Thursday 30 January 2014

PRK Kajang: Mandat rakyat yang sangat mahal –

Rakyat bakal menyaksikan pertembungan pilihanraya yang mahal, ekoran perletakan jawatan Adun Kajang, Lee Chin Cheh, tanpa sebab munasabah. Walau apapun alasannya, pilihan raya kecil terpaksa dijalankan dengan kos yang ditanggung dana awam, di samping pelbagai pengumuman projek dan pemberian imbuhan yang mencecah ratusan juta.

Jelas ada kelompangan dalam perjalanan demokrasi pilihan raya di Malaysia. Golongan muda berpendapat, demokrasi yang matang menyanjung dan menghormati ketinggian nilai mandat yang diberikan oleh rakyat. Jika dahulu ada yang khianati mandat dengan melompat parti, kini ada yang “pertaruhkan” mandat dengan meletakkan jawatan.

Sudah tiba masanya satu kajian dibuat bagi mencari mekanisma atau peraturan yang dapat mengekang situasi ini, sama ada dengan meminda akta pilihan raya ataupun fasal perlembagaan berkaitan.

Satu bentuk penalti monetari yang tinggi patut dikenakan pada wakil rakyat yang meletakkan jawatan secara sengaja tanpa alasan munasabah, contohnya minima RM500,000 untuk Ahli Dewan Rakyat dan RM300,000 untuk Ahli Dewan Negeri, sebagai “denda moral” terhadap hilangnya nilai integriti calon dan parti yang diwakili.
Oleh Syahir Sulaiman

Jarumemas: Pembangkang sengaja mahu kerajaan berbelanja supaya akhirnya  nanti mereka juga yang akan menuduh kerajaan menghabiskan duit rakyat. 

Rekonsiliasi nasional ketika Pakatan huru hara?

Apakah Datuk Seri Najib Razak benar-benar serius untuk membentuk rekonsiliasi nasional? Inilah persoalan yang pertama timbul susulan kenyataan beliau lewat petang semalam.
Ini kerana, ketika pasukan medianya menyediakan kenyataan persetujuan Kabinet untuk membentuk rekonsiliasi nasional, Najib membuat satu kenyataan pedih untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini berulang kali menyambut baik cadangan rekonsiliasi nasional ini.
Persoalan timbul, mengapa rancangan rekonsiliasi nasional datang ketika Pakatan Rakyat dalam "huru-hara" akibat perletakan jawatan Adun Kajang yang menimbulkan kontroversi.
Adakah rancangan ini mahu menangguk di air keruh atau memasakkan baji di tengah rekahan dalam Pakatan Rakyat.
Analisis  oleh  Zulkifli Sulong. 

Jarumemas: Jangan terlalu terikut-ikut rentak dan kemahuan pembangkang, itu akan menunjukkan sikap pemerintah yang 'flip-flop' dan akan membuat rakyat meras bosan dengan pemerintah. 

Kalendar ‘Kebangkitan Malaysia’ sepanjang tahun untuk rakyat

Satu kalendar e-mel bertajuk "Kebangkitan Malaysia" yang sedang diedarkan di ruang siber dengan jelas menyatakan apa yang akan diperoleh oleh rakyat Malaysia sepanjang tahun ini.
Sumber kalendar kreatif  itu tidak diketahui, namun pada kata aluannya dinyatakan bahawa ia dihasilkan oleh rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia.
Tujuannya adalah untuk mengingatkan rakyat mengenai kenaikan kos sara hidup yang dipecahkan kepada 12 segmen, satu untuk setiap bulan.
"2014 akan menjadi tahun kewangan suram bagi rakyat Malaysia dengan kenaikan kadar tol, tarif elektrik, pengangkutan awam, kemungkinan pengurangan subsidi bahan api dan pelaksanaan GST," tertulis pada kalendar itu.
Dikatakan banyak maklumat pada kalender itu berdasarkan sumbangan oleh mereka yang "meluahkan kekecewaan" di laman Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Jarumemas: Tak habis-habis mahu memburukkan nama PM. PMO perlu berbuat sesuatu bagi menjernihkan kembali nama PM. 

Dalam suasana getir, PAS hulur semangat setiakawan kepada Anwar, kata Salahudin

Tindakan PAS memberikan sokongan penuh kepada pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang adalah untuk menunjukkan semangat setiakawan ketika parti rakannya itu sedang menghadapi masalah.
Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dalam satu kenyataannya hari ini berkata:"Adalah penting di saat-saat sukar begini PAS terus dilihat sebagai rakan yang setia dalam persahabatan."
Kenyataan ini dibuat Salahudin ketika pelbagai kenyataan dibuat oleh pemimpin muda PAS bagi membantah apa yang belaku berikutan peletakan jawatan Adun Kajang.

Jarumemas: Sokong  membawa rebah????

NGO protes, syaki masjid 'mungkin' diserang

Sekumpulan kira-kira 150 ahli NGO Melayu mengadakan protes di luar masjid Bayan Baru malam tadi kerana mengesyaki ada pihak-pihak tertentu merancang untuk "menyerang" masjid.


Difahamkan sepuluh buah NGO, termasuk Persatuan Belia Merong, Persatuan Mukabuku Pulau Pinang, Persatuan Kebajikan Insan Mulia, PERKASA, Skuad Rejam, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Al Ehsan, menyertai protes tersebut pada kira-kira 8 malam di luar masjid berkenaan.


Mereka mengutuk sepanduk memaparkan kalimah 'Allah' yang ditemui di luar lima buah gereja di Pulau Pinang pada hari Ahad walaupun pihak gereja telah membuat laporan polis menafikan mereka bertanggungjawab terhadap sepanduk tersebut.


Dengan membawa sepanduk yang menegaskan hak eksklusif penggunaan kalimah 'Allah' oleh orang Islam, kumpulan tersebut kemudian berarak ke balai polis berdekatan Bayan Baru untuk membuat laporan berhubung perkara itu.


Jarumemas: Bangkit wahai orang Islam jangan sampai kita diperkudakan dan agama kita dipermain-mainkan. Semoga Allah bersama-sama kita menentang kefasikan ini. 

Ribut melanda, pejabat MB masih tenang


Tiga jam selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal bertanding di Kajang, para pemerhati masih bingung memahami kesannya.

Pengumuman itu dilakukan ketika spekulasi hangat diperkatakan Anwar bakal menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor.

Bagaimanapun keadaan di pejabat menteri besar masih tenang, berbeza dengan ribut taufan kata-kata dan spekulasi di luar.


Soalan yang terngiang di fikiran semua orang, bagaimanapun bukan apa yang dipelajari Khalid dalam politik tetapi adakah beliau akan kekal sebagai menteri besar jika Anwar menang pilihan raya.


Beliau terus menjawab: "50-50"

"Dia (Anwar) boleh cakap 'Saya perlukan awak' atau 'saya tak perlukan awak'."



Khalid bagaimanapun pantas berkata hal ini bukan mudah berdasarkan sejarah politik istana negara ini.

Menurut beliau, perlembagaan Selangor menyatakan Sultan mempunyai kuasa istimewa memilih calon sendiri walaupun calon yang dicadangkan mendapat sokongan Dewan Undangan Negeri (DUN).


Jarumemas: Kita tunggu dan lihat sajalah.

JPJ nafi dakwaan operasi tersebar di media sosial

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan beberapa dakwaan berkaitan Operasi Tahun Baharu Cina (Ops TBC) 2014 yang tersebar melalui media sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Khabar angin disebarkan melalui media sosial dan SMS berhubung Ops TBC 2014 yang mendakwa JPJ akan mengadakan ops penyamaran tanpa sekatan jalan raya; anggota JPJ diberi sasaran 15 saman; anggota JPJ tidak memakai pakaian seragam; dibenarkan menggunakan kenderaan sendiri ketika bertugas; dibenarkan membuat tuntutan dan saman dikenakan tidak kurang daripada RM1,000.
    
Jabatan itu dalam satu kenyataan menjelaskan JPJ mempunyai pasukan penyamaran bagi mengesan kesalahan-kesalahan utama yang boleh menyebabkan kemalangan.
    
Katanya, pasukan tersebut hanya mengumpul bukti bergambar dan menghantar notis siasatan kepada pemilik berdaftar untuk hadir temusiasat bagi menentukan pesalah sebelum saman dikeluarkan.


Jarumemas: Teman pun ada dapat watsapp dari kawan-kawan berkaitan perkara ini. Teman agak mesti ada ketirisan selepas mesyuarat tersebut oleh mereka yang tidak bertanggung jawab. Tontolah tu!!!

Dapat negeri pun jadilah, sindir Dr M

Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pilihan raya kecil Kajang untuk menunjukkan kebolehan, seterusnya meyakinkan rakyat yang beliau boleh menjadi perdana menteri, kata bekas perdana menteri.


"Soal apa yang jadi lepas jadi perdana menteri tak penting, (yang penting) jadi perdana menteri," kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir berkata demikian ketika ditemubual menerusi program "Dalam Radar Khas" terbitan Bernama Radio24, di ibu negara petang ini.


Menurut Mahahir, jawatan menyeri besar Selangor yang diintai Anwar seperti diperkatakan banyak pihak bukanlah matlamat sebenar Anwar jika beliau memenangi pilihan raya kecil di Kajang nanti.


Jarumemas: Anwar dah terlalu kemaruk nak berkuasa, menjadikan matlamat menghalalkan cara. 

'Demi seorang lelaki,' kata Najib

Dalam tweet terbarunya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pilihan raya kecil Kajang diadakan demi kepentingan seorang lelaki.
    
Dengan tidak menamakan lelaki itu, beliau menyatakan: "Tanpa memikirkan soal persaingan, pilihan raya kecil di Kajang bukannya mengenai rakyat tetapi lebih kepada kepentingan seorang lelaki #BETTERNATION."

Lagi....www.malaysiakini.com

Jarumemas: Biarkan si Labu terjun dengan labu-labunya....

Badi kerusi MB Selangor


Ketika negara bersiap sedia untuk berdepan dengan satu lagi pilihan raya kecil, kali ini dicetuskan oleh satu langkah taktikal PKR, spekulasi sama ada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan kekal sebagai menteri besar (MB) Selangor semakin hangat diperkatakan.

Jika Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menang pilihan raya kecil DUN Kajang dan menggantikan Abdul Khalid sebagai MB, maka Abdul Khalid bukanlah MB Selangor yang pertama diminta memberi laluan atas sebab-sebab politik.

Terdapat sekurang-kurangnya empat MB sebelumnya yang terpaksa mengosongkan jawatan mereka berikutan kontroversi dan tekanan daripada parti politik mereka sendiri.


Jarumemas: Sejarah berulang kembali? 

Wednesday 29 January 2014

Nasrudin: Main-main kosongkan kerusi Kajang


Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hassan menyifatkan tindakan PKR mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sebagai main-main dan cuba “mengkangkungkan” rakyat.


“Saja-saja letak jawatan untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan bagi memberi laluan pada seseorang yang lain.


"Macam main-main saja!” katanya yang juga anggota jawatankuasa pusat PAS.

Menulis di Facebook semalam, Nasrudin berkata, perbuatan sengaja meletakkan jawatan setelah mendapat mandat rakyat adalah langkah “khianat” pada amanah.


Ini kerana pemimpin tersebut telah dipilih dalam pilihan raya dengan penuh pengorbanan dan kepercayaan rakyat.


Jarumemas: Dia bukan mempermainkan rakyat sahaja sebenarnya dia adalah badut handalan. 

'Syukurlah pemimpin taraf dunia bertanding'

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata, penduduk Kajang patut bersyukur kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang yang disifatkannya pemimpin bertaraf dunia, bertanding dalam pilihan raya kecil itu.


Katanya, semua pihak sedia maklum tentang kepimpinan Anwar bukan sahaja di Malaysia tetapi juga negara-negara Islam seperti di Timur Tengah serta negara-negara membangun.

Sementara itu, Azmin juga mencabar Umno mencalonkan pemimpin tertingginya Datuk Seri Najib Razak bersaing merebut kerusi yang dikosongkan Lee Chin Cheh itu. 


Jarumemas: PKR jangan terlalu sombong dan angkuh kerana ALlah tidak suka orang yang sombong lagi angkuh. 

ISMA: Anwar alih perhatian masalah Islam


Ikatan Muslim Malaysia (ISMA) hari ini membidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa cuba mengalihkan perhatian daripada ancaman yang dihadapi umat Islam negara ini.

Presidennya, Abdullah Zaik Abd Rahman berkata isu dalam negara sekarang melangkaui krisis ketegangan kaum yang disentuh Anwar dalam perutusan khasnya berkaitan konsensus nasional pada 26 Januari lalu.

Menurutnya, umat Islam kini berhadapan ancaman pendakwah Kristian antarabangsa, pluralisme agama, serta puak pelampau.



"Tiada siapa dapat menafikan bahawa agenda liberalisme, pluralisme agama, kesamarataan mutlak dan Kristianisasi yang dibawa ke negara ini melalui pelbagai pendekatan dan cara oleh proksi-proksi dan rangkaian tertentu ada hubungan dengan perancangan Yahudi, Freemason dan Evangelis Kristian antarabangsa.

"Anwar tidak perlu mengambil kesempatan daripada suasana kekeruhan yang berlaku untuk tampil dengan imej kononnya seorang negarawan sejati," kata Abdullah Zaik dalam kenyataannya.


Jarumemas: Anwar negarawan sejati? 

Mampukah BN mendapat untung bertanding di Kajang?

Ramai ahli Umno menyambut kedatangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dengan tangan terbuka, tetapi ia boleh merugikan Datuk Seri Najib Razak yang kini berdepan dengan banyak perbezaan pendapat dari dalam dan luar partinya.
PRK tersebut yang disebabkan oleh peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang dari PKR, Lee Chin Cheh boleh mengurangkan sokongan rakyat kepada Najib kerana PKR akan menggunakan kenaikan kos kehidupan serta konflik penggunaan kalimah Allah untuk berkempen.
Kenyataan Najib tentang sayur kangkung yang sering dipersendakan sudah pasti akan menjadi komponen penting dalam kempen PRK yang akan dijalankan selewat-lewatnya dua bulan lagi.
Oleh kerana tangan Najib sedang sibuk menangani persepsi terhadap kerajaan yang dikatakan tidak sensitif dengan nasib rakyat berikutan kenaikan kos sara hidup, ditambah lagi dengan pencalonan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PKR bagi PRK itu, harapan BN untuk merampas kerusi DUN Kajang adalah sangat tipis.

Jarumemas: Hanya rakyat yang menjadi penentu kepada keputusan PRK Kajang, jika diadakan nanti. 

PRK Kajang bukan ujian kekuatan, tapi mengukur kelemahan Najib

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), isu yang paling banyak diperkatakan ialah mengenai kelemahan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri. Ia tidak saja diselak dan dijaja oleh pembangkang, diperkatakan oleh rakyat biasa, malah secara perlahan-lahan turut diakui oleh banyak kalangan dalam Umno sendiri.

Kelemahan lain Najib yang turut dipertikaikan ialah pergantungannya yang keterlaluan terhadap sekian ramai penasihatnya serta Pemandu yang dilihat lebih banyak menyusahkan berbanding memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Pendeknya isu kelemahan Najib dan perlunya beliau segera berundur adalah isu ruji sebelum meletusnya isu Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang ini. Semua orang mahu mengambil bahagian, termasuk kalangan yang sebelum ini kuat mempertahankan Najib seperti Perkasa dan beberapa NGO lain.

Jika Pakatan Rakyat boleh menunggu sehingga 2018 untuk menghukum Najib dan BN berdasarkan keputusan PRK Kajang, keputusan pilihan raya yang sama mungkin menjadikan gerakan menyingkirkan beliau menjadi bertambah agresif lagi selepas ini. 

Oleh Shahbudin Husin

Lagi...www.themalaysianinsider.com

Jarumemas: Menarik rambut dalam tepung perlu berhati-hati.

Bekas Adun Kajang mohon maaf undur diri beri Anwar laluan

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Lee Chin Cheh memohon maaf kepada pengundi Kajang berikutan tindakannya melepaskan jawatannya dan memberikan laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi berkenaan.
"Saya mohon maaf kepada pengundi Kajang. Ia (perletakan jawatan) bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Kajang," katanya pada sesi taklimat bersama PKR Selangor di Kajang, hari ini.
Lee ketika berucap di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sekamat di Kajang berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan Putrajaya.

Jarumemas: Rakyat perlu mengajar PKR yang bertindak sesuka hati. 

PKR mempermainkan pilihan raya

Tindakan PKR meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang hari ini menunjukkan mereka tidak sensitif terhadap kepentingan rakyat, kata Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Bekas Mufti Perlis itu berkata, sekiranya benar PKR menggantikan Lee Chin Cheh dengan Anwar semata-mata mahu menyelesaikan kemelut dalaman antara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, jelaslah parti itu sanggup gadai kepentingan rakyat demi beberapa individu dalam parti.
"Kalau itu benar, mereka sanggup korbankan kepentingan rakyat daripada beberapa orang dalam parti," katanya kepada The Malaysian Insider, di Kuala Lumpur.

Jarumemas: DAP dan PAS tak boleh bangkang ke tindakan angkat bakul sendiri kaki putsar alam ini . 

Bersih 2.0 kecam peletakan jawatan Adun PKR demi kepentingan parti

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengecam keras peletakan jawatan wakil rakyat PKR, Lee Chin Cheh daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang kerana ia mengkhianati amanah rakyat.
Pertubuhan bukan kerajaan tersebut menegaskan tindakan itu sama sekali tidak boleh diterima semata-mata demi kepentingan PKR.
"Bersih 2.0 menegaskan ia tidak munasabah wakil rakyat meletak jawatan demi kepentingan parti politiknya.
"Peletakan jawatan Lee Chin Cheh adalah satu pengkhianatan yang diberi lapan bulan lalu," kata gabungan tersebut dalam satu kenyataan hari in.
Bersih juga membidas PKR kerana mengamalkan politik kotor dengan menerima peletakan Lee tanpa sebarang alasan yang munasabah.

Jarumemas: Jangan tak tahu akan ramai yang menyokong tindakan kaki putar alam ini. 

Bekas mufti: Islam larang serang, berbunuh di rumah ibadat

Pendakwah popular, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Islam melarang umatnya menyerang ataupun berbunuhan di dalam rumah ibadat walaupun kerana berbeza agama.
Pada Isnin, ketika pertikaian berhubung kalimah Allah masih terus diperdebatkan, insiden serangan dua bom buatan sendiri molotov cocktail di sebuah gereja Pulau Pinang mengejutkan negara.
"Dalam peperangan agama tidak benarkan iaitu antara ciri peperangan Islam, tidak boleh dibunuh mereka yang sedang beribadat dalam rumah ibadat," katanya kepada The Malaysian Insider ketika diminta mengulas tentang isu serangan terbaru tersebut.
Bekas mufti Perli yang juga menetap di Pulau Pinang itu berkata, alasan untuk menyerang kerana kain rentang provokasi yang dipasang di hadapan gereja adalah tidak wajar dan umat Islam perlu bersikap adil.

Jarumemas: Yang berpegang teguh pada tali Allah tidak melakukan perkara bodoh seperti itu, hanya merka yang tidak beriman dan terikut-ikut akan perasaan amarah yang bertindak sebegitu. 

Anwar pentingkan PKR berbanding negara, kata penganalisis politik

Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menunjukkan ketua pembangkang itu pentingkan partinya daripada negara, kata penganalisis politik.
Langkah tersebut menunjukkan ketua umum PKR itu "tidak menghormati" pengundi dan akan melemahkan kedudukan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor.
Ketua Pegawai Eksekuti Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan, berkata pilihan raya kecil tersebut akan menyebabkan "masalah tidak sepatutnya" kepada rakyat.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata rakyat pasti mempersoalkan langkah Anwar kerana mereka yang memilih pemimpin dalam pilihan raya umum sebelum ini.

Jarumemas: Ada sesiapa yang mahu kaki putar alam sebagai MB? 

Tuesday 28 January 2014

Serangan gereja: Ini baru permulaan, kata pemimpin Sarawak

Dua ahli politik Sarawak memberi amaran serangan bom Molotov Cocktail ke atas gereja di Pulau Pinang semalam hanya "permulaan bagi lebih banyak yang akan berlaku" dengan salah seorang berkata insiden tersebut berlaku disebabkan perdana menteri terlalu "lemah".
Menteri Kemajuan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Masing, yang terkenal dengan kelantangannya berkata, serangan tersebut membimbangkan kerana ia jelas amaran kepada penganut Kristian untuk menghentikan perjuangan menuntut penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu.
"Saya sudah katakan sebelum ini, awan mendung sudah tiba dan ini baru permulaan. Sekarang sudah makin merisaukan dengan laporan keganasan sebegini," kata pemimpin politik Sarawak itu mengulas letupan di luar gereja Pulau Pinang semalam.

Jarumemas: Janganlah ditiru keburukan perangai rakyat negara asing yang suka membaling bom sana sini, meletupkan kenderaan dan bangunan dengan memasang bom sehingga rakyat yang tidak berdosa terkorban dan tercedera. Bawalah bermesyuarah, sudah pasti akan dapat mengatasi kemelut yang ada. 

China kini menjadi pembuli? -

Kita kini menghadapi isu luar yang besar. Sedang kita bergaduh pasal politik dan agama, ada bahaya dari luar yang tidak kurang hebatnya sampai depan pintu kita.
China Komunis sudah mula menjadi pembuli dan menunjukkan taringnya.
Hakikatnya berdasarkan apa China menuntut Laut China Selatan? China mengatakan mereka mempunyai bukti sejarah atas tuntutan mereka. Adakah tuntutan China berdasarkan bahawa mereka satu ketika dahulu adalah tamadun besar dan kita sentiasa meminta naungan daripada mereka? 
Campur tangan China secara berani di Laut China Selatan memberikan petanda bahawa isu ini perlu diselesaikan dengan lebih serius. Negara Asean sendiri perlu segera mencapai kata putus untuk menyelesaikan tuntutan bertindih kepulauan di Laut China Selatan dengan segera sebelum isu ini lebih buruk dengan kehadiran China.
Perdana menteri kita dan menteri luar perlu bertindak lebih pantas atau kita bakal berdepan konflik yang lebih buruk pada masa akan datang.
Oleh Nadjmin. 

Jarumemas: China merasakan dia dah jadi negara besar dan berjaya mengalahkan Amerika dalam soal ekonomi. Namun, sebagai negara yang dikelilingi oleh negara-negara ASEAN China kenalah menghormati jiran tetangga di blok timur ini. 

Satu kejutan kalau Anwar jadi MB Selangor

Sekiranya tepat ramalan media massa mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan seterusnya mengambil alih jawatan menteri besar Selangor, implikasinya sangat menarik.
Hal ini menjadi bahan spekulasi hangat berikutan pertemuan panjang (dikatakan empat jam) antara Anwar dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR Kajang, Lee Chin Cheh.
Saya menganggapnya sebagai sesuatu yang memeranjatkan dan mungkin tidak semestinya baik bagi Anwar, PKR dan Pakatan Rakyat.
A. Kadir Jasin memperincikan pandangannya. 

Jarumemas: Biarlah si Labu terjun dengan labu-labunya...biarkan, biarkan...

DAP dan PAS tidak sependapat calon kerusi DUN Kajang

Peletakan jawatan secara mengejut Lee Chin Cheh menyebabkan berlakunya pergolakan politik di Selangor apabila pemimpin DAP dan PAS negeri itu mempunyai pandangan berbeza mengenai calon penggantinya yang mungkin menjadi menteri besar baru.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan penjelasan hari ini berhubung episod terbaru PKR Selangor itu yang sedang dilanda peperangan di antara pengerusi parti, Mohamed Azmin Ali dan menteri besar penggal kedua, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Peletakan jawatan Lee menyebabkan PAS menuntut PKR berbincang dengan rakan komponen Pakatan Rakyat (PR) sebelum membuat keputusan mengenai calon sementara DAP menegaskan PKR boleh memilih sesiapa sahaja.
Kedua-dua parti masing-masing mempunyai 15 kerusi sementara PKR kini hanya mempunyai 13 kerusi selepas Lee meletakkan jawatan semalam. Selangor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) secara keseluruhan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang, Saari Sungib, berkata bagi mencari pengganti Lee, PKR tidak seharusnya mengenepikan PAS dan DAP apabila memilih calon.

Jarumemas: DAP dan PAS dah kena kencing oleh PKR!!!!

Konsensus nasional: BNBBC - Zahid tidak senada, keikhlasan Anwar dipersoal

Tan Sri Shahrir Abdul Samad tidak bersetuju dengan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyambut baik gesaan mewujudkan konsensus nasional dengan pembangkang Pakatan Rakyat (PR).
Ahmad Zahid menerima baik tawaran Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi bagi Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) itu, PR perlu terlebih dahulu menunjukkan keikhlasan sebelum menawarkan sebarang konsensus nasional dengan kerajaan.
"Itu pandangan dia, pandangan saya lain," kata Shahrir kepada The Malaysian Insider merujuk kepada kenyataan Zahid yang mengalu-alukan saranan Anwar.
"Orang yang buat kacau, dia (Anwar) betulkan tempat dia dulu, dia punya sendiri. Kalau kita pun sama terlibat dalam benda ini, orang kita pun sendiri, kenalah tegah orang kita dahulu," katanya.

Jarumemas: Teman tidak berapa senang dengan cadangan Anwar Ibrahim itu kerana seolah-s=olah seperti ada agenda tertentu. 

Polis Syarie tidak akan selesai masalah umat Islam, kata Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad menolak cadangan penubuhan Unit Polis Syarie yang diumumkan Putrajaya baru-baru ini kerana ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah umat Islam di Malaysia.
Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, Islam juga tidak memaksa umatnya untuk melakukan sesuatu ibadah dan apa yang paling penting adalah kepercayaan dan keimanan.
"Secara terus-terang saya menyatakan saya tidak bersetuju dengan cadangan ini," tulis Dr Mahathir dalam blognya www.chedet.cc, hari ini.

Jarumemas: Teman tidak bersetuju cadangan penubuhan unit ini kerana tidak sesuai. 

Anwar sah bertanding di DUN Kajang

PKR hari ini mengesahkan akan meletakkan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang dikosongkan oleh Lee Chin Cheh, semalam.
Keputusan itu diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor hari ini. 

Sumber: The Malaysian Insider
Jarumemas: Matlamat menghalalkan cara........

Anwar akan bertanding di Kajang?


Peletakan jawatan Lee Chin Cheh sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang membuka persoalan sama ada tempat itu akan ditandingi oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad berkata, walaupun hanya mengetahui pengunduran itu melalui media, beliau difahamkan bahawa PKR akan meminta Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berundur dan Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil.

“Saya hanya dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution semalam bahawa PKR akan meminta Tan Sri Khalid berundur dan Anwar akan bertanding pada satu pilihan raya kecil,” katanya. 


Jarumemas: Bagilah peluang pada orang lain, jangan tamakkan kuasa nanti kuasa akan memakan diri. 

Peningkatan ketegangan ancam keamanan

Era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dikritik dengan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang mewujudkan suasana diselubungi ketakutan.
 
Tetapi keadaan berubah dan dengan dua pilihan raya yang menyaksikan kemerosotan sokongan BN.
 
Dan beliau melihatnya sebagai kelemahan yang didakwa menyumbang kepada ketegangan kaum di Malaysia yang memasuki tahap baru.
 
“Mengambil kesempatan terhadap liberalisasi dan kelemahan kerajaan BN, konflik antara kaum menjadi panas,” tulisnya di blog.
 
Dr Mahathir, penaung kumpulan pendesak Melayu PERKASA yang beberapa kali menggesa supaya ISA dikembalikan, menyelar pihak yang kini tidak menghormati kerajaan.

Sumber: MalaysiaKini

Jarumemas: Kembalikan ISA mungkin akan membuatkan keamanan negara terjamin. 

AMK: Hanya satu pilihan di Kajang, Anwar


Pemuda PKR (AMK) menegaskan, tiada calon lain yang sesuai mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang melainkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Berdasarkan pengalaman dan kewibawaan beliau memimpin negara, AMK percaya Anwar adalah calon terbaik untuk bertanding kerusi DUN dan seterusnya diangkat sebagai menteri besar,” kata ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Katanya, AMK percaya kepimpinan Anwar dapat menggerakkan lebih pantas agenda reformasi di Selangor dan menterjemahkan agenda konsensus nasional.


Jarumemas: Tak dapat ke Putrajaya, ke Selangor pun jadilah ya, bang non!!

Nasib Khalid melalui penyingkiran terbuka?


Petang semalam Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyebut peri pentingnya perkenan Sultan dan persetujuan Pakatan Rakyat sebelum beliau dapat digantikan.

Itu dengan sendirinya memberi isyarat bahawa bukan mudah untuk menggantikan menteri besar Selangor ini.

Respon itu juga memberi isyarat bahawa Khalid tidak akan menyerahkan tengkuknya begitu sahaja.



Jarumemas: Jawatan MB Selangor macam ada sumpahan. 

Gerakan Anwar kejutkan PKR, Pakatan


Pengumuman pengunduran wakil rakyat Kajang semalam menggemparkan banyak pihak, termasuk pemimpin kanan dalam PKR, dan menjadikan mereka semua sangat serba salah.

Gerakan yang mendadak ini dipercayai datang daripada beberapa pihak yang dekat dengan Ketua Umum Anwar Ibrahim sendiri, bukan kumpulan Timbalan Presiden Azmin Ali.

Kumpulan Azmin sendiri, yang digambarkan sangat ghairah ingin mengambil tampuk kekuasaan di Selangor, dikhabarkan terperanjat dengan gerakan mengejut semalam.

Tindakan ini bertujuan "menyelesaikan" persaingan antara PKR Selangor, yang diketuai Azmin, dengan Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim.

Walaupun PKR negeri masih utuh di belakang Azmin, mereka tidak sempat berbuat apa-apa untuk mengelak pengumuman pengunduran CC Lee, bekas pemimpin Gerakan yang dikaitkan dengan Azmin.

Difahamkan, keputusan itu belum mendapat persetujuan PKR Selangor yang masih berusaha untuk menentukan perjalanan parti dalam krisis terbaru ini.

PKR negeri dikatakan mengambil strategi berbeza untuk menangani kemelut ini -- strategi akibat tidak menduga langkah mendadak pasukan Anwar.


Jarumemas: Ada komplot ke? 

Monday 27 January 2014

Sepanduk provokasi agama mesti dibenteras – Mapim

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memberi perhatian serius terhadap tindakan pihak memaparkan kain rentang yang menunjukkan penggunaan kalimah Allah dalam konteks agama Kristian ditemui sekurang-kurangnya oleh dua gereja di Pulau Pinang kelmarin.
Ia setakat ini dikesan digantung dekat gereja Katolik St John Britto di George Town dan Church of the Nativity of the Blessed Virgin Mary di Butterworth.
Ini adalah tindakan provokasi yang sangat merbahaya dan boleh menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama di negara ini.
Kami berpendirian percubaan mengwujudkan ketegangan antara penganut agama di negara ini adalah berniat jahat supaya keharmonian dan keamanan dapat digugat untuk kepentingan pihak tertentu.
Mapim sudah berkali-kali mengingatkan kepada pihak kerajaan bahawa sentimen keagamaan dan perkauman tidak boleh dibenarkan dieksploitasi oleh mana-mana pihak.

Rencana oleh Mapim. 

Sumber: The Malaysian Insider
Jarumemas: Orang-orang tua dulu ada berpesan, sarang tebuan jangan dijolok, kerana  buruk jadinya nanti. 

Ungku Aziz silap mengenai isu penyatuan Melayu

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) berpandangan kenyataan Profesor Diraja Ungku Aziz bahawa orang Melayu tidak mungkin bersatu seperti orang Arab yang "payah bersatu" berbanding orang Jepun yang "bersatu dalam satu negara, bangsa dan sejarah yang sama" adalah kurang tepat.
Pandangan beliau yang disiar dalam sebuah akhbar harian nampaknya terbatas pada kerangka penyatuan yang sempit iaitu penyatuan atas dasar bangsa semata-mata.
Sebaliknya bangsa Melayu pada asalnya adalah bangsa yang hidup berbudaya bergotong-royong dan bersepakat dalam pelbagai urusan dalam masyarakat.
Dalam isu kesatuan bangsa Melayu , Islam menjadi tunjang Melayu untuk bersatu dikalangan pelbagai keturunan yang wujud. Justeru, kami melihat bila wujud pemimpin Melayu yang mengenepikan agenda mengukuhkan penghayatan Islam dikalangan masyarakat dan menghalang perlaksanaan Islam sebagai dasar urustadbir dan organisasi sivil masyarakat Melayu, telah menyebabkan Melayu tidak boleh bersatu.
Oleh itu, Islam hendaklah menjadi titik bermula penyatuan orang Melayu dan yang lain akan teratur dengan sendiri bila kepentingan Islam diletak tertinggi di atas segala yang lain.

Oleh Mohd Azmi Abdul Hamid
Jarumemas: Bersatu teguh bercerai kita roboh. Jangan sampai kapal pecah yu kenyang. 

Siapa paling untung jika ‘Projek Huru-Hara Negara’ dari Putrajaya sekarang berjaya? -

Zainulfaqar Yaacob menarik perhatian,  “Versi rasmi” menyebut kekalahan teruk Perikatan yang kononnya diraikan oleh majoriti Cina selepas pilihan raya umum (PRU) 1969 digambarkan sebagai punca tercetusnya Tragedi 13 Mei. Tetapi, pengkaji Dr Kua Kia Soong pernah berkata, itu kudeta pasukan Razak ke atas pentadbiran Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra.

Apabila Razak menjadi perdana menteri, pengkaji sejarah 13 Mei boleh melihat bahawa Razak paling untung dan tidak salah untuk khalayak percaya bahawa itu semua sebenarnya satu konspirasi untuk merampas kuasa (kudeta) sahaja. Dr Mahathir Mohammad yang lantang mengkritik Tunku pun untung, selepas Razak menjadi perdana menteri.
Jika rakyat tahu hal sebenar ini, tidak susah untuk rakyat meneliti “Projek Huru-Hara Negara” yang sedang dirancang dari Putrajaya.
Ada pihak menelah bahawa Umno dan Perkasa paling untung jika “Projek Huru-Hara Negara” ini berjaya. Ini kerana, katanya, Umno dan Perkasa sendiri berpuak-puak sekarang.

Sumber: The Malaysian Insider
Jarumemas: Adakah penulis sedar bahawa merka yang benar-benar rugi adalah rakyat kerana gajah sama gajah berjuang pelanduk mati di tengah-tengah. 

'Soal Anwar jadi PM, itu ketentuan Tuhan'


Profesor Diraja Ungku Aziz Abdul Hamid berkata soal Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim layak menjadi perdana menteri bergantung kepada ketentuan Tuhan.

Menurutnya tokoh akademik itu berkata seingatnya, Anwar seorang yang giat dan mempunyai niat untuk menjadi seorang pemimpin sewaktu beliau menuntut di Universiti Malaya (UM).

"Sekarang dia sudah jadi pemimpin, sama ada suka atau tidak. Soal dia layak atau tidak nak jadi perdana menteri, itu ketentuan Tuhan."


Ungku Aziz berkata demikian bagi menjawab perbandingan watak Anwar sewaktu tokoh akademik yang mesra dipanggil 'Pak Ungku' itu menjadi naib canselor UM dan ketika ini.

Sumber: Malaysiakini.com

Jarumemas: Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. 

Polis pantau harga barang: Kawalan ekonomi ala Nazi, kata DAP

Kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) bukan sahaja gagal mentadbir ekonomi dengan baik sehingga menyebabkan hutang negara melonjak tinggi tetapi turut menmpergunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawal harga barang di pasaran, kata DAP.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim  berkata, kerajaan pusat menggunakan taktik ekonomi perang rejim Nazi dengan menggunakan polis bagi mengawal harga barang di pasaran yang jelas tersasar daripada misi penubuhan PDRM.
“Adakah rancangan menggunakan PDRM memantau harga barang satu permulaan kepada ekonomi kawalan ala-Nazi ataupun komunis zaman Perang Dingin?
“Kerajaan Umno-BN gagal mentadbir ekonomi dengan baik menyebabkan pendapatan rakyat terbantut, kos sara hidup meningkat dan budaya rasuah berleluasa tidak dapat ditangani,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi ini.

Jarumemas: Pihak polis juga diminta memantau mengawal harga barangan. Nampaknya tak menang tanganlah pihak polis mana nak pantau kes syarie dan kini nak pantau harga barangan pula. Apa kerja penguatkuasa pihak Jakim dan KPDNKK? 

Najib lemah, gagal pertahan kalimah Allah, kata Pemuda Perkasa

Sayap pemuda Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) menyelar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dilihat "membisu" terhadap isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.
Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi Ideris  dalam blog miliknya berkata, Najib dilihat "tidak bijak" menangani isu berkenaan apabila gagal mempertahankan kalimah yang dianggap sebagai eksklusif kepada umat Islam di negara ini.
"Kita dapat melihat kepimpinan negara amat lemah sehinggakan tidak dapat mempertahankan kalimah ini lalu menjualnya kepada agama lain pada April 2011,” kata Irwan merujuk kepada penyelesaian 10 perkara yang ditawarkan Putrajaya dengan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Al-Kitab dan upacara keagamaan lain menjelang pilihan raya negeri Sarawak.

Jarumemas: Kalau badan bukan kerajaan yang selama ini memihak kepada kerajaan sudah mula dilihat menolak kerajaan, ini menunjukkan sesuatu yang drastik perlu dilakukan bagi mengimbagi kekurangan yang ada. 

Penubuhan Polis Syarie bercanggah dengan Perlembagaan, kata pakar

Cadangan Putrajaya untuk menubuhkan Unit Polis Syarie bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana Islam merupakan urusan negeri dan ianya akan bercanggah dengan tugas polis, kata pakar Perlembagaan.
Peguam Syahredzan Johan menegaskan majlis agama dan polis adalah dua agensi penguatkuasa berbeza di Malaysia.
"Kedua-dua badan mempunyai tanggungjawab dan tugas berbeza. Jadi bila tertubuhnya satu Unit Polis Syarie, ia mewujudkan isu dalam bidang kuasa di situ," kata Syahredzan kepada The Malaysian Insider.
Menjelaskan perbezaan antara majlis agama dan polis, Syahredzan berkata majlis agama terletak di bawah bidang kuasa negeri manakala polis pula di bawah kerajaan persekutuan.
"Ini saya rasa bertentangan dengan apa yang dinyatakan dalam perlembagaan
"Saya rasa ini satu perkara yang kita tidak boleh benarkan, Perlembagaan dah nyatakan dengan jelas pemisahan bidang kuasa negeri dan Persekutuan, jadi ini adalah satu langkah kerajaan melangkaui bidang kuasa mereka yang telah termaktub dalam Perlembagaan," katanya.

Jarumemas: Teman pun tidak berapa setuju dengan langkah ini kerana seolah-olah anggota polis sudah kurang kerja. Sementelah meemrangi jenayah pihak polis dikecam hebat inikan pula mengawal kes-kes syariah. 

Bendahari MIC letak jawatan serta merta

R Ramanan meletakkan jawatan hari ini selepas keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskannya bendahari agung MIC itu dengan curang memperoleh RM5.5 juta daripada seorang psikiatri empat tahun lalu.

Ramanan meletakkan jawatan serta merta sehingga rayuan kes mahkamah beliau selesai, menurut SMS berita sebuah akhbar.

Sumber: Malaysiakini

Jarumemas: Rasuah berlaku tanpa mengira  siapa kita. Berhati-hatilah dalam menjalankan tugas kita sama ada sebagai penjawat awam, swasta, ahli politik, peniaga hatta sesiapa sahaja. 

Pelajar malu insiden pijak bendera Jepun


Pelajar-pelajar Malaysia di Jepun kesal dan malu dengan demonstrasi penyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memijak dan membakar bendera Jepun di kedutaan negara itu di Kuala Lumpur, Selasa lepas.

Perbuatan mereka ekoran Anwar dilarang memasuki Jepun selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada Ahad lepas dan diarah untuk pulang segera atau diusir keluar.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) Zed Al Habshee Syed Abdul Hamid berkata berikutan demonstrasi itu, mereka yang berada di negara matahari terbit itu malu untuk bersua dengan penduduk setempat.


Jarumemas: Jangan fikir marah kita saja. marah orang lain dengan kita macam mana? Buat sesuatu perlu difikirkan terlebih dulu akan perasaan orang lain. Jangan kita ikut nafsu marah kita sahaja. 

Protes 'kandar sayur' di PP hari ini


Orang ramai pelbagai kaum hari ini berkumpul di Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang bagi menyatakan bantahan terhadap kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Mereka membawa kain rentang dan melaungkan slogan menentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menuntut harga penurunan harga barangan keperluan asas serta mengejek kenyataan kangkung perdana menteri.

“Kangkung turun” antara laungan yang kedengaran dalam perhimpunan itu.

Selain kangkung,pelbagai sayur-sayuran turut dikandar ke perhimpunan itu, sekali gus menjadikannya penuh warna warni.

Wakil rakyat pembangkang Lee Khai Loon yang terkenal dengan flash mob kangkungnya sebelum ini turut kelihatan, selain Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramzli dan exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin.

Sumber: Malaysiakini.com

Jarumemas: Kerajaan dah melakukan yang terbaik dalam menangani kenaikan kos asra hidup. Kita sebagai pengguna perlu juga berbelanja dan mengatur perbelanjaan kita secara berhemah. Di samping itu, kita juga  perlu memaklumkan kepada  kerajaan sekiranya ada penjual yang menaikkkan harga barangan sesuka hatinya. 

PERKASA nasihat KJ jaga kementerian sendiri

NGO pendesak Melayu, PERKASA menasihatkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin supaya jangan menjadi 'jurucakap Putrajaya' berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Setiuasaha Agung PERKASA, Syed Hassan Syed Ali berkata ini kerana Khairy bukanlah perdana menteri atau menteri hal ehwal Islam.

"Sebagai Ketua Pemuda Umno dan BN, selayaknya bercakap hak berkaitan parti, bukan hal urusan kerajaan kecuali kementerian kamu," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjawab kenyataan Khairy bahawa kabinet tetap dengan penyelesaian 10 Perkara berkaitan dengan penggunaan kalimah 'Allah' dalam Bible bahasa Melayu.


Jarumemas:  Adakah perumpamaan menjaga tepi kain orang sesuai atau tidak sesuai digunapakai pada masa sekarang?