Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak keras agar kerajaan
Barisan Nasional menangguh dan mengkaji semula perlaksanaan sistem AES
yang dijangka meragut wang rakyat sepanjang 24 jam sehari, 7 hari
seminggu.
Tidak dinafikan, kadar kemalangan jalanraya yang
tinggi memerlukan tindakkan drastik yang ideal kepada semua, bukan hanya
terhadap poket kerajaan dan kroni.
Kerajaan sebagai penerima
cukai jalan dan cukai kepala pemandu (lesen memandu) sepatutnya
mengeluarkan dana untuk keselamatan rakyat di atas jalan raya namun apa
yang berlaku adalah sebaliknya apabila modal yang dikeluarkan kerajaan
hanya untuk mengoyakkan poket rakyat dengan sistem saman AES.
AES
juga tidak disebut sebagai sistem keselamatan, tetapi lebih kepada
sistem saman-menyaman. Malah telah banyak kali dibangkit betapa lokasi
kamera AES tidak membantu mengurangkan kadar kemalangan tetapi lebih
berfungsi sebagai perangkap.
Butir perjanjian di antara syarikat
pengendali AES dan pihak kerajaan juga tidak didedah walaupun didesak di
parlimen. Ini mencurigakan, apakah ada komplot antara kerajaan dan
syarikat swasta untuk mencuri wang poket rakyat?
Dalam
pemerhatian SAMM yang berpengkalan di setiap negeri seluruh negara,
banyak faktor kemalangan seperti jalan berlubang, tidak rata dan
berbonggol-bonggol tidak diambil peduli tetapi dalam masa yang sama
kerajaan membelanjakan wang rakyat untuk sistem AES semata-mata. Mengapa
kerajaan BN tidak memastikan prasarana yang baik terlebih dahulu?
Sedangkan
rakyat semakin ditimpa kesempitan hidup akan sampai ketikanya terpaksa
memilih untuk menangguhkan hasrat menukar tayar yang sudah botak demi
membayar saman terlebih dahulu bagi mengelak denda berganda jika bayar
lewat. Rakyat akan pilih bayar saman daripada servis dan baiki kereta
maka kadar kemalangan akan lebih banyak jika situasi seperti ini
membarah.
SAMM juga ingin mengingatkan kerajaan bahawa pecahan
statistik kemalangan maut paling tinggi adalah membabitkan penunggang
motosikal maka sepatutnya kerajaan mengusahakan terlebih dahulu lorong
alternatif untuk keselamatan penunggang motosikal berbanding memilih
sistem AES yang fokus untuk menyaman pemandu kenderaan empat roda, bukan
motosikal.
Maka atas sebab ini SAMM mendesak sistem AES
ditangguh dan dikaji semula. Jika kerajaan tetap berdegil untuk menyaman
rakyat 24jam, SAMM akan melancarkan sebuah kempen untuk rakyat bangkit
menutup kamera AES yang dipasang di seluruh negara.
SAMM sendiri
mempunyai pengikut hampir di setiap pelusuk negara untuk memulakan
gerakan kempen ini. Kempen 'tutup kamera AES' bukan untuk memusnahkan
harta rakyat, tetapi rakyat bertindak menutup kamera tersebut dengan
menggunakan stiker pelekat atau membalut kamera tersebut dengan plastik
sampah (berwarna hitam). Kamera AES tetap selamat dan berfungsi, cuma ia
tidak mampu lagi menyaman. Ini bukan kempen vandelisma tetapi kempen
selamatkan duit rakyat dan negara.
Akhir sekali, SAMM memuji
tindakkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang sebulat suara menangguhkan
sistem AES demi rakyatnya. Inilah kerajaan idaman, yang sentiasa
memikirkan kebaikkan demi rakyat, bukan seperti regim BN yang sentiasa
mencukai dan mendenda rakyat dengan dacing sengetnya.
Sumber: Malaysiakini
Jarumemas: Setuju dilaksanakan tetapi wajar ditangguhkan buat sementara waktu.
No comments:
Post a Comment