Tuesday, 18 September 2012
Penghuni Pangsapuri Angsana tuntut janji air percuma daripada kerajaan Selangor
KAJANG, 17 Sept — Kira-kira 200 penghuni Pangsapuri Angsana di Sungai Long di sini, berhimpun secara aman hari ini bagi menuntut janji pemberian air percuma oleh kerajaan Selangor, seperti yang dinikmati penguna meter air individu dan bukan mereka yang menggunakan meter pukal.
Rata-rata penduduk pangsapuri yang mempunyai 560 unit itu terkilan kerana mereka tidak mendapat 20 meter padu air percuma seperti yang dijanjikan kerajaan negeri, kata Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Penghuni Pangsapuri Angsana, Azizah Azmah.
“Kami telah serahkan memorandum dan aduan kepada GPRS (Gerakan Prihatin Rakyat Selangor) dan peguam (firma Guaman Kamaruddin & Partner) sebab kami mahu hak kami sebagai rakyat. Kami tidak mahu ditipu lagi,” katanya.
Di bawah skim pelaksanaan pemberian 20 meter padu air percuma oleh kerajaan negeri pimpinan PKR itu, hanya isi rumah yang menggunakan meter individu dapat menikmati subsidi air itu.
Kerajaan negeri telah mengarahkan pemilik bangunan, pemaju dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) untuk menukar meter pukal kepada meter individu sejak 2008 bagi memastikan semua pihak dapat menikmati skim air percuma itu, tetapi ia masih tidak dilaksanakan di kebanyakan kawasan.
Sementara itu, Pengerusi GPRS Datuk Sohaimi Shahadan pada sidang akhbar di pangsapuri itu, berkata kerajaan Selangor perlu membayar RM11.40 (sama dengan harga 20 meter padu air) kepada isi rumah yang tidak mempunyai meter individu, untuk tempoh kira-kira 50 bulan sejak skim itu dilaksanakan, yang dianggar berjumlah RM570.
Sambil mendakwa GPRS menerima aduan yang sama daripada penduduk di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Puchong, Gombak dan Klang, beliau berkata orang ramai boleh membuat aduan melalui laman blog ‘hasrat-selangor.blogspot.com’.
“Jawatankuasa penduduk dengan kerjasama GPRS akan membawa aduan dan bantahan ini kepada firma Guaman Kamaruddin & Partner untuk tindakan mahkamah. Firma ini memberikan perkhidmatan secara percuma,” katanya.
Sejumlah penduduk juga telah membawa tuntutan subsidi air itu ke mahkamah. — Bernama
Sumber: Malaysian Insider
Jarumemas: Cakap tak serupa bikin....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment