Wednesday 25 September 2013

Mukhriz: Dah nasib badan saya anak Mahathir


Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir berkata beliau tidak dapat mengelak daripada dikaitkan dengan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelang pemilihan naib presiden Umno kali ini.

"Itu sudah nasib badan saya, tetapi bagi saya ada dua yang saya maksudkan sebagai 'nasib badan' ini.

"Pertama, sesetengah orang akan ingat saya mewarisi genetik ketokohan itu. Lagi satu, nasib badan saya ini, ayah saya sentiasa mahu saya dicabar dahulu," katanya.

Mukhriz menggalas tugas sengit berdepan tiga penyandang - Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein - dan dua pemimpin heavyweight Umno Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Ali Rustam.

Mukhriz sebelum ini sudah menjelaskan bahawa beliau melakar sendiri laluan politiknya dan tidak bergantung atau menjadi proksi kepada bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap pada forum Impak Krisis Timur Tengah kepada Malaysia anjuran Sinar Harian, bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu turut mencuri peluang berkempen sempena pemilihan Umno.


Jarumemas: Sesungguhnya kewibawaan seseorang itu boleh membawa kejayaan. 

Saya mahu jadikan rasuah perkara silam


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau ingin menjadikan rasuah sebagai sebahagian daripada perkara yang sudah berlalu bagi Malaysia, bukan suatu amalan pada masa akan datang.

Berucap pada Syarahan Kelab Komanwel di San Francisco, Isnin, Najib berkata langkah itu bermakna mengubah budaya organisasi dan perniagaan.

"Saya sudah mewujudkan peranan menteri tadbir urus dan integriti dalam Kabinet yang disandang bekas presiden Tranparency International cawangan Malaysia," katanya.

Najib berkata kerajaan pimpinan beliau menaikkan kedudukan agensi pencegahan rasuah Malaysia - yang setiap tahun perlu menghadap jawatankuasa khas parlimen mengenai rasuah, sebuah lembaga penasihat bebas dan sebuah jawatankuasa aduan - ke taraf sebuah suruhanjaya bebas pengaturan kendiri.

"Kami berharap suruhanjaya ini boleh menjadi contoh untuk negara lain yang sedang berusaha untuk membina keupayaan institusi bagi memerangi rasuah," katanya.

Sesungguhnya, kata beliau, mata wang paling penting bagi pentadbiran dan perniagaan ialah kepercayaan.


Jarumemas: Amalan bersih, cekap dan amanah adalah tonggak kejayaan seseorang yang berpegang teguh kepada ajaran agama, kerana yang kita cari adalah keberkatan dalam kehidupan. 

'Kami bekas tentera tak lupa Chin Peng'


Persatuan Bekas Tentera Malaysia negeri Terengganu (PBTMT) akan menentang keras sebarang bentuk usaha oleh pihak tertentu untuk membawa pulang abu mayat Chin Peng ke negara ini.

Yang Dipertua PBTMT Abdullah Che Muda berkata bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) itu bukan rakyat negara ini, sebaliknya penderhaka yang menyebabkan kesengsaraan kepada ramai rakyat negara ini.

Abdullah memberi amaran kepada pihak-pihak yang berkenaan supaya menghentikan usaha meracuni fikiran rakyat dengan cuba menonjolkan kononnya Chin Peng ialah wira dan pejuang negara.

"Kami para bekas tentera yang berkhidmat di zaman komunis tidak akan melupai apa yang Chin Peng dan pengikutnya lakukan hingga menyebabkan ada antara kami yang merasa deritanya sampai ke hari ini," katanya kepada Bernama di Besut hari ini.

Beliau berkata ramai bekas tentera menganggap Chin Peng sebagai seteru mereka hingga dendam terhadapnya masih berkobar sehingga sekarang.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, 90, dilaporkan meninggal dunia pada 16 Sept lepas akibat sakit tua di sebuah hospital di Bangkok, Thailand. 

Sumber: Malaysiakini.com

Jarumemas: Kenangan silam kejamnya komunis memang sukar dilupakan oleh mereka yang pernah berada di zaman itu. Ramai yang dibunuh dengan kejam dan sadis tanpa belas kasihan. Ketuanya, Chin Peng dan beberapa orang lagi, malah orang Melayu sendiri juga bertindak kejam sesama bangsa. Adakah perlu disanjung kematian mereka? Perajurit dan pejuang-pejuang negara yang mati kerana negara perlukah kita  perlekehkan perjuangan mereka?  

Nasihat Gerakan pada calon: Jangan jadi rasis


Setiausaha Agung Gerakan Mah Siew Keong menyeru calon dalam pemilihan untuk pelbagai parti masing-masing tidak menggunakan isu perkauman untuk mendapatkan sokongan.

Bekas timbalan menteri itu berkata, calon-calon, termasuk daripada parti pembangkang patut berkempen secara bertanggungjawab dan secara bijaksana sebagai seorang rakyat Malaysia.

"Mengeksploitasi isu kontroversi yang berpotensi menyalakan api semata-mata mendapatkan sokongan untuk pemilihan parti sangat tidak bertanggungjawab, mementingkan diri sendiri dan tidak adil.

"Ini jelas menjadi cabaran kepada calon dalam parti berasaskan kaum dan kerana itu kita mesti tetap berhati-hati dan berjaga-jaga," katanya.

Mah justeru menggesa supaya amalan yang disifatkannya sebagai "sakit", demi untuk "sokongan sementara" dihentikan kerana ia berbahaya dan memudaratkan keharmonian kaum dan kestabilan sosial.

Sumber: Malaysiakini.com

Jarumemas: Mengapa perlu jadi rasis? Nenek moyang kita telah lama hidup harmoni dan bersatu padu antara satu sama lain, mengapa perlu dicalarkan? 

2 ditahan miliki bahan berkaitan Chin Pheng


Seorang lelaki Malaysia dan Thai ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang lewat malam tadi kerana didakwa membawa masuk barangan berkaitan Parti Komunis Malaya (PKM).

Ketua Polis Negeri Abdul Rahim Hanapi berkata, mereka ditahan selepas pihaknya mendapat maklumat pada malam itu ketika mereka tiba dengan penerbangan Thai Airways dari Bangkok.

Katanya, lelaki berumur 66 dan 59 tahun itu kemudian dibawa ke balai polis Bayan Baru untuk disoal-siasat.

Malaysiakini difahamkan, keluarga terdekat bekas setiausaha agung PKM Ching Peng yang menghadiri upacara pengebumiannnya di Bangkok semalam memasuki kembali negara ini tanpa diberhentikan, diperiksa atau disoal oleh pegawai imigresen.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua meninggal dunia pada Hari Malaysia 16 September ketika umur 90 selepas menderita sakit yang lama.

Dalam sidang media balai polis Bayan Baru hampir tengah malam tadi, Abdul Rahim berkata, polis merampas 8 CD, 11 cenderahati dan 12 buku berkaitan Chin Peng dan PKM.

Sementara itu, Bernama melaporkan Abdul Rahim sebagai berkata, bahan itu, termasuk buku dalam bahasa Melayu dan Cina itu mungkin untuk kegunaan sendiri atau edaran. 

Kepada satu pertanyaan, Abdul Rahim berkata polis tidak menjumpai abu mayat mendiang Chin Peng dalam bagasi yang diperiksa.

Menurutnya, suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012.

Sumber: Malaysiakini.com

Jarumemas: Larangan sudah dikeluarkan tetapi malangnya keangkuhan manusia tetap mahu dibawa masuk abu Chin Peng itu. Sengaja cari fasal....