Monday, 30 July 2012
Nama Boleh Gugur Bila-Bila Masa - Koh
IPOH, -- Setiap nama daripada parti Gerakan yang tersenarai untuk dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) boleh digugurkan bila-bila masa oleh parti itu jika melakukan sesuatu yang 'bodoh' sehingga membangkitkan kemarahan rakyat, kata Presidennya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Beliau berkata tindakan itu akan diambil walaupun senarai nama telah ditapis dan dinilai serta dikemukakan kepada pucuk pimpinan BN.
"Ini (senarai nama) adalah hasil tapisan dan penilaian tetapi kalau seorang calon yang diletakkan dalam senarai itu buat sesuatu yang bodoh, tidak betul dan membangkitkan kemarahan rakyat, kita tentu tidak akan pilih lagi sebagai calon," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan parti Gerakan negei Perak di sini hari ini.
Beliau berkata semua nama yang telah disenarai itu sentiasa dipantau dan mereka perlu terus bekerja keras bagi membantu serta menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat.
Rakyat setempat memerlukan seseorang calon pilihan raya yang boleh bekerja untuk mereka, kata Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Beliau berkata Gerakan juga akan membuat penilaian terhadap hasil dapatan kajian-kajian politik yang dilakukan universiti tertentu kerana parti itu turut mendapat maklum balas berbeza dari pelbagai sumber lain.
"Itu amat penting kerana kami juga menerima laporan yang kata lain, lebih baik semua laporan itu dijadikan sebagai panduan, jangan anggap ia sudah menjadi realiti kerana kita perlu menarik setiap undi, tidak boleh cuai," katanya.
Sumber: Bernama
Jarumemas: Hati yang ikhlas walaupun digugurkan tidak akan berkecil hati.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment