Monday, 10 September 2012
Kerajaan pusat salur RM1.38 billion kepada Kedah untuk laksanakan projek infrastuktur
ALOR STAR, 10 Sept — Kerajaan Pusat melalui Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri menyalurkan RM1.38 bilion dalam bentuk projek infrastruktur kepada Kedah untuk menyemarakkan pelaburan dan aktiviti ekonomi tahun ini.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah Datuk Azmi Lateh berkata komitmen kerajaan pusat itu berjaya menarik dana pelaburan swasta tempatan bernilai RM1.1 bilion setakat ini. Beliau berkata jumlah itu tidak termasuk kelulusan permohonan untuk melaksana projek kecil dari semasa ke semasa mencecah hampir RM60 juta.
“Pemantauan yang dibuat mendapati pelaksanaan projek infrastruktur mencapai 97 peratus dan menghidupkan ekonomi rakyat Kedah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-35 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia cawangan Kedah (PKMM) di sini, hari ini.
Ketika berucap sebelum itu, Azmi berkata kemampuan kontraktor menyiapkan projek mengikut jadual memberi kesan terhadap keyakinan pelabur tempatan dan asing untuk melabur di negeri ini.
Sumbangan PKMM dalam sektor pembinaan turut memberi impak besar bagi mencapai matlamat bidang keberhasilan utama kerajaan untuk menjayakan agenda transformasi ekonomi kerajaan pusat, katanya.
Beliau berkata kerajaan mempunyai mekanisme tersendiri bagi membantu kontraktor yang menghadapi masalah menyiapkan projek kerana mahu rakyat menikmati keselesaan dan kesejahteraan.
Sementara itu, yang Dipertua PKMM Kedah Ahmad Fatahi Omar, yang berucap pada majlis itu, berkata hanya kira-kira 40 peratus daripada lebih 1,600 anggotanya berjaya manakala bakinya dalam keadaan tenat dan ada yang telah gulung tikar.
“PKMM cawangan Kedah dukacita kerana untuk tahun ini kerajaan Kedah hanya memberi peluang kepada kita menyelenggara jalan negeri bernilai RM50 juta sahaja.
“Kita akan menjadi pendesak untuk memelihara kebajikan ahli agar kerajaan pusat dan negeri memberi lebih banyak tender atau projek kepada kami untuk dilaksanakan,” katanya.
Ahmad Fatahi berkata pihaknya telah menghantar surat kepada kerajaan Kedah dua bulan lepas agar menganugerahi projek melalui cabutan undi dan menghentikan pemberian projek kepada konsortium yang dikuasai anak syarikat miliknya. — Bernama
Jarumemas: Berbudi kepada rakyat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment