Friday 17 August 2012

Pas perjuang negara Islam bukan dibimbangi DAP

KUALA TERENGGANU 16 Ogos - Pas memberi jaminan kepada DAP bahawa parti itu akan terus memperjuangkan kempen penubuhan negara kebajikan yang dibayangi Islam pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan bukannya negara Islam yang dibimbangi DAP. Namun, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Abu Bakar Chik menegaskan, kempen untuk menegakkan negara berkebajikan yang dibayangi Islam itu adalah hak Pas dan DAP tidak sepatutnya campur tangan dalam perkara itu. Malah, jelas beliau, Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan menentang negara Islam kerana perjuangan Pas adalah menubuhkan negara berkebajikan berasaskan Islam, bukannya negara Islam. Beliau sebaliknya menempelak UMNO kerana kenyataan daripada pemimpin DAP itu kelihatan senada dengan perjuangan parti pemerintah itu yang didakwa menolak penubuhan negara Islam. Sumber: Utusan Jarumemas: Siakap senohong gelama ikan duri Cakap bohong lama-lama mencuri.

Penjelasan Nasharudin

Sebaik tiba di tanah air dari Tanah Suci, Mekah semalam, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa mengadakan sidang akhbar khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pada sidang akhbar itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok membalas kenyataan beberapa pemimpin Pas yang mempertikaikan kehadiran beliau di Mekah bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Mereka juga membidas Nasharudin berikutan kenyataan beliau yang menggesa Pas mengkaji semula kedudukan dalam pakatan pembangkang jika DAP terus menolak pelaksanaan hukum hudud. Berikut kenyataan penuh beliau: Laporan media cetak dan elektronik pada 14 dan 15 Ogos 2012 dan beberapa ulasan daripada pelbagai pihak sehubungan dengan kenyataan saya di Mekah al-Mukaramah adalah dirujuk. - Hudud Saya kekal dengan pandangan saya bahawa Karpal Singh bukan hanya sekadar anti hudud tetapi anti-Islam. Sebagai seorang peguam yang lama, dia tahu apa itu substantive law dan apa itu procedural law. Pelaksanaan hudud memerlukan kepada standard of proof yang cukup tinggi untuk boleh dilaksanakan, ada kesalahan yang memerlukan tahap pembuktian ke taraf beyond any shadow of doubt iaitu tahap pembuktian yang maksimum, sebelum boleh ia dilaksanakan, tetapi dia menolak semua itu hanya kerana ia adalah undang-undang Islam. Berapa kali sudah dia mengungkapkan bahawa pelaksanaan sistem perundangan Islam is over my dead body menunjukkan dia sanggup mati untuk pertahankan pendiriannya, maka saya juga sanggup melakukan apa saja at whatever cost untuk pertahankan agama saya. Terpulanglah kepada mana pihak yang mungkin kerana percaturan politik akan mendiamkan diri seperti syaitan-syaitan bisu yang sering diungkap oleh pimpinan, insya-Allah saya tidak akan biarkan mana-mana pihak sewenang-wenangnya menghina agama saya. Pas harus lebih tegas menyatakan pendiriannya dalam hal ini kerana sokongan yang diberikan oleh masyarakat umum kepada Pas adalah kerana perjuangannya untuk menegakkan syariah Allah SWT namun dalam isu hudud yang diserang dan dikecam oleh Karpal Singh ini, masih ramai yang tertunggu apa sikap Pas terhadap Karpal Singh. Adakah tahaluf siyasi yang sedang diamalkan oleh Pas turut membolehkan kesepakatan dengan mereka yang menolak dan memerangi Islam. Harapan saya adalah apabila penjelasan dibuat oleh pimpinan tertinggi Pas kepada masyarakat umum, maka akan terjawablah kekaburan yang ada pada masyarakat umum. Pemimpin Pas mungkin sudah faham, ahli Pas juga mungkin sudah mengerti tetapi masyarakat umum masih menanti penjelasan. Pas tidak akan menang hanya dengan undi daripada ahlinya sahaja. - Isu pertemuan di Mekah Kepada mereka yang membuat andaian, tuduhan dan suu’ dzan (bersangka buruk), nasihat saya adalah ittaqillah, ittaqillah, ittaqillah (bertakwalah) dan beristghfarlah khasnya pada hari-hari terakhir Ramadan ini. Kasihan saya melihat mereka yang menghukum tanpa tahu hujung pangkal. Berbaik sangkalah sesama Muslim. Hampir sebulan sepanjang Ramadan ini, doa qunut yang dibacakan di hadapan Kaabah ketika solat witir, menyeru kepada merapatkan saf dan menyatupadukan orang Islam. Imam solat saban malam memohon dengan doa Ya Allah satukanlah suara umat Islam. Saya telah mengaturkan pertemuan di Mekah antara beberapa orang ulama di Mekah bersama dengan YAB Perdana Menteri bersempena dengan persidangan OIC. Saya dijemput ke Mekah dengan visa khas selepas YAB PM bersetuju untuk bertemu dengan ulama-ulama tersebut. Perbincangan telah diadakan di sebuah villa kenalan bersebelahan dengan Masjidil Haram. Yang dibincang antara lain adalah isu di Syria dan Rohingya. Para ulama tersebut menyebut tentang peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia. Perbincangan juga menyentuh beberapa kejayaan yang telah dicapai oleh Malaysia. Mereka juga telah meninggalkan beberapa pesanan kepada PM seperti memastikan Malaysia terus mengangkat pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam memelihara kesucian Islam. Pertemuan itu sedikit pun tidak berbincang tentang Pas atau UMNO, sebab isu yang dibincangkan adalah jauh lebih besar daripada Pas atau UMNO. Kami berbincang tentang keadaan semasa ummah. Rasullullah menyebut, man lam yahtamma biamril muslimin falaisa minhum (Siapapun yang tidak menganggap penting urusan/perkara yang menimpa kaum muslim, maka dia bukan termasuk golongan mereka (muslim). Adakah berbincang tentang ummah satu jenayah? Tiba-tiba dikaitkan dengan saya akan masuk UMNO. Untuk kesekian kalinya saya sebutkan secara terbuka, saya tidak ada niat untuk masuk UMNO, cuma saya menganggap semua yang mengucap kalimah syahadah sebagai saudara saya seiman termasuklah pemimpin dan ahli UMNO, dan mereka yang bukan Islam sebagai saudara saya seinsan. Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya dijadikan sebab untuk kita tidak memikirkan maslahat ummah. Sumber: Utusan Jarumemas: Baca dengan teliti.

Nasha kecewa tak dapat jawatan, kata Khalid Samad

SHAH ALAM, - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, hari ini berkata, kenyataan yang dikeluarkan Nasharuddin Mat Isa berhubung PAS perlu keluar Pakatan Rakyat (PR) jika DAP terus menentang pelaksanaan hukum hudud adalah disebabkan rasa kecewa beliau yang gagal melihat parti Islam itu bergabung dengan Umno. Menurut Khalid, bekas timbalan presiden PAS itu berkemungkinan mengharapkan impak yang besar daripada cadangan penggabungan PAS-Umno kerana beliau mungkin akan beroleh jawatan yang tinggi sekiranya penggabungan itu berjaya. “Nasharuddin ini mungkin kecewa kerana PAS tidak mahu bergabung dengan Umno. Kalau penggabungan itu berjaya mungkin dia mengharapkan akan dapat menjawat jawatan tinggi, mungkin jawatan di Kabinet,” kata Khalid. Tambah Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor itu lagi, kenyataan Nasharuddin itu dilihat berkisar berkenaan hudud, dan beliau turut menggesa Nasha agar melihat kembali kepada kenyataan Umno yang turut menolak hudud sebelum ini. “Dia kata PAS perlu keluar PR kerana DAP tak terima hudud, adakah Umno menerima hudud?” soal Khalid lagi. “Nasharuddin sengaja menimbulkan isu ... dan mungkin itulah dia lihat (peluang) terlepas dan pada masa yang sama dia pun kecewa kerana dia kalah dalam pertandingan merebut jawatan timbalan presiden. “Dan ini menyebabkan dia tidak seperti dulu dan dia memang nampak semakin rapat dengan pimpinan umno walaupun di parlimen,” jelas Khalid lagi. Nasharuddin sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi ekoran menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan Umno-PAS sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada Mursyidul Am parti komponen PR itu, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Ketika Muktamar Agung PAS tahun lepas, Nasharuddin juga gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden dan tewas kepada Mohamad Sabu. Nik Aziz juga sebelum ini berkata adalah lebih baik bagi Nasharudin meninggalkan PAS daripada menimbulkan masalah kepada parti. Jelas Khalid lagi, keputusan sama ada nasib Nasharuddin bakal menjadi seperti Adun Gombak Setia Datuk Dr Hasan Ali juga tidak berasas, kerana dalam PAS, keputusan itu adalah hak individu. “PAS bukan parti yang akan menentukan nasib sama ada nak pecat, lucut jawatan ahlinya, terpulang kepada mereka sendiri,” tambah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu lagi. Dr Hasan Ali sebelum ini telah dipecat keanggotaan daripada PAS kerana dikatakan mempunyai matlamat yang berbeza dengan perjuangan parti. Sumber:The Malaysian Insider Jarumemas: Lain padang lain belalangnya.

MOOD RAYA

Hari ini tak ada mood nak masukkan blog kerana mood raya sedang melanda diri ini. Kepada teman-teman blogger Jarumemas minta maaf atas segala kesalahan mahupun dari segi kata-kata dan ungkapan atau nasihat yang tidak diundang.