Thursday, 3 January 2013

Dasar tidak realistik boleh bawa padah pada negara, kata Pemuda Umno Keningau

KENINGAU, 3 Jan — Pergerakan Pemuda Umno Keningau berpendapat bahawa sebarang usaha untuk “merubah” dasar pemerintahan negara yang akhirnya tidak konsisten, tidak teratur serta tidak realistik boleh mengundang padah kepada masa depan rakyat dan negara.

Ketuanya, Azman Ruslan berkata dasar-dasar yang tidak menentu dan tidak teratur juga boleh menyebabkan kecelaruan pada urusan tadbir negara yang akhirnya memberi impak negatif kepada rakyat dan negara.

“Justeru, saya berpendapat bahawa dasar-dasar Kerajaan Barisan Nasional yang terbukti lebih kondusif, inklusif dan progresif perlu dipertahankan bagi memastikan kestabilan ekonomi, politik dan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

“Saya berpendapat bahawa rakyat Sabah perlu pertahankan Kerajaan Barisan Nasional kerana dasar-dasarnya bukan sahaja sentiasa relevan tetapi boleh menjamin masa depan rakyat Sabah, terutama masyarakat luar bandar yang sangat memerlukan pembangunan.

“Rakyat Sabah sebenarnya akan rugi besar sekiranya dasar-dasar progresif yang dilaksanakan Kerajaan Barisan Nasional tidak berkesinambungan. Saya tidak fikir pembangkang mempunyai agenda pembangunan yang lebih baik daripada apa yang telah dan sedang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional,” katanya. 

Sebaliknya, Azman berkata sikap dan tindak-tanduk pakatan pembangkang gagal memberikan hala tuju jelas berhubung cara mereka mengurus tadbir negara dengan lebih baik daripada Kerajaan BN.

“Bukan susah sangat untuk menilai kredibiliti pakatan pembangkang kerana rata-rata pemimpinnya adalah ‘orang-orang lama’ dalam politik yang kurang dinamik, malahan sesetengahnya adalah ‘pengembara politik’.” — Bernama

Jarumemas: Hanya jauhari yang mengenali manikam.  Jangan sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

No comments:

Post a Comment