Monday 25 February 2013

PR lancar manifesto PRU13 dengan tema ‘Pakatan Harapan Rakyat’

SHAH ALAM, 25 Feb — Pakatan Rakyat (PR) hari ini melancarkan manifesto pilihan raya mereka dengan tema “Pakatan Harapan Rakyat” menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang memberikan fokus kepada tata kelola yang baik berteraskan prinsip moral dan nilai sejagat yang memberikan keutamaan kepada kebajikan rakyat.

Manifesto keempat pakatan pembangkang itu dilancarkan di Pusat Konvensyen SACC di sini memberikan fokus kepada empat paksi utama; rakyat bersaudara; ekonomi rakyat; kesejahteraan rakyat; dan kerajaan rakyat.

Antara intipati manifesto itu adalah memerangi rasuah secara agresif melalui pewujudan Dasar Banteras Rasuah Negara (DEBARAN), Suruhanjaya Anti Monopoli, dan Suruhanjaya Kontrak Awam, bagi memecahkan monopoli dan kontrak-kontrak awam yang telah dianugerahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi menyemak semula keadilan kontrak berkenaan.


Jarumemas: Sesuai jadi Parti Huruharakan Rakyat!!!

Friday 22 February 2013

Najib yakin calon BN diterima rakyat

Datuk Seri Najib Tun Razak yakin rakyat akan menerima sesiapa sahaja yang menjadi calon Barisan nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti kerana rakyat percaya kepada dasar transformasi kerajaan yang baik.

"Saya melihat sambutan rakyat sangat menggalakkan kerana mereka sudah yakin bahawa dasar transformasi yang dibawa oleh BN boleh menguntungkan rakyat dan menjamin masa depan yang jauh lebih baik," kata perdana menteri yang juga pengerusi BN, pada sidang media selepas perjumpaan dengan pemimpin BN negeri dan Majlis Tertinggi komponen BN Sarawak di Kuching hari ini.

Najib, yang mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke Sarawak, berkata BN harus mengambil kira penerimaan calon dalam kalangan rakyat atas faktor itu.

"Saya sudah sedikit sebanyak memutuskan tentang senarai calon. Tunggu dan lihat bila tiba waktunya nanti," katanya.


Jarumemas: Neraca adalah sebaik-baik timbangan...

Najib: Kenyataan Nik Aziz menghina rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyamakan penerima bantuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan, sebagai menghina rakyat dan amat keterlaluan.

Beliau turut mempersoal kenyataan itu yang tidak konsisten memandangkan pakatan pembangkang terutamanya di Selangor turut menjanjikan beberapa perkara yang bersifat kewangan.

"Apa beza dengan janji dia (pakatan pembangkang) di Selangor. Elaun untuk ibu tunggal, bayaran elaun anak ke tadika, janji air percuma...itu kan pemberian kewangan juga? Apa beza dengan BR1M? Jadi takkanlah Nik Aziz nak kutuk bila kita buat dan bila pakatan buat dia tak kata apa-apa?.

"Itu pendirian tidak konsisten kalau itu (BR1M) dikira amalan tidak baik dan disama dengan haiwan...kenapa dia tak kata apa-apa bila pakatan janji... janji itu pula tidak ditunaikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan khas dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak dan Majlis Tertinggi komponen parti BN negeri di Kuching hari ini.

Najib mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS itu yang menyamakan usaha murni kerajaan memberi pelbagai bantuan kepada rakyat seolah-olah memberi hampas kelapa, padi dan jerami kepada ayam dan lembu.


Jarumemas: Tak tau apa nak jadi Tok Guru ni! Kan lebih baik berdiam diri daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah!!

Tiada sebab untuk penjawat awam tukar kerajaan, kata presiden CUEPACS

KUALA LUMPUR, 21 Feb ― Penjawat awam tidak mempunyai sebab untuk menukar kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman hari ini dan menambah pertukaran pemerintah belum mampu menjanjikan kemajuan kepada negara.

Dalam majlis bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di ibu kota, Omar  berkata Putrajaya telah menunaikan hampir kesemua tuntutan mereka membuktikan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sentiasa peka dan dekat dengan penjawat awam.

“Tidak ada sebab untuk menukar kerajaan yang sedia ada kepada pihak yang belum tentu dapat menjamin apa-apa.

“Tidak pernah satupun cadangan yang dikemukakan oleh CUEPACS kerajaan menolak. Sebagai contoh ialah tuntutan kenaikkan dua peratus wang pencen kepada pesara penjawat awam,” kata Omar kepada pemberita.


Jarumemas: Semua penjawat awam perlu menyokong kerajaan yang ada kerana telah banyak transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan sedia bagi membantu meringankan beban mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Menjelang PRU, PAS teragak-agak dengan Anwar sebagai calon PM

KUALA LUMPUR, 22 Feb — Pemimpin PAS telah mempersoalkan pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya memenangi kerajaan persekutuan pada Pilihan Raya 2013, dengan satu sumber mengesahkan mereka telah menawarkan kepada pemimpin Umno Tengku Razaleigh Hamzah jawatan tertinggi tersebut. 

Sumber memberitahu The Malaysian Insider persoalan tersebut timbul dalam satu mesyuarat tertutup antara PAS dan PKR pada Ahad selepas kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang Sabtu lalu parti Islam itu tidak teragak-agak meninggalkan PR sekiranya pakatan tersebut merugikan orang-orang Melayu dan Islam.

“Pemimpin tertinggi PAS itu mengatakan ‘haram’ bagi Anwar untuk meminta jawatan perdana menteri,” kata satu sumber PR yang tidak mahu dinamakan kepada The Malaysian Insider.


Jarumemas: Sudah terang lagi bersuluh akan perangai Anwar, baru nak tengadah bila dah terhantuk...

Thursday 21 February 2013

PRU pertengahan April selepas PM tamat jelajah negara

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Pilihan raya umum (PRU) ke 13 dijangka akan berlaku pada minggu kedua April, sebulan selepas Datuk Seri Najib Razak tamat jelajah “Janji Ditepati” dan Barisan Nasional (BN) selesai menyiapkan senarai calon dan manifesto, kata satu sumber.

The Malaysian Insider difahamkan, perhentian terakhir jelajah perdana menteri adalah kawasan parlimennya Pekan pada 16 Mac dimana beliau dijangka akan bertemu dengan Yang Di Pertuan Agong selepas itu untuk membubarkan parlimen.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kebiasaannya menetapkan tarikh pilihan raya tiga minggu selepas parlimen dibubarkan, jadi kami jangka paling awal adalah pertengahan April,” kata sumber BN kepada The Malaysian Insider.

Terdapat spekulasi parlimen akan dibubarkan minggu ini dan PRU akan diadakan pada akhir Mac, lebih lima tahun selepas PRU terdahulu pada 8 Mac, 2008.

Akan tetapi sumber BN menafikan spekulasi tersebut, mengatakan satu-satunya acara berkaitan pilihan raya minggu ini adalah SPR akan mengazetkan daftar pemilih terbaru esok.


Jarumemas: Masih menunggu pengumuman PM.

Najib, pemimpin BN tandatangani ikrar integriti pilihan raya

PUTRAJAYA, 20 Feb ― Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin parti komponennya menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International Malaysia (TI-M), satu langkah dilihat untuk membuktikan kesungguhan gabungan tersebut untuk bertanding secara adil dalam Pilihan Raya 2013.

Ikrar tersebut diperkenalkan sebahagian daripada kempen badan pemantau rasuah itu untuk mempromosikan pilihan raya bersih dikala terdapat pertuduhan penipuan undi dan rasuah semasa pilihan raya.

Pembangkang mendakwa BN berjaya mempertahankan kuasa menggunakan taktik tersebut.

 “Isu integriti adalah sangat penting, dan kami ingin melihat calon yang bertanding dalam pilihan raya akan datang supaya memegang prinsip ini tidak kira apa parti politik mereka. Ini adalah penting kerana sistem politik yang korup akan memperkecilkan semua usaha anti rasuah.


Jarumemas: Contoh terbaik!!

Monday 18 February 2013

Wartawan Australia kata tindakan Xenophon 'bodoh'

Seorang pengulas kanan Australia menganggap senator bebas Nick Xenophon bertindak 'bodoh atau sengaja mempromosi diri' berhubung episod di Malaysia hujung minggu lalu.

Editor berita luar negara akhbar The Australian, Greg Sheridan berkata tindakan Xenophon meminta kerajaan Australia memantau pilihan raya umum di Malaysia nanti adalah 'bodoh dan tidak praktikal'.
Sheridan juga menuduh Xenophon 'berkempen hanya untuk sebelah pihak politik Malaysia - pihak pembangkang'.

Beliau berkata Menteri Luar Bob Carr bertindak betul dengan tidak memperbesarkan isu pengusiran Xenophon dan dengan bersetuju terhadap kenyataan rakan sejawatannya dari Malaysia bahawa isu itu tidak akan menjejaskan hubungan kedua-dua negara.

"Carr tidak perlu mengambil tindakan lanjut berhubung perkara itu dan kemungkinan pun tidak," katanya. 


Jarumemas: kalau nak masuk rumah orang janganlag seperti pencuri, beri salam terlebih dulu!!

Dr M: Peneroka jangan 'gigit tangan' kerajaan

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati peneroka Felda agar mengingati jasa kerajaan menganjurkan skim tanah rancangan terbesar dunia itu dan "tidak menggigit tangan yang membantu mereka".

Beliau menggesa peneroka agar meneladani peneroka terawal Felda yang terdiri daripada pemimpin Umno setempat yang setia kepada "orang yang memberi nikmat kepada mereka".

"Nikmat itu bukan sahaja dapat tambah pendapatan secara berterusan tetapi juga dapat klinik untuk perubatan dan anak-anak mereka dapat bersekolah," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis 'Warga Felda Bersama Negarawan Ulung Tun Mahathir Mohamad' di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau turut menempelak golongan yang menurutnya tiada jasa kepada peneroka tetapi menghasut mereka untuk menerima bantuan kerajaan tanpa berterima kasih kepada kerajaan.


Jarumemas: Tapi ramai yang menggigit tangan orang yang memberi dia makan...

Najib: Beri mandat pada BN majukan Kelantan

KUALA LUMPUR, 17 Feb — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa rakyat Kelantan supaya memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang bagi membawa kemajuan ke negeri itu demi masa depan generasi akan datang.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata beliau tidak mahu lagi melihat rakyat Kelantan terpaksa berhijrah keluar dari negeri mereka demi mengecap kehidupan lebih baik, yang tidak mampu diberi kerajaan negeri pimpinan PAS sekarang.

“Saya sedih dengar setengah juta orang Kelantan terpaksa berhijrah keluar,” katanya. “Saya tidak mahu ada sejuta lagi orang Kelantan berhijrah keluar.”

Beliau berucap demikian ketika merasmikan “Himpunan Perdana Anok-Anok Kelate Di Perantauan 2013” di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini.


Jarumemas: Apa lagi yang tak cukup? Dah bermacam yang PM beri sebagai membela nasib rakyat terutamanya orang yang susah dan daif hidupnya.

Xenophon kata lawatan ke Malaysia adalah urusan rasmi

KUALA LUMPUR, 18 Feb — Senator bebas Australia Nick Xenophon mengatakan lawatan beliau ke Malaysia untuk memantau sistem pilihan raya adalah urusan rasmi, menurut laporan media Australia.

Xenophon, yang diusir dari Malaysia Sabtu lalu kerana dikatakan “ancaman keselamatan negara”, 
mengatakan senator dari Parti Nationals John Williams dan ahli parlimen dari Parti Liberal Mal Washer, yang turut bersamanya dalam delegasi bipartisan parlimen, menerima kelulusan dari Menteri Tugas-Tugas Khas Australia Gary Gray untuk lawatan tersebut.

“Ia bukan tidak rasmi,” kata Xenophon yang dilaporkan oleh radio ABC di Australia.

“Ia adalah perjumpaan di mana keputusannya akan dibawa ke parlimen persekutuan berkenaan lawatan itu nanti,” katanya lagi.


Jarumemas: Orang-orang tua mengingatkan kita, masuk kandang lembu menguak, masuk kandang kambing mengembek!!!

Manifesto sedang disiapkan, aktivis BN bersedia untuk PRU13

KUALA LUMPUR, 18 Feb — Parti-parti dalam Barisan Nasional (BN) sudah mula mengedarkan komputer riba dan telefon bimbit ke bilik operasi di seluruh negara untuk memantau dan mengumpulkan pengundi bagi Pilihan Raya 2013, di kala gabungan pemerintah itu sudah di tahap akhir untuk menyiapkan manifesto mereka menjelang pilihan raya umum. 

The Malaysian Insider difahamkan ibu pejabat Umno di sini sudah mula mengedarkan komputer riba dan telefon bimbit kepada semua bahagian parti untuk kegunaan semasa hari mengundi, sama seperti kempen calon presiden Amerika Syarikat Mitt Romney tahun lalu.

“Kami dapat komputer riba untuk menyemak status pengundi dan daftar pemilih terbaru. Dan telefon bimbit untuk menghantar kembali keputusan pilihan raya,” kata seorang pegawai Umno kepada The Malaysian Insider.


Jarumemas: UMNO parti terbaik!!!

Dr M: Tidak perlu layan kritikan Canberra

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Putrajaya tidak perlu melayan kritikan Canberra mengenai deportasi Senator Australia Nick Xenophon dari Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Bekas perdana menteri itu juga berkata Canberra bebas untuk mengkritik Putrajaya berikutan tindakan mengusir ahli parlimen bebas lantang itu semalam.

“Jika dia datang sini dengan tiada niat baik, lebih baik tidak datang ke sini,” kata Dr Mahathir kepada pemberita semasa sambutan Tahun Baru Cina di sini hari ini, merujuk kepada Xenophon.

“Jika mereka mahu mengkritik, mereka boleh mengkritik. Kita tidak perlu melayan mereka,” katanya merujuk kepada pentadbiran Gilliard.


Jarumemas: Barat dan Australia memang tidak berapa suka dengan Malaysia.

Dr M mahu kerajaan tapis media alternatif

KUALA LUMPUR, 17 Feb — Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau lebih rela kerajaan menapis internet daripada media alternatif terus dimanipulasi.

Bekas perdana menteri itu berkata dalam blognya chedet.cc bahawa video penyanyi sensasi Korea Psy di Pulau Pinang, yang menunjukkan orang ramai berkata “No” (tidak) kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, tetapi mempertikaikan video tersebut dengan mengatakan video itu diubahsuai.

“Saya akan hilang kebebasan dalam media apabila kerajaan mungkin merampas kebebasan saya,” kata Dr Mahathir dalam blognya chedet.cc hari ini.

“Terus terang saya rela kerajaan menapis saya, kerana jika saya tidak suka apa yang kerajaan buat, saya boleh buat apa sahaja untuk menolak parti yang membentuk kerajaan. Tetapi saya tidak boleh buat apa untuk menghentikan orang ramai yang cuba merampas kebebasan saya melalui media alternatif,” katanya lagi.


Jarumemas: Perlu ingat bahawa apa yang kita lakukan di atas dunia adalah tanggungjawab kita sendiri. Kalau kita salah jangan pulak tuding jari pada orang lain.

Friday 15 February 2013

Dr M: Hutang negara masih pada tahap baik

Nisbah kadar hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang berada pada tahap 53 peratus masih dianggap 'baik' untuk negara disokong oleh pendapatan dan dagangan yang terus meningkat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita masih boleh membayar (hutang). Kita masih boleh membayar kerana kita nampak pelaburan (memberikan) keuntungan (yang) tinggi," kata bekas Perdana Menteri dalam satu temu ramah dengan Bernama.

Dr Mahathir berkata ketika zaman pentadbirannya, keuntungan Maybank sebanyak RM300 juta sudah dianggap besar.

"Sekarang Maybank untung RM6 billion," kata beliau.

Dr Mahathir berkata terdapat negara di Eropah seperti Greece yang tidak mungkin dapat membayar hutangnya kerana nisbah hutang negara itu kepada KDNKnya melebihi 100 peratus.

"Ia (Greece) tidak mungkin (mampu) bayar," kata beliau.


Jarumemas: Tun bercakap bukannya pakai mulut saja, tetapi berlandaskan maklumat dan info yang didapati daripada pihak yang sahih yang benar-benar boleh dipercayai.

Thursday 14 February 2013

BN P Pinang syak majlis bersama PM disabotaj

Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow mengesyaki majlis rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina anjuran parti itu, yang turut dihadiri perdana menteri pada hari Ahad lalu disabotaj pihak tertentu.

Teng dalam laporan akhbar Sinar Harian itu berkata demikian dengan merujuk kepada tindakan kumpulan tersebut, dalam majlis berkenaan, yang melaungkan "Tidak" apabila ditanya Datuk Seri Najib Razak sama ada sedia untuk memilih BN.

NONE"Saya percaya mereka dihantar untuk sabotaj rumah terbuka yang kita anjurkan ini dan kita dapati ada beberapa pengunjung yang hadir turut memakai baji seperti yang disarankan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng," katanya seperti dipetik akhbar itu.








Jarumemas: Pembangkang memang suka menghuruharakan program kerajaan. Perkara yang kecil dibesar-besarkan. Tapi kain sendiri yang koyak tak nampak pun.....

NGO bimbang ubat tiruan dijual meluas di pasaran

Malaysia mencatatkan kadar edaran ubat tiruan antara tiga hingga lima peratus daripada jumlah edaran semua ubat di negara itu, menurut artikel oleh Emerging Markets Health Network (EMHN).

Menurut EMHN kadar itu jauh lebih rendah berbanding dengan beberapa negara jiran anggota Asean itu seperti Indonesia dan Filipina.

Bagaimanapun, wujud kebimbangan mengenai kualiti dan integriti banyak daripada ubat tradisional yang dijual secara meluas di Malaysia kerana ada antaranya didapati mengandungi racun, katanya.

"Satu kajian diterbitkan pada 2005 mendapati 14 peratus Smilax Luzonensis (lebih dikenali sebagai Akarbanar) yang diuji kaji menunjukkan mengandungi 0.51-1.23ppm raksa dan dengan itu melanggar syarat kualiti bagi ubat tradisional di Malaysia," menurut artikel itu.


Jarumemas: Melambak ubat tiruan dalam pasaran yang perlu diambil tindakan oleh pihak berkuasa secara tuntas.

MB: DUN Kedah dibubar lepas PM bubar Parlimen

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sekali lagi menegaskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah tidak akan dibubar selagi perdana menteri tidak membubarkan Dewan Rakyat.

azlan"Saya takkan bubar, saya ada strategi. Saya tunggu isyarat pusat, tak boleh sesuka hati bubar," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman Alor Setar hari ini.

Menurutnya lagi, manifesto pilihan raya umum kerajaan negeri sudah siap.

Sementara itu, Azizan memberitahu tempoh lantikan Exco sedia ada akan berakhir 28 Februari ini.

Berikutan itu, katanya, upacara angkat sumpah dijangka diadakan pada 24 Februari ini, mengikut kelapangan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

- Bernama

Jarumemas:  Masih tertunggu-tunggu bila PM akan isytihar pembubaran Parlimen....

Persembahan bukan dibayar k'jaan M'sia - Pengurusan Psy

Scooter Braun Projects, syarikat pengurusan bintang popular Korea Selatan Psy, yang dikenali dunia dengan lagunya 'Gangnam Style', hari ini menyatakan bahawa mereka tidak pernah diminta atau dibayar oleh kerajaan Malaysia untuk persembahan penyanyi itu di Pulau Pinang baru-baru ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Bernama hari ini, pengurusan itu menegaskan bahawa berita dan artikel yang tersebar dalam Internet, yang mendakwa sebaliknya, adalah anggapan semata-mata dan ternyata tidak benar.

"Scooter Braun Projects ingin menegaskan bahawa kami tidak pernah diminta atau dibayar oleh kerajaan Malaysia untuk persembahan artis itu di Pulau Pinang, Malaysia baru-baru ini," menurut kenyataan itu.


Jarumemas: Apa lagi yang nak diperkatakan oleh parti pembangkang....

Lelaki dipenjara, denda RM8,000 tunjuk isyarat lucah

Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menunjukkan isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dan anggota polis, Isnin lepas.

Leong Pei Koe, 29, seorang juruukur bahan, didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah ketika kenderaan rasmi baginda melalui balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, dekat sini, pada pukul 11.50 pagi, 11 Februari lepas.

Bagi pertuduhan kedua, Leong didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis ASP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum menurut Seksyen 294 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Jarumemas: Orang timur kaya dengan budi bahasa dan adap sopan.

BN mungkin gugurkan Subramaniam dari Segamat, kata sumber

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Perpecahan dalam jentera tempatan boleh memaksa Barisan Nasional (BN) untuk menggugurkan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam dari mempertahankan kerusi parlimen Segamat, kata sumber dalam gabungan tersebut.

The Malaysian Insider difahamkan, isu ini adalah diantara agenda penting yang dibincangkan dalam perjumpaan tertutup diantara Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin Johor pada Selasa, diadakan untuk membincangkan persiapan Pilihan Raya 2013 – perlu diadakan selewat-lewatnya pada Jun.

Dalam mesyuarat tersebut, lima kerusi parlimen, termasuk Segamat, dikenalpasti sebagai kerusi yang berpotensi untuk beralih disebabkan peratusan besar pengundi Cina di kawasan tersebut.


Jarumemas: Kenalah terima hakikat jika persembahan kita tidak memuaskan sehingga menyebabkan pihak atasan membuat keputusan sedemikian.

Gelaran 'Huguan Siou Malaysia': KDCA desak Anwar minta maaf

KOTA KINABALU, 13 Feb (Bernama) -- Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) mendesak permohonan maaf daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Ranau dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyentuh sensitiviti dan kesucian adat masyarakat Kadazandusun di Sabah. 

Ketika membuat gesaan itu, Setiausaha Agung KDCA Suman Yasambun berkata gelaran ''Huguan Siou'' yang bermaksud ''Pemimpin Agung'' secara eksklusif dikhaskan dan diberi kepada seorang pemimpin Kadazandusun Murut. 

Oleh itu, katanya jika benar seperti dilaporkan media baru-baru ini bahawa PKR Ranau memberi atau mengisytiharkan Anwar sebagai Huguan Siou Malaysia, tindakan itu menyalahi budaya dan tersasar daripada amalan serta tradisi lazim Kadazandusun.

"Ia menghina dan menyinggung perasaan kaum Kadazandusun. Hakikatnya ini adalah tindakan yang akan menguatkuasakan hukum ''solupi'', iaitu membawa sumpahan terhadap seseorang atau mereka yang merampas struktur kepimpinan sedia ada dalam lingkungan komuniti Kadazandusun, terutamanya dalam hubungan dengan institusi Huguan Siou," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Jarumemas: Kerana terlalu tamakkan kuasa sanggup lakukan apa saja dan dilakukan apa saja.

Friday 8 February 2013

PAS janji 'bebaskan' kakitangan awam

PAS menyeru kakitangan kerajaan agar keluar dari kemelut tekanan politik dan campurtangan Umno dalam perkhidmatan awam selama ini, jika Pakatan Rakyat mentadbir negara ini.

Ketua penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa pelbagai tekanan dan paksaan yang dikenakan ke atas kakitangan awam supaya menyokong program dan agenda Umno.

"Pelbagai surat tunjuk sebab dikeluarkan yang langsung tidak berkaitan dengan tugas rasmi.

"PAS mengingatkan bahawa perkara ini boleh dihentikan dengan para kakitangan perkhidmatan awam, termasuk polis dan tentera membuat perubahan dalam pilihanraya ke 13," katanya dalam satu kenyataan.


Jarumemas: Selama ini kakitangan awam mendapat banyak faedah daripada kerajaan Barisan Nasional. Pembangkang tak payahlah bersusah payah nak menghancurkan kebaikan yang kami terima selama ini.

Beberapa bekas pemimpin DAP S'gor dakwa diugut

Beberapa bekas pemimpin DAP Selangor mendakwa mereka mendapat ugutan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) agar tidak lagi membuat sidang media untuk mengkritik pucuk kepimpinan dan kelemahan dalam parti itu.
  
Bekas Ketua Cawangan DAP Pantai Sepang Putra, R Vellasamy, 45, berkata beliau tidak akan berdiam diri dengan ugutan seumpama itu, yang disifatkannya sebagai suatu tindakan pengecut dan tidak profesional.
  
Bagaimanapun katanya laporan polis belum dibuat berhubung ugutan itu.
  
"Kita terima SMS yang memberi amaran supaya jangan lagi membuat sidang media berhubung parti DAP di Jenjarom. Kita tidak takut dengan SMS itu. Kita sebagai bekas anggota parti itu mahu kebenaran dan keadilan.


Jarumemas: kalau pemimpin atasan dah main ugut, ahli masih nak tunggu ke parti tu?

GPMS: Gerakan Mahasiswa PRU13 kumpulan kecil 'nakal'

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menegaskan bahawa kumpulan mahasiswa - Gerakan Mahasiswa PRU13 -  yang mahu bertanding mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen Pekan dalam pilihan raya umum hanya mewakili sebahagian kecil mahasiswa yang 'nakal'.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden GPMS, Ezaruddin Abd Rahman menggesa mahasiswa lain supaya tidak akan sewenang-wenangnya terpengaruh dengan perjuangan 'kosong' mereka itu.

Semalam, Gerakan Mahasiswa PRU1 yang diketuai Syis Abdul Kadir mengumumkan akan menurunkan calon bertanding di
Parlimen Pekan dalam pilihan raya umum akan datang.

Mendakwa disertai beberapa gerakan mahasiswa lain antaranya Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi), Syis berkata, calon akan diumumkan sebaik sahaja Najib
mengumumkan tarikh pilihan raya.

Mengulas lanjut, Ezaruddin juga berkata ia merupakan agenda pembangkang memperalat mahasiswa bagi kepentingan politik.


Jarumemas: Bersedia ke hilang wang pertaruhan  nanti?

Wong Tack minta maaf kenyataan 'bakar loji Lynas'

Setelah mencetuskan kontroversi beberapa hari lepas, pemimpin Himpunan Hijau, Wong Tack malam tadi mengakui bahawa beliau silap untuk mengancam membakar loji penapisan nadir bumi Lynas di Gebeng Kuantan.

wong tack apology over burning remark 070213 01Bercakap dalam satu ceramah di Kuantan malam tadi, Wong berkata kenyataannya itu memberi kesan negatif kepada generasi muda, maka beliau memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia.

Menurut laporan Sin Chew Daily, Wong ketika berucap dalam ceramah DAP ceramah itu mengakui kepada para hadirin bahawa beliau silap.





Jarumemas: Orang-orang dua ada berpesan cakp siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata  badan binasa...

Pengurangan beban tugas guru akan diberi perhatian segera, kata Najib

PUTRAJAYA, 8 Feb — Datuk Seri Najib Razak berkata kaedah untuk mengurangkan beban tugas pentadbiran guru akan diberi perhatian segera dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Perdana Menteri berkata langkah tersebut memerlukan tindakan supaya guru boleh menumpukan sebahagian besar masa mereka pada fungsi pengajaran teras.

Beliau berkata aspek bebanan tugas guru merupakan antara perkara yang telah dibincangkan dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran.

“Itulah pembaharuan yang kita akan laksanakan bagi mengurangkan beban guru dalam tugas yang tiada kaitan dengan tugas utama sebagai pendidik,” katanya pada majils perayaan jubli emas Sekolah Sultan Alam Shah, di sini, malam tadi.


Jarumemas: Para guru terbeban dengan tugas-tugas pentadbiran selain mengajar...aduan yag teman dapat dari rakan-rakan teman yang jadi guru

Krisis pembangkang Sabah semakin parah, naib ketua wanita keluar PKR

KUALA LUMPUR, 8 Feb — Masalah pembangkang di Sabah menjadi semakin parah dengan perletakkan jawatan 14 orang Wanita PKR, diketuai oleh Naib Ketua Wanita Negeri Winnie Juani semalam menjelang PIlihan Raya 2013.

Juani yang berumur 52 tahun memberitahu The Malaysian Insider beliau dan rakan-rakannya telah membuat keputusan untuk keluar parti kerana mereka merasakan “perlu berehat”, menafikan khabar angin ini berlaku disebabkan rundingan kerusi diantara Pakatan Rakyat (PR) dan sekutu baru mereka di Sabah Angkatan Perubahan Sabah (APS) dan Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS).

Juani juga mengakui tindakan tersebut mungkin akan merangsang dakwaan beliau dan rakan-rakannya telah dibeli oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN), tetapi mengatakan beliau menolak untuk melayan dakwaan itu.


Jarumemas: PKR akan berkubur seperti Semangat 46!!

Thursday 7 February 2013

Usahawan kata tiada kaitan dengan konsert BN



 
Seorang ahli perniagaan Iqbal Ameer berkata syarikat miliknya tiada kaitan dengan konsert anjuran BN di Pulau Pinang pada 11 Februari yang dikatakan akan menampilkan penyanyi pop Korea Psy.

Katanya, syarikat Livescape Sdn Bhd yang diasaskannya adalah penganjur untuk konsert Future Music Festival Asia pada Mac nanti.

"Kita tak ada apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan konsert di Pulau Pinang atau dengan BN.
"Kami hanya anjur konsert Future Music Festival sahaja. Bukan konsert BN.

"(BN) juga tidak pernah tanya atau berhubung dengan kita," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.
 

Jarumemas: Sudah terang lagi bersuluh...

Artis: BN patut utama artis tempatan, bukan Psy

Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) Rozaidi Jamil menggesa penganjur konsert BN di Pulau Pinang pada 11 Februari supaya mengutamakan artis tempatan dan bukannya penyanyi pop Korea Psy.

Katanya, peruntukan besar untuk membawa artis rap tersebut sepatutnya disalurkan kepada artis tempatan – sesuai dengan slogan "rakyat didahulukan" yang diuar-uarkan kerajaan.

Pelakon dengan nama gelaran Zed Zaidi itu juga berkata, persembahan oleh artis luar seperti Psy hanya akan menguntungkan kerajaan yang mengaut bayaran cukai hiburan.

"Kemasukkan Psy K-Pop dibiayai oleh syarikat tempatan bukan duit rakyat. Walaupun 2 juta diperuntukkan lebih baik diberi kepada artis Malaysia. 


Jarumemas: Kemasukan artis luar negara lain yang juga popular kenapa tak ada pihak yang berani pertikai?

Persembahan Psy: BN didakwa khianati artis tempatan

Di saat kelembapan industri muzik Malaysia sejak lebih sedekad, langkah mengundang penyanyi luar, Park Jae-sang atau dikenali sebagai “Psy” untuk membuat persembahan percuma di Pulau Pinang sempena majlis rumah terbuka Gong Xi Fa Chai dengan bayaran lebih RM1 juta tak lain adalah satu bentuk pengkhianatan kepada industri muzik, penyanyi dan artis tempatan.

Biar apapun alasan atau pihak mana sekalipun yang dikononnya membayar, mengundang artis sepopular Psy untuk majlis sambutan Tahun Baru Cina kali ini yang akan melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah tak lain diyakini sebagai usaha memancing sokongan undi khususnya golongan muda menjelang pilihan raya umum. 

Hal ini cukup mendukacitakan terutama ketika artis veteran tempatan hanya dihulur RM2 ribu seorang baru-baru ini melalui Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M). Kalau bayaran kepada Psy berjumlah RM2 juta, ia bersamaan dengan peruntukan keseluruhan kepada YA1M untuk tahun ini.


Jarumemas: Artis tempatan kenalah berusaha lebih gigih untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa di mana banyak pihak dan negara yang mahukan persembahan mereka.

Psy perlu 'tutup aurat', kata Nik Aziz

Walaupun Psy merupakan artis sensasi Korea Selatan dan di peringkat global, tetapi Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat nampaknya tidak perasan dan malah menyangka Psy seorang wanita.

Menurut laporan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, semalam Nik Aziz menggesa Psy menutup aurat apabila diberitahu media bahawa BN telah menjemput selebriti itu membuat persembahan di majlis sambutan Tahun Baru Cina anjurannya pada 11 Februari.

Apabila diberitahu bahawa psy seorang lelaki, Nik Aziz bimbang sama ada kandungan lagu-lagunya  positif untuk anak-anak muda.


Jarumemas: Kadang kala pening dengan kenyataan Nik Aziz di mana selalunya ia memakan dirinya sendiri...

Tiada salah dengan ugutan bakar bible Ibrahim Ali, kata Dr M

KUALA LUMPUR, 6 Feb — Tun Dr Mahathir Mohamad membela Datuk Ibrahim Ali hari ini, mendakwa pemimpin Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu tidak melakukan penghinaan apabila beliau mencadangkan untuk membakar Bible dalam Bahasa Melayu yang menggunakan kalimah “Allah”. 

Dr Mahathir yang merupakan penaung Perkasa memberitahu sidang akhbar hari ini, ahli parlimen Pasir Mas itu merujuk kepada amalan biasa membakar penerbitan dikelaskan sebagai haram.

“Biasanya, jika terdapat penerbitan yang diharamkan, tindakan yang diambil ialah membakar buku tersebut.
“Jadi pandangan beliau (Ibrahim) jika Bible haram dari segi polisi, beliau memilih jalan biasa iaitu untuk membakarnya,” kata beliau selepas melancarkan buku “Antartica: Malaysia’s Journey to the Ice” di Universiti Malaya disini.


Jarumemas: Bimbang apabila isu agama dipolitikkan oleh mereka yang mencari kepentingan diri....

Ambil serius amaran Anwar — Dr M

KUALA LUMPUR, Feb 6 — Amaran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai demonstrasi ala “Arab Spring” di Malaysia perlu diambil serius berikutan obsesi beliau untuk menjadi perdana menteri, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menyatakan beliau tahu akan kapasiti Anwar untuk melakukan huru-hara, bekas Perdana Menteri berkata Anwar telah membuktikan dirinya sebagai “juara” demonstrasi di masa lalu.

Dr Mahathir berkata semasa beliau menjadi Menteri Pelajaran pada 1974, Anwar telah menganjurkan demonstrasi pelajar mendakwa kebuluran telah menyebabkan kematian seorang budak lelaki di Baling, Kedah; tetapi tiada demonstrasi serius selama 16 tahun apabila Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu menyertai kerajaan.

“Sebaik sahaja beliau keluar daripada kerajaan, terdapat demonstrasi setiap minggu. Obsesi beliau untuk menjadi perdana menteri akan mendorong beliau mewujudkan “Arab Spring” supaya cita-citanya menjadi kenyataan.

“Bagi dirinya, beliau tidak peduli sekiranya kestabilan dan ekonomi negara terjejas teruk asalkan beliau dapat menjadi perdana menteri,” kata Dr Mahathir dalam entri terbaharu dalam blog beliau bertajuk ‘Janji Anwar’ di www.chedet.cc hari ini.


Jarumemas: Bila dilihat apa yang dilakukan oleh masyarakat Arab yang suka berdemonstrasi, lebih banyak kerosakan yang berlaku daripada kebaikan.

Dr M dakwa tidak terlibat dalam pemberian kerakyatan haram

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membebaskan dirinya dari bertanggungjawab terhadap dakwaan pemberian kerakyatan secara haram kepada warga asing di Sabah pada masa lalu, menegaskan “perintah” adalah semata-mata untuk mereka yang layak.

Bekas perdana menteri yang sering dipersalahkan kerana “Projek IC”, inisiatif tahun 1980am dimana kerakyatan Malaysia didakwa diberikan sebagai tukar ganti kepada undi untuk Barisan Nasional (BN), mengulangi pra-syarat untuk apa-apa anugerah kerakyatan adalah seseorang individu perlu tinggal di Malaysia untuk tempoh masa tertentu, selain dari syarat-syarat lain.

“Saya bersetuju kita boleh beri kerakyatan kepada mereka yang telah menetap di sini bagi satu tempoh masa dan layak untuk menjadi warganegara,” kata beliau kepada wartawan selepas melancarkan buku di Universiti Malaya.

Tetapi Dr Mahathir kemudian menambah jika benar dakwaan selama ini, beliau tidak boleh mempunyai kawalan mutlak terhadap apa yang telah dilaksanakan di bawah sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai perdana menteri.

Lagi..

Jarumemas: Saya pasti Tun bercakap benar memandang Tun adalah seorang yang berperinsip, tidak akan sewewenangnya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan pendiriannya.

Wednesday 6 February 2013

Badan antara agama jangan pertikaikan MAIS, kata Hasan Ali

KUALA LUMPUR, 6 Feb — Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) dinasihatkan tidak mencampuri urusan politik yang tidak sihat dan tidak seharusnya mempertikaikan tindakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam di negara ini, kata Datuk Dr Hasan Ali.

Presiden Jalur Tiga (Jati) dalam kenyataannya hari ini berkata, majlis perundingan agama bukan Islam itu seharusnya mengambil sikap yang lebih positif supaya mencari jalan sebaik-baiknya seperti menasihati beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

“Mereka perlu mengambil sikap yang lebih positif dan menasihati pemimpin politik PR supaya mereka bermuhasabah dan mengkaji apakah tindakan mereka untuk meraih keuntungan politik jangka pendek dapat menjamin hubungan antara bangsa dan agama yang terus damai pada jangka panjangnya,” kata Adun Gombak Setia itu dalam satu kenyataan hari ini.


Jarumemas: Islam tidak memusuhi mana-mana agama, jadi janganlah lain-lain agama cuba untuk memusuhi Islam.

Pakatan akan wujudkan Jawatankuasa Terpilih Pertahanan jika menang

PETALING JAYA, 6 Feb — Pakatan Rakyat akan wujudkan Jawatankuasa Terpilih dari kalangan ahli parlimen yang mempunyai kepakaran bersabit hal pertahanan negara bagi mengelak ketirisan dan rasuah, kata Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.

Beliau berkata, penyelewengan yang berlaku melalui pembelian senjata adalah pembaziran terbesar, dan akan diperbetulkan pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) jika menang dalam pilihan raya umum akan datang.
Beliau membidas kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menyalahkan kaedah penentuan Indeks Anti Rasuah Pertahanan yang digunakan oleh Transparency International, dan menurut Rafizi, menunjukkan kuatnya tentangan dari pemimpin tertinggi Umno terhadap langkah-langkah membanteras rasuah.

“Salah satu punca Transparency International memberi penarafan sedemikian kerana tiadanya jawatankuasa di peringkat Parlimen yang dipertanggungjawab menyemak dan memastikan strategi pembelian senjata adalah telus dan tidak membabitkan rasuah.

“Pendirian PKR bahawa penyelewengan melalui komisen, rasuah dan pembelian tidak bermutu adalah satu pembaziran terbesar yang akan diperbetulkan Pakatan Rakyat, untuk itu, pandangan membina Transparency International mengenai perkara-perkara pokok perlu dititikberatkan oleh Pakatan Rakyat,” kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat parti hari ini.


Jarumemas:  Tiada negara yang 100 peratus bebas rasuah. Bolehkah pembangakng sifarkan perbuatan rasuah di Malaysia? jangan jadi dulang paku serpeh sudahlah!!!!

Penganalisis: Guan Eng mahu malukan PM menerusi gesaan pakaian

KUALA LUMPUR, 6 Feb — Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dibidas sebagai mahu memalukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila menggesa penduduk negeri itu memakai baju pelbagai warna bertemakan pembangkang semasa menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Barisan Nasional (BN).

Penganalisis politik Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, niat itu sangat jelas memandangkan Lim sedia maklum bahawa perdana menteri dijadual menghadiri majlis yang akan diadakan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Han Chiang di Pulau Pinang pada 11 Feb.

“Bila penduduk datang memakai warna yang diminta, beliau (Lim) ingat dapat tunjuk kepada perdana menteri kononnya penduduk Pulau Pinang menyokong mereka (pembangkang) pada pilihan raya kali ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.


Jarumemas: Sikap kita orang Timur adalah menghormati sesiapa yang lebih atas dari kita.

DAP guna isu Allah untuk undi bukan Islam, kata Zahid

KUALA LUMPUR, 5 Feb — DAP menggunakan isu kalimah Allah bagi mendapatkan undi bukan Islam untuk Pakatan Rakyat, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib presiden Umno itu berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mahu Putrajaya membenarkan penggunaan “Allah” untuk kitab Injil bahasa Melayu hanyalah bersifat politik dan tidak memahami mengenai kesucian kalimah tersebut.

“Semasa saya jadi Menteri Di JPM, kita mengatakan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan penggunaan perkataan Allah hanya untuk kitab-kitab agama Islam.

“Bagi saya, Lim Guan Eng sedang melakukan political diversion, untuk menarik orang bukan Islam mengundi Pakatan Rakyat,” kata Ahmad Zahid selepas merasmikan portal kerjaya veteran tentera selepas bersara, KerjayaVeteran.my di sini hari ini.


Jarumemas: Memang sudah terang lagi bersuluh lakonan pembangkang ni....

Tuesday 5 February 2013

Karpal bongkak tidak tolak ansur isu kalimah Allah, kata Hassan

KUALA LUMPUR, 4 Feb — Karpal Singh  dilabel sebagai bongkak dan degil apabila terus menolak pendirian PAS berhubung penggunaan isu kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam di negara ini, kata Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hassan Ali.

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu dalam kenyataannya juga menegaskan PAS pula sering berdolak dalih dan cair diselimuti dengan perbezaan pendapat yang nyata di antara dua golongan khususnya ulama disatu pihak dan parasit.

“Amatlah jelas daripada peristiwa ini bahawa Karpal Singh yang mewakili DAP terus menunjukkan sikap degil dan bongkak dengan tidak bersedia berundur walau seincipun mengenai isu kalimah Allah ini dan juga isu-isu lain yang berkaitan dengan Islam dan Melayu.


Jarumemas: Orang-orang kafir memang sukar untuk menerima Islam.....

Hentikan bertelingkah dalam isu kalimah ‘Allah’, kata ketua pengarah Jabatan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 4 Feb — Putrajaya hari ini menggesa rakyat Malaysia berhenti daripada pertelingkahan mengenai isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Muslim.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Datuk Azman Amin Hassan berkata perkara itu perlu diselesaikan di mahkamah, merujuk kepada permohonan kerajaan persekutuan di Mahkamah Tinggi pada 2009 yang menetapkan perkataan “Allah” bukanlah hak eksklusif untuk orang Islam.

“Lupakan perkara itu kerana ia menimbulkan banyak kekeliruan,” kata Azman kepada The Malaysian Insider hari ini.


Jarumemas: Kalimah Allah ekslusif untuk agama Islam sahaja. Teman bimbang jika Allah akan menurunkan bala di mana kita umat Islam juga akan terlibat.

Monday 4 February 2013

Memburu si 'pencacai'

YANG paling dibimbangi oleh Ab. Manap Sahardin, penasihat sebuah NGO, 'Gerakan Aktivis Sahabat Sayangi Malaysia' (GASSM) bukan kerana kedudukan politik terkini tanah air. Tetapi yang menjadikan 'senak perut' ialah gelagat atau tindak tanduk 'pencacai-pencacai' politik yang sedang dan akan duduk di warung kopi atau coffee house sambil menyuarakan perasaan yang 'membelenggu' mereka - tak puas hati tidak terpilih sebagai calon PRU-13.

Kepada Ab. Manap, 68, serta 1,000 ahli NGO itu yang bertebaran di merata negeri ketika ini - pakatan pembangkang tidaklah 'sekuat' mana. Dan hakikatnya tidak lagi seperti 2008.
 
 
 
Jarumemas: Kalau betul apa yang diperkatakan, alhamdulillah....

Projek IC: Tun Abdullah sangkal dakwaan Anwar

KEPALA BATAS, 2 Feb (Bernama) -- Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyangkal dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau turut terbabit dalam Projek IC, iaitu memberikan kad pengenalan biru kepada pendatang di Sabah.

Abdullah berkata tindakan Ketua Pembangkang itu menuduhnya terbabit dalam Projek IC itu adalah semata-mata mahu menutup kesalahan sendiri.

"Mana ada saya terlibat...bohong. Saya dah kata tak terlibat, habislah...noktah. Saya memang tidak terlibat dengan perkara itu (Projek IC).

"Dia (Anwar) selalu menyalahkan orang lain, dia tuduh lepas itu dia cuci tangan. Saya kenal dia sangat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 2.0) di sini, hari ini.


Jarumemas: Orang yang bersalah biasanya tidak akan mengaku dia yang bersalah....

Najib: Masa depan negara bergantung kepada nilai, budaya, sikap masyarakat

PETALING JAYA, 3 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengingatkan rakyat bahawa adalah penting untuk menyedari bahawa masa depan negara bergantung kepada sistem, nilai, budaya dan sikap masyarakat.

Beliau berkata lagi kukuh nilai, budaya dan sikap masyarakat, maka ini lebih menjamin kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang tersohor dan paling hebat di dunia.

“Kejayaan sesebuah negara tidak tertakluk semata-mata kepada bangunan pencakar langit, kemudahan asas, kilang berteknologi tinggi, peningkatan per kapita, tetapi, pada hakikatnya, kita membina sebuah negara bangsa dan kita membina sebuah peradaban.

“Bila kita melihat dari sudut tersebut, maka transformasi sosial berdasarkan kepada perubahan dari segi sistem, nilai dan budaya keseluruhan kita termasuk sikap adalah merupakan salah satu daripada faktor penting mengapa setengah negara lebih maju dan setengah negara kurang maju,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran My Beautiful Malaysia di Taman Medan di sini hari ini.


Jarumemas: Jangan digadai maruah dan kemakmuran negara seperti Pak Kaduk, ayam menang kampung tergadai....

Dr M: PAS menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai umpan dapatkan undi

KUALA LUMPUR, 3 Feb — PAS mempolitikkan agama dan menggunakan kalimah “Allah” sebagai umpan mendapatkan undi dalam  pilihan raya tahun ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini  serta memberi amaran ketegangan antara agama walaupun penganut Islam di Malaysia majoritinya bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mantan perdana menteri itu berkata tidak seperti penganut Islam lain di dunia yang terpecah kepada dua mahzab, umat Islam di Malaysia hanya mengikut doktrin Sunni, pada masa sama menekankan terdapat parti-parti politik tertentu mengeksploitasi agama demi kepentingan sekular.

“Kalimah ‘Allah’ sudah digunakan untuk pancing undi,” tulis Dr Mahathir  dalam kolum di akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

“Kerana ingin dapat undi pihak tertentu dalam pilihan raya, dinyatakan kalimah Allah boleh digunakan oleh siapa sahaja.


Jarumemas: Jangan sampai matlamat Pas menghalalkan cara. Berpegang teguhlah kepada jalan Allah dan jangan sampai Allah melaknat Pas. 

Bekas Pengarah JSJ ramal keadaan aman jika PR takluk Putrajaya

KUALA LUMPUR, 3 Feb — Bekas pemimpin tertinggi Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Datuk Fauzi Shaari meramalkan keadaan aman dan tidak berlaku kekecohan jika Pakatan Rakyat (PR) berjaya menakluk Putrajaya selepas pilihan raya ke-13 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Keyakinan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) tersebut dinyatakan dengan membuat perbandingan pengambilalihan kerajaan negeri yang berjaya dimenangi PR pada 2008 yang lalu.

“Apabila saya bertemu dengan orang ramai dan rakan-rakan dalam pasukan polis saya, mereka sering bertanyakan tentang ramalan terutamanya apa yang akan jadi jika Pakatan menang Putrajaya,” kata Fauzi semasa berucap pada Himpunan Perdana PAS Bersama Ummah di Ampang pagi ini.
 

Jarumemas: Bimbang akan lebih banyak berlakunya kepincangan dalam negara jika PR berkuasa.

MB Selangor: Bantuan RM120 juta bukti SYABAS gagal, tidak selesaikan masalah air

KUALA LUMPUR, 3 Feb — Kerajaan negeri Selangor hari ini mengecam pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak meluluskan bantuan kewangan RM120 juta kepada SYABAS semalam dan mendakwa ia membuktikan syarikat air tersebut gagal menguruskan operasi dengan baik.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan rasmi hari ini memperlekehkan langkah kerajaan pusat tersebut dan mendakwa ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah air di negeri tersebut.

“Terbukti syarikat konsesi berkenaan gagal menguruskan bekalan air bersih dan sumber air secara profesional dan berkesan,” kata Abdul Khalid.

“Tindakan Najib memberikan bantuan dana ini membuktikan kerajaan pusat sebenarnya tidak berminat membantu kerajaan Selangor mengambilalih air demi kebajikan rakyat.”


Jarumemas: Jangan salah lantai jongkang-jungkit kalau tak tahu menari....

Hadi bidas Dr M, dakwa Umno punca penganut agama keliru

KUALA LUMPUR, 3 Feb — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak tuduhan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan parti tersebut menggunakan agama dan kalimah “Allah” untuk memancing undi, sebaliknya mendakwa Umno yang bertanggungjawab mewujudkan kekeliruan dikalangan penganut agama di Malaysia.

Dalam laporan akhbar berbahasa Melayu Mingguan Malaysia hari ini, Dr Mahathir menekankan Malaysia berbeza dengan negara lain yang mempunyai dua kefahaman Islam kerana negara ini hanya mengamalkan mahzab Ahli Sunnah Wal Jamaah dikalangan penganut Muslim.

“Isu agama ini dipermainkan oleh Umno sejak dahulu lagi,” kata Abdul Hadi dalam ucapannya di Ampang pagi ini sempena Himpunan Perdana PAS Bersama Ummah.

“Malahan mereka juga sanggup mempermainkan kalimah Allah dan memutar-belitkan keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura bulan lalu.


Jarumemas: Kenapa salahkan Tun M? Adakah kerana nak tutup kelemahan diri?