KUCHING 31 Okt. - Berkuatkuasa serta merta, jawatan kosong dalam
perkhidmatan awam Persekutuan bagi kumpulan sokongan gred satu hingga
gred 40 di Sarawak akan diisi oleh anak tempatan, kata Pengerusi
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat SPA bersama
wakil jabatan Persekutuan di Sarawak, dan wakil-wakil badan bukan
kerajaan antaranya Persatuan Graduan Dayak Sarawak, Persatuan Kayan
Sarawak, Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak diadakan di sini, pada
Selasa.
"Hasil mesyuarat tersebut, kita telah berjanji jawatan kosong
Persekutuan melalui lantikan oleh SPA di Sarawak, akan diisi orang
Sarawak sendiri.
"Keputusan yang dibuat bukan satu masalah besar untuk dilaksanakan,
kerana jika kita lantik orang Semenanjung untuk mengisi jawatan sokongan
contohnya seperti kerani, masalah logistik dan penempatan mungkin pula
akan timbul, jadi lebih baik lantikan dibuat berdasarkan lokaliti,"
katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian
Pusat Temuduga SPA Malaysia cawangan Kuching di sini hari ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment