Monday, 9 April 2012

PERTABALAN AGONG DIRAKAM NATIONAL GEOGRAPHIC CHANNEL

Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada Rabu ini menarik minat National Geographic Channel (NatGeo) untuk merakamkannya dalam bentuk filem dokumentari dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk siaran ke seluruh dunia.

Pengarah Produksi Finas, Subaidah Md. Top berkata ini kali kedua NatGeo membuat liputan seumpama itu. Kali pertama, istiadat pertabalan Yang di Pertuan Agong ke 13, Sultan Mizan Zainal Abidin dari Terengganu pada 2007.

Dalam liputan kali ini, NatGeo akan menumpukan kepada keunikan dan keistimewaan pelantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk kedua kalinya.

Subaidah berkata, belum pernah dalam sejarah negara, Sultan atau Raja yang sama dilantik semula sebagai Ketua Negara sejak sistem giliran memegang jawatan itu di kalangan sembilan Sultan dan Raja dipraktikkan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Tuanku Abdul Halim, pertama kali dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong (yang kelima) pada 1970 semasa berumur 42 tahun, dan kini dilantik semula sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 14 pada usia 84.

"Dokumentari tersebut bakal menyingkap dengan lebih dekat mengenai kisah hidup Tuanku Abdul Halim itu sendiri," tambahnya.

Pihak produksi akan juga merakamkan aktiviti Tuanku selepas istiadat pertabalan, serta menemubual anggota kerabat serta kenalan rapat Seri Paduka.


Jarumemas teringat pada pertabalan Tuanku Abdul Halim pada tahun 1970. Masa itu Jarumemas baru dalam alam sekolah menengah, Kelas Peralihan. Meriah sungguh pada majlias pertabalan tersebut. Apatah lagi, ketika itu Permaisuri Agong, Tuanku Bahiyah adalah anakanda kepada mantan DYMM YDP Agong pertama, iaitu YMM Tuanku Abdul Rahman dan Tuanku Khurshiah.  Jarumemas berasa sangat bangga kerana Tuanku Bahiyah Tuanku Abdul Rahman berasal dari Negeri Sembilan turut ditabalkan menjadi Permasuri Agong. Kini DYMM YDP Agong Tuanku Abdul Halim sekali lagi akan ditabalkan menjadi YDP Agong. Sewajarnya rakyat Malaysia tidak melepaskan peluang menyaksikan majlis ini  pada 11 April 2012 nanti.

No comments:

Post a Comment