Tuesday 18 February 2014

Kumpulan NGO lancar petisyen atas talian sekat Taib Mahmud dilantik TYT

Sekumpulan 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama empat parti politik menentang pelantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud (gambar) sebagai Yang Dipertua Negeri (TYT) Sarawak, menyifatkannya sebagai satu "malapetaka".
Kumpulan tersebut melancarkan petisyen dalam usaha menghalang pelantikan ketua menteri Sarawak yang didakwa mereka seorang perasuah dan menyalahgunakan kuasa sepanjang 33 tahun pemerintahannya.
"Beliau telah mengeksploitasi sumber asli Sarawak secara besar-besaran untuk kepentingan dirinya," kata NGO tersebut.
"Sarawak dikatakan memiliki hutan terluas di Asia tetapi 90% hutannya hilang kerana pembalakkan haram."
Kumpulan tersebut juga membidas pentadbiran Taib yang berbelanja besar dalam projek empangan dan pembinaan tetapi Sarawak masih lagi ketinggalan dari segi ekonomi dan merosakkan alam semula jadi negeri tersebut.

Jarumemas: PAda pandangan teman, eloklah bagi peluang pada orang lain kerana Taib sudah terlalu lama berada di atas. Kekayaan sudah menggunung dan eloklah berundur sebelum orang menyampah. 

MCA ikrar 'kebumikan' Anwar di Kajang


Presiden MCA Liow Tiong Lai berikrar untuk “mengebumikan” Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim yang dipersalahkan kerana mencipta sebuah lagi pilihan raya kecil di Kajang.

“Oleh kerana dia gali lubang, kami akan tutup (lubang itu), kami akan kebumikan dia,” katanya dalam ucapan ketika melancarkan pusat operasi MCA di Sungai Chua semalam.

“Dia (manipulasi) demokrasi dan cipta pilihan raya kecil, kita tidak boleh biarkan dia dalam kes ini.”

Menurut Liow, MCA akan membuka sembilan pusat operasi yang lebih kecil selain pusat operasi utama di Sungai Chua.


Jarumemas: Dah siapkan kain kapannya? 

Apakah Karpal Singh akan bernasib baik untuk kali keempat?


Karier ahli politik pembangkang veteran, Karpal Singh bergantung kepada pertuduhan jenayah minggu ini, selepas memenangi tiga pertuduhan sebelum ini dalam masa 40 tahun berkecimpung dalam politik.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan pada Jumaat sama ada ahli Parlimen Gelugor itu bersalah kerana menghasut, kesalahan yang boleh menyebabkan denda RM5,000, atau dipenjarakan selama tiga tahun jika didapati bersalah, dalam satu kes melibatkan Sultan Perak.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, seseorang wakil rakyat akan terbatal tugasnya jika didenda melebihi RM2,000 atau dipenjarakan melebihi satu tahun.

“Saya sedar jika didapati bersalah, karier politik saya akan berakhir, tetapi saya sudah lakukan apa yang diharapkan daripada saya.

“Saya tidak pernah menyesal,” peguam veteran berumur 73 tahun itu memberitahu The Malaysian Insider.


Jarumemas: Orang tua-tua dah pesan cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa. 

Taib boleh jadi TYT S'wak sepanjang hayat

ANALISIS 


Walaupun pemerintahan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai ketua menteri Sarawak selama 33 tahun akan berakhir hujung bulan ini, namun pengaruh politiknya masih jauh daripada berakhir.

Jika Taib dilantik sebagai yang dipertua negeri, tiada had masa selama mana beliau boleh memegang jawatan itu - selagi tempoh penggal empat tahun - diperbaharui berulang kali oleh ketua menteri (KM) Sarawak, dengan restu Yang di-Pertuan Agong.

Dalam kes ini, nampaknya pentingnya KM seorang yang disenangi Taib secara peribadi, dan pemilihan bekas adik iparnya, Adenan Satem, sebagai KM baru boleh menjamin Taib memegang jawatan yang dipertua negeri sepanjang hayat.


Jarumemas: Hanya Allah yang Maha Berkuasa dan segala perjalanan hidup kita telah ditentukan sejak di Loh Mahfuz lagi. Janganlah mendabik dada bahawa kita ada kuasa...ya! di dunia kita berkuasa tetapi Allah yang mengizinkan sebegitu tetapi itu bukan selamanya kita di atas. Suatu hari nanti kita akan ke bawah jua.

PAS: Kassim Ahmad hina Islam


Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar mahu tindakan diambil terhadap Dr Kassim Ahmad kerana didakwa menghina Islam dalam sebuah majlis di Putrajaya semalam.

Mahfuz berkata Kassim tidak pernah diambil tindakan oleh mana-mana penguatkuasa agama di negara ini walaupun ajaran 'anti-hadis' beliau telah difatwakan haram sebelum ini.

"Beliau (Kassim) persoalkan bagaimana masyarakat Islam mendewa-dewakan Nabi Muhammad, rambut wanita bukan aurat dan wujud kasta paderi.

"Ini satu penghinaan kepada Islam dan pencabulan hak dan penghinaan terhadap Majlis Raja-Raja," kata beliau dalam sidang media hari ini.



Jarumemas: Susah kalau dah tergelincir akidah. 

Keharmonian sosial dicabar bom api, daging babi


GEORGETOWN: “Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa percaya bahawa saling menghormati, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat yang pelbagai ini hanya boleh dicapai apabila kita meraikan keunikan dan perbezaan,” kata Lim Guan Eng. 

Walau bagaimanapun, katanya pendekatan terhadap keharmonian sosial dan keamanan telah dicabar secara berterusan oleh pelbagai insiden seperti bom api di sebuah gereja bulan lalu, bom api di balai polis awal bulan ini dan penodaan terbaru di masjid semalam, apabila daging dipercayai daging babi telah dibuang ke dalam kawasan masjid.

“Jelas kumpulan perosak yang terlibat dalam penodaan terhadap tempat ibadat ini tidak berputus asa dalam usaha melemahkan dan menggugat Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang,” tegas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.



Jarumemas: Kalau tak dijolok sarang tebuan, takkan kita disengatnya. 

Ibu bapa bimbang implikasi negatif buku teks digital


KUALA LUMPUR: Kemajuan teknologi dan era globalisasi bukanlah memungkinkan semua sistem pendidikan harus meniru model dari Barat kerana tidak semuanya sesuai buat masa sekarang untuk masa depan anak bangsa di negara Malaysia yang tercinta. 

Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik), Normala Sudirman berkata,  tidak dapat dinafikan bahawa pelancaran buku teks digital menunjukkan inovasi baru dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran tetapi ia bakal membimbangkan warga pendidik dan ibu bapa kesan implikasi negatif terhadap pelajar di sekolah.

Katanya, beliau banyak  menerima banyak aduan tentang kebimbangan ibu bapa dan warga pendidik jika pemberian kemudahan buku teks itu disalahguna yang akhirnya memberi implikasi negatif merosakkan masa depan anak bangsa. 

"Saya berpendapat harus dikaji mekanisme penggunaan, tahap umur pelajar dan kawalan guru terhadap pelajar serta kematangan pelajar dari segi umur untuk mengelakkan pelajar melayari video pornografi dan bermain 'game' ketika guru sedang mengajar,” katanya.



Jarumemas: Dulu era tahun 50-an hingga 60-an kami guna papan batu dan kapur tulis. 

Dilema BN: Calon Umno, MCA atau taja Bebas di Kajang



KUALA LUMPUR: Perkembangan terbaru, dengan BN belum membuat pendirian rasmi sama ada bertanding atau tidak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang menguatkan lagi desas-desus bahawa BN mungkin sedang menimbang untuk calon Umno bertanding menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Desas-desus itu dikuatkan lagi dengan beberapa kenyataan pemimpin Umno yang seolah-olah memberi bayangan bahawa BN sedang meneliti faktor-faktor lain yang akan memberi sedikit kelebihan kepada mereka jika Umno bertanding di kerusi tradisi MCA ini..

Sebagai contoh, kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa, semua pihak harus bersabar menunggu keputusan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) sama ada mahu meletakkan calon atau tidak pada PRK yang akan diadakan bulan depan itu.

Bercakap di Kota Belud semalam, Mohd Shafie berkata pucuk pimpinan akan membuat keputusan terbaik.



Jarumemas: BN perlu membuat kelutusan yang tegas. 

Perak digesa bertindak projek akuakultur ancam nelayan


KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Perak menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah 500 nelayan kecil di Kampung Sungai Tuntung, Panchor dan Pengkalan Bharu dekat Pantai Remis yang terjejas mata pencarian mereka akibat pelaksanaan projek akuakultur di kawasan itu.
 
Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, di samping mengancam sumber perikanan dan pendapatan nelayan, projek ternakan udang dan ketam di situ juga telah memusnahkan ratusan hektar kawasan hutan bakau di tempat itu serta mencemarkan air sungai dan laut berhampiran oleh sisa buangan kolam.
 
Dalam tinjauan yang dibuat, jelasnya CAP difahamkan oleh nelayan-nelayan yang terlibat bahawa sebahagian dari kawasan hutan paya bakau yang telah dimusnahkan bagi tujuan tersebut adalah dalam kawasan hutan simpan kekal iaitu HSK Tanjung Burung, yang sepatutnya perlu dilindungi dan dipelihara. 
 
Demikian menurut beliau dalam satu kenyataan. 



Jarumemas: Kebajikan rakyat perlu diambil berat kerana merekalah yang mengundi dan memilih kerajaan yang memerintah. Pemimpin perlu bertindak segera atas segala keluhan dan desakan mereka kerana tanpa mereka pemimpin tidak akan menang. 

Kassim Ahmad hina Islam, Umno tengok saja...


KUALA LUMPUR: PAS mengkritik tindakan Kassim Ahmad yang dilihat telah menghina Islam berhubung kenyataannya yang mempersoalkan bagaimana masyarakat Islam mendewa-dewakan Nabi Muhammad, menyatakan rambut wanita bukan aurat serta wujud kasta paderi.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, sewajarnya kerajaan memandang serius kenyataan tersebut dan mengambil tindakan tegas terhadap Kassim yang juga dikenali sebagai pelopor golongan anti hadis Malaysia.

Sehingga kini ujarnya tidak pernah ada sebarang tindakan tegas oleh mana-mana pihak berkuasa terhadap Kassim, walaupun sebelum ini ajaran 'anti-hadis' itu telah difatwakan haram.



Kenyataan Kassim pada "Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian" di Putrajaya semalam telah menimbulkan kontroversi apabila mendakwa Islam sebenar di negara ini telah diselewengkan oleh sistem 'kasta paderi' yang dipanggil ulama.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, beliau tidak terkejut jika tidak ada sebarang kenyataan tegas dari pimpinan Umno kerana Kassim merupakan antara individu yang sering menjadi rujukan kepada parti itu.



Jarumemas: Sepatutnya kita sesama Islam perlu bertindak secara kolektif menangani apa saja isu yang melibatkan agama Islam. 

Perancangan: Abim gesa PBS ditangguhkan serta merta


KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menuntut agar pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ditangguhkan serta merta bagi membolehkan kajian, perancangan dan persiapan infrastruktur dibuat sebaik mungkin. 

“Abim berpandangan bahawa PBS adalah satu lonjakan besar (giant leap) dalam sistem pendidikan negara,” ujar Presidennya, Amidi Abdul Manan dalam satu kenyataan. 

Menurutnya, masyarakat yang telah terbiasa dengan sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan perlu diberikan penerangan yang mencukupi dari segala sudut. 

Sehubungan itu, ujarnya Abim merakamkan kekesalan kerana para pemimpin negara tidak mengambil iktibar kegagalan pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dibuat dengan tergopoh gapah tanpa kajian yang mencukupi. 



Jarumemas: Tindakan 'flip-flop' kerajaan terhadap satu-satu dasar membuatkan rakyat rasa bosan.