Wednesday, 27 November 2013

Malaysia Minta Penjelasan Singapura Berhubung Laporan Pengintipan

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Luar Malaysia Selasa meminta penjelasan daripada Pesuruhjaya Tinggi Singapura Ong Keng Yong berhubung dakwaan penglibatan negara itu dalam kegiatan pengintipan terhadap Malaysia.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataan di sini berkata Ong mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Othman Hashim berhubung perkara itu di sini.

"Ketua Setiausaha menyampaikan kebimbangan Malaysia berhubung dakwaan kegiatan pengintipan Singapura terhadap Malaysia, dan menegaskan bahawa kegiatan seumpama itu mencabuli kedaulatan Malaysia dan juga terhadap privasi individu," katanya.

Kegiatan seumpama itu, beliau berkata sepatutnya tidak dilakukan di kalangan rakan dan jiran terdekat seperti Malaysia dan Singapura apabila kedua-dua pihak saling memupuk perkongsian strategik dan hubungan yang erat.

Anifah menegaskan bahawa laporan berkenaan kegiatan pengintipan telah menyebabkan kemarahan dan kekecewaan di kalangan rakyat Malaysia.


Lagi....www.bernama.com

Jarumemas: Mungkin ada musuh dalam selimut yang menggunting dalam lipatan. Kerajaan perlu mengenal pasti dalang-dalang yang cuba menghancurkan negara sendiri. Jangan kita cari orang luar yang cuba mengintip, orang dalam pun mungkin sudah dibeli bagi menyampaikan maklumat negara kepada  Singapura dan lain-lain negara. 

SPAD Lindungi Kepentingan Awam Sebelum Putuskan Kenaikan Tambang Bas Sekolah

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan memberi pertimbangan ke arah melindungi kepentingan awam sebelum membuat keputusan berhubung cadangan menaikkan tambang bas.

Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar berkata suruhanjaya itu juga akan berusaha mencapai formula agar tidak menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pihak yang berkaitan.

"Kadar tambang bagi bas sekolah akan diumumkan tidak lama lagi. Kami mengadakan beberapa mesyuarat dan meneliti beberapa cadangan.

"Kami perlu menimbangkan (kepentingan) orang awam juga, kerana mereka sudah tentulah tidak mahu sebarang kenaikan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pengangkutan Bandar dan Transit Aliran Massa (MRT) 2013 di sini Selasa.

Syed Hamid mengulas cadangan Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia untuk menaikkan tambang bas sebanyak 30 peratus di seluruh negara, sebelum bermulanya sesi persekolahan awal Januari ini.

Lagi...www.bernama.com

Jarumemas: Bukan semua ibu bapa yang menggunakan pengusaha bas untuk menghantar anak-anak merka ke sekolah orang yang kaya. Orang kaya hantar anak-anak mereka  naik kereta peribadi yang dihantar sama ada ibu bapa sendiri atau pemandu. Berpada-padalah timbang naikkan harga tambang bas sekolah. 

Taska, Pengasuh Atau Berhenti Kerja: Dilema Ibu Bekerja

Oleh Siti Nursuraya Ali

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Setiap wanita bekerja yang bakal melahirkan anak, sering tidak lari daripada berhadapan dilema di mana hendak ditempatkan si manja apabila kembali bertugas selepas tamat tempoh berpantang.

Di Malaysia, dalam soal menjaga si manja terdapat beberapa pilihan bagi kaum hawa yang bekerjaya tetapi ia bukanlah semudah yang dianggap.

Antaranya mereka boleh memilih untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada anak dan keluarga.

Namun bukan semua wanita berkeluarga mampu meninggalkan pekerjaan kerana rezeki mereka itu penting untuk menampung keperluan keluarga.

Pilihan lain, yang mungkin praktikal bagi kebanyakan wanita bekerjaya adalah meminta bantuan keluarga untuk menjaga anak semasa bekerja, mendapatkan orang gaji, atau menghantar kepada pengasuh ataupun pusat penjagaan kanak-kanak.

Walau apa jua pilihan yang diambil, sudah tentu ada kebaikan atau kelemahannya. Ramai ibu yang khuatir untuk meninggalkan anak di bawah jagaan mereka yang bukan ahli keluarga memandangkan terlalu banyak kemalangan atau kes penderaan ke atas kanak-kanak dilaporkan oleh media.

Bernama cuba mengupas realiti keresahan setiap ibu apabila memikirkan langkah terbaik untuk anak dan pada masa yang sama mereka boleh meneruskan usaha mencari rezeki.

Lagi...www.bernama.com

Jarumemas: Adakah ibu-ibu bapa muda kini, yang mempunyai anak-anak kecil mempunyai pilihan untuk mengatasi masalah penjagaan anak-anak mereka? Untuk menghantar anak ke pusat-pusat jagaan harian pelbagai maslah yang timbul. Untuk mengambil pembantu rumah warga  asing pun menyusahkan kerana perlu membayar ribuan ringgit sedangkan perkhidmatan mereka  masih belum pasti memuaskan. Meminta ibu bapa di kampung untuk menjaga anak-anak mereka bukanlah satu jawapan yang baik, mungkin buat sementara waktu boleh diterima. Ini kerana  ibu bapa perlukan masa untuk berehat dan melaksanakan amal ibadat untuk bekalan akhirat. Oleh itu, ibu-ibu bapa muda perlu memikirkan yang terbaik bagi megatasi masalah mereka. Fikir-fikirkanlah!!!

Akta Perlindungan Data Peribadi Berkuat Kuasa 15 Nov, Kata Ahmad Shabery

PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Selasa mengumumkan 15 Nov lalu sebagai tarikh penguatkuasaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709), diperkenalkan khusus bagi mencegah penyalahgunaan data peribadi orang awam untuk tujuan komersial.

Selaras dengan penguatkuasaan akta itu, semua pihak yang dikategorikan sebagai pengguna data di bawah Perintah Golongan Pengguna Data kini diberi tempoh sehingga 15 Feb tahun depan untuk mendaftar dengan Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia (JPDPM).

Di bawah undang-undang tersebut, adalah menjadi kesalahan bagi mereka mendedahkan data peribadi kepada pihak ketiga tanpa persetujuan pemilik.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang membuat pengumuman itu berkata akta diluluskan pada April 2010 itu merupakan sebahagian matlamat dasar ke-10 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu bagi menjamin keselamatan maklumat dan kebolehpercayaan serta keutuhan rangkaian dalam perlindungan data di Malaysia.


Lagi...www.bernama.com

Jarumemas: Terbaik untuk orang ramai. 

Pemimpin 11 Cabang PKR Sabah Keluar Parti, Sokong BN

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Pemimpin 11 cabang PKR Sabah mengambil keputusan untuk keluar parti hari ini dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Mereka terdiri daripada ketua cabang, timbalan ketua cabang dan ketua penerangan cabang parti itu dari Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Sepanggar, Pensiangan, Beluran, Kinabatangan, Batu Sapi, Silam, Kalabakan dan Semporna.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media di sini berkata mereka mengambil keputusan itu kerana sudah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan PKR dan memberi kepercayaan kepada kepimpinan BN di peringkat nasional dan negeri.

Beliau berkata gelombang kedua akan berlaku tidak lama lagi apabila banyak lagi pemimpin PKR Sabah akan keluar parti dan menyokong BN.


Lagi...www.bernama.com

Jarumemas: Bangkai semut boleh ditutup, inikan pula bangkai gajah. Lama kelamaan rakyat sedar apa yang cuba dibawa oleh PKR dan ke mana hala tuju pemimpinnya yang hanya mementingkan diri sendiri. 

Tuesday, 26 November 2013

CUEPACS: Tidak Ada Tolak Ansur Penjawat Awam Salah Guna Kuasa

LANGKAWI, 25 Nov (Bernama) -- CUEPACS tidak akan membela dan berkompromi dengan penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa kerana perbuatan itu menjejaskan nama baik perkhidmatan awam negara.

Presidennya Datuk Omar Osman menegaskan setiap penjawat awam wajar dihukum dan menanggung kesalahan yang dilakukan.

Penjawat awam seharusnya bekerja dengan penuh dedikasi agar Malaysia berjaya mencapai taraf negara maju pada tahun 2020, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada seminar Transformasi Kepimpinan dan Pengukuran Integriti di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tujuh pegawai awam akan diikenakan tindakan tatatertib susulan Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Omar berkata CUEPACS memandang berat penyalahgunaan kuasa oleh penjawat awam dan mahu masalah itu diatasi dengan tegas termasuk mengambil perhatian teguran Ketua Audit Negara.

Beliau berharap semua penjawat awam bekerja dengan rasa tanggungjawab dan mengelak dari terjebak dengan sebarang unsur yang mencemarkan perkhidmatan awam agar dapat menghadapi cabaran lebih besar pada tahun depan.

Katanya CUEPACS sedang merangka beberapa program untuk melahirkan penjawat awam cemerlang khususnya bagi yang masih muda dan mampu menyumbang idea.

Seramai 120 ketua jabatan dari pelbagai agensi kerajaan menghadiri seminar empat hari itu yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid yang mewakili Menteri Besar Kedah.

Sumber: BERNAMA

Jarumemas: Penjawat awam diamanahkan menjaga kepentingan kerajaan dan dirinya sendiri. Tindakan yang sambil lewa dan ambil mudah akan menyusahkan diri sendiri dan kerajaan. Ketirisan dalam perbelanjaan pejabat membuatkan kerajaan menanggung kerugian. 

Tee Keat Tanding Presiden MCA Lagi

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat mengumumkan bahawa beliau akan bertanding bagi jawatan presiden dalam pemilihan parti bulan depan.

Dengan slogan kempen "Unite! Restore the Lost Dignity" (Bersatu, pulihkan Maruah yang Hilang) Ong yakin beliau masih dapat memberi sumbangan dan bantuan bagi membina semula parti itu.

Ong berkata beliau mendapat "respons optimistik" daripada anggota akar umbi berhubung keputusannya itu.

Bercakap pada sidang akhbar di sini Isnin, beliau berkata: "Saya umum kesediaan saya dan tawarkan diri untuk tanding jawatan presiden MCA pada pemilihan parti 21 Dis ini.

"Selepas (MCA) mengalami kekalahan pada pilihan raya umum ke-13 lalu, saya rasa terpanggil untuk memikul tanggungjawab bersama ke arah usaha untuk bangkitkan parti dan tebus maruah parti di mata rakyat." Ong memohon sokongan para perwakilan parti.

Sumber:  BERNAMA

Jarumemas: Hanya  jauhari yang megenali manikam. Pemimpin yang baik dan bermaruah akan sentiasa disanjung dan dihargai.