KENINGAU, 3 Jan — Pergerakan Pemuda Umno Keningau berpendapat
bahawa sebarang usaha untuk “merubah” dasar pemerintahan negara yang
akhirnya tidak konsisten, tidak teratur serta tidak realistik boleh
mengundang padah kepada masa depan rakyat dan negara.
Ketuanya,
Azman Ruslan berkata dasar-dasar yang tidak menentu dan tidak teratur
juga boleh menyebabkan kecelaruan pada urusan tadbir negara yang
akhirnya memberi impak negatif kepada rakyat dan negara.
“Justeru, saya berpendapat bahawa dasar-dasar Kerajaan Barisan
Nasional yang terbukti lebih kondusif, inklusif dan progresif perlu
dipertahankan bagi memastikan kestabilan ekonomi, politik dan perpaduan
rakyat berbilang kaum di negara ini,” katanya kepada Bernama di sini,
hari ini.
“Saya berpendapat bahawa rakyat Sabah perlu pertahankan Kerajaan
Barisan Nasional kerana dasar-dasarnya bukan sahaja sentiasa relevan
tetapi boleh menjamin masa depan rakyat Sabah, terutama masyarakat luar
bandar yang sangat memerlukan pembangunan.
“Rakyat Sabah sebenarnya akan rugi besar sekiranya dasar-dasar
progresif yang dilaksanakan Kerajaan Barisan Nasional tidak
berkesinambungan. Saya tidak fikir pembangkang mempunyai agenda
pembangunan yang lebih baik daripada apa yang telah dan sedang dilakukan
Kerajaan Barisan Nasional,” katanya.
Sebaliknya, Azman berkata sikap
dan tindak-tanduk pakatan pembangkang gagal memberikan hala tuju jelas
berhubung cara mereka mengurus tadbir negara dengan lebih baik daripada
Kerajaan BN.
“Bukan susah sangat untuk menilai kredibiliti pakatan pembangkang
kerana rata-rata pemimpinnya adalah ‘orang-orang lama’ dalam politik
yang kurang dinamik, malahan sesetengahnya adalah ‘pengembara politik’.”
— Bernama
Jarumemas: Hanya jauhari yang mengenali manikam. Jangan sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.