Tuesday, 26 November 2013

Sedar Dan Insaflah Daripada Terus Ditipu Pembangkang, Kata Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Para penyokong pembangkang perlu sedar daripada terus ditipu pihak tidak bertanggungjawab kerana segala tohmahan mereka terhadap kerajaan terbukti tidak betul, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Anggota Parlimen Kemaman itu berkata satu demi satu penipuan yang dilakukan pembangkang khususnya berkaitan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sehingga kini masih gagal dibuktikan.

"Dulu pasal 16 Sept, ramai percaya akhirnya dikecewakan. Sekarang ni betul-betul percaya 40,000 warga Bangladesh digunakan. Sehingga dipanggil perhimpunan Black 505, orang penuh ke Stadium Kelana Jaya dan betapa sesaknya jalan raya pada masa itu.

"Pergi ke Padang Merbok dan berbaring walaupun di tengah waktu jerebu. Tapi bila sampai waktu buat petisyen, warga asing, blackout... penipuan yang dikatakan dibuat SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), mereka gagal buktikan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan LocalSIMkad.com di sini hari ini.

Ahmad Shabery yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan berdolak-dalik pembangkang yang mendakwa Barisan Nasional menggunakan warga asing untuk mengundi parti gabungan itu pada PRU13 Mei lepas.

"Ini pembohongan besar. Saya harap rakyat akan sedar dan insaf kerana jika mereka terus ikut, mereka akan jadi mangsa kepada segerombolan penipu yang akan cipta penipuan lain," tegasnya.

Sumber:  BERNAMA

Jarumemas: Mereka yang taksub tidak mudah untuk disedarkan bahawa mereka telah ditipu.

No comments:

Post a Comment