Monday, 24 September 2012

Ngeh bantu tukang karut Umno?

Kita dapat (dan mudah) memahami pendekatan agresif media dan NGO tali barut Umno untuk mengeksploit semaksimum mungkin reaksi Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham, yang mempertikai hasrat Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin merancang protes besar-besaran terhadap filem jijik itu, sekali gus mempersoal (bertanya), adakah umat Islam wajar menghabiskan masa dan tenaga untuk memberi respons terhadapnya. Sememangnya kenyataan Twitter Ngeh itu perlu ditegur dan diperbetulkan. Dan saya yakin Ahli Parlimen Beruas dan bekas Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak itu sudah mendapat pengajaran sewajarnya daripada insiden tersebut. (Rupanya reaksi segera melalui Twitter kerap juga menimbulkan kesan negatif yang mungkin tidak terduga; dan ini sepatutnya diberi perhatian istimewa oleh semua ahli politik, agar lebih berhati-hati dan tidak mudah gatal tangan, 'kan?). Tentunya sebagai seorang pemimpin yang sering turun ke jalan-jalan raya dan merancang siri demonstrasi menangani banyak isu, bukan sahaja selepas kerajaan Pakatan Rakyat Perak ditumbangkan secara tidak bermaruah pada 2009, malah berkaitan hak-hak rakyat sebelum tahun 2008, dan Ngeh juga pernah ditahan polis semasa perhimpunan Bersih 2.0, beliau tidak seharusnya "terlepas pandang" dengan sensitiviti umat Islam, yang sepatutnya dekat dan akrab dengan beliau. Sesungguhnya kita ditakdirkan hidup bersama, berkongsi keistimewaan bumi Malaysia, yang penuh dengan kepelbagaian dan keunikan ini, dari Perlis ke Pulau Sebatik. Setiap warga perlu melihat setiap perbedaan itu sebagai peluang untuk lebih dekat dan rapat, saling memahami dan mengerti. Mungkin selama ini masih luas jurang yang memisahkan kita, meskipun berada dalam persepakatan politik yang sama, sehingga elemen sensitif pun "terlepas pandang". Oleh itu, saya tidak fikir Ngeh pernah berhasrat untuk cuba menafikan hak setiap warga bagi terlibat dalam sebarang perhimpunan aman seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan. Bukankah selama ini pemimpin DAP sering berhujah menggunakan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan bagi menyokong pendirian mereka. Saya kira beliau mungkin sukar memahami atau terkeliru dengan reaksi dan kemarahan umat Islam seluruh dunia, apatah lagi sebahagiannya menunjukkan aksi "ganas", seperti dipaparkan melalui TV satelit. Berita lanjut... Jarumemas: cakap malam dengar-dengar, cakap siang pandang-pandang...

No comments:

Post a Comment