan kanak-kanak.

Walau apa jua pilihan yang diambil, sudah tentu ada kebaikan atau kelemahannya. Ramai ibu yang khuatir untuk meninggalkan anak di bawah jagaan mereka yang bukan ahli keluarga memandangkan terlalu banyak kemalangan atau kes penderaan ke atas kanak-kanak dilaporkan oleh media.

Bernama cuba mengupas realiti keresahan setiap ibu apabila memikirkan langkah terbaik untuk anak dan pada masa yang sama mereka boleh meneruskan usaha mencari rezeki.

Lagi...www.bernama.com

Jarumemas: Adakah ibu-ibu bapa muda kini, yang mempunyai anak-anak kecil mempunyai pilihan untuk mengatasi masalah penjagaan anak-anak mereka? Untuk menghantar anak ke pusat-pusat jagaan harian pelbagai maslah yang timbul. Untuk mengambil pembantu rumah warga  asing pun menyusahkan kerana perlu membayar ribuan ringgit sedangkan perkhidmatan mereka  masih belum pasti memuaskan. Meminta ibu bapa di kampung untuk menjaga anak-anak mereka bukanlah satu jawapan yang baik, mungkin buat sementara waktu boleh diterima. Ini kerana  ibu bapa perlukan masa untuk berehat dan melaksanakan amal ibadat untuk bekalan akhirat. Oleh itu, ibu-ibu bapa muda perlu memikirkan yang terbaik bagi megatasi masalah mereka. Fikir-fikirkanlah!!!

Akta Perlindungan Data Peribadi Berkuat Kuasa 15 Nov, Kata Ahmad Shabery

PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Selasa mengumumkan 15 Nov lalu sebagai tarikh penguatkuasaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709), diperkenalkan khusus bagi mencegah penyalahgunaan data peribadi orang awam untuk tujuan komersial.

Selaras dengan penguatkuasaan akta itu, semua pihak yang dikategorikan sebagai pengguna data di bawah Perintah Golongan Pengguna Data kini diberi tempoh sehingga 15 Feb tahun depan untuk mendaftar dengan Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia (JPDPM).

Di bawah undang-undang tersebut, adalah menjadi kesalahan bagi mereka mendedahkan data peribadi kepada pihak ketiga tanpa persetujuan pemilik.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang membuat pengumuman itu berkata akta diluluskan pada April 2010 itu merupakan sebahagian matlamat dasar ke-10 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu bagi menjamin keselamatan maklumat dan kebolehpercayaan serta keutuhan rangkaian dalam perlindungan data di Malaysia.


Lagi...www.bernama.com

Jarumemas: Terbaik untuk orang ramai. 

Pemimpin 11 Cabang PKR Sabah Keluar Parti, Sokong BN

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Pemimpin 11 cabang PKR Sabah mengambil keputusan untuk keluar parti hari ini dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Mereka terdiri daripada ketua cabang, timbalan ketua cabang dan ketua penerangan cabang parti itu dari Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Sepanggar, Pensiangan, Beluran, Kinabatangan, Batu Sapi, Silam, Kalabakan dan Semporna.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media di sini berkata mereka mengambil keputusan itu kerana sudah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan PKR dan memberi kepercayaan kepada kepimpinan BN di peringkat nasional dan negeri.

Beliau berkata gelombang kedua akan berlaku tidak lama lagi apabila banyak lagi pemimpin PKR Sabah akan keluar parti dan menyokong BN.


Lagi...www.bernama.com

Jarumemas: Bangkai semut boleh ditutup, inikan pula bangkai gajah. Lama kelamaan rakyat sedar apa yang cuba dibawa oleh PKR dan ke mana hala tuju pemimpinnya yang hanya mementingkan diri sendiri.