KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berharap muzakarah antara Umno dan PAS dapat disegerakan kerana ia memberi kesan positif kepada budaya baharu politik Melayu-Islam.
Yang di-Pertuanya Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan Selasa berkata sudah tiba masanya untuk pemimpin kedua-dua parti terbesar mewakili Melayu berlapang dada dalam menangani isu yang menyentuh kepentingan agama dan bangsa.
"YADIM juga menyeru supaya semua pihak menyokong usaha ini kerana permuafakatan sesama Islam adalah tuntutan agama. Usaha ini mempunyai nilai yang sangat tinggi dan hanya mereka yang berjiwa kecil sahaja tidak menginginkan usaha ini dilaksanakan," katanya.
Beliau menambah YADIM menyokong penuh sebarang usaha mengadakan muzakarah itu dan berpendapat kenyataan pemimpin kedua-dua parti Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang wajar disambut secara positif.
Asyraf Wajdi juga berkata umat Islam sudah mulai jemu dengan polemik kepartian dan pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan, hingga ada yang menggadaikan prinsip dan kepentingan agama serta bangsa.
Niat untuk mengadakan muzakarah itu disuarakan Abdul Hadi semasa menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Shah Alam, dekat sini Ahad lalu.
-Sumber: BERNAMA
Jarumemas: Ada baiknya demi agama dan orang Melayu. Kita tidak mahu anak cucu kita nanti hidup menumpang di tanah air sendiri dan kita akan disumpah oleh mereka kerana gagal menjaga dan mempertahankan maruah bangsa dan agama.
No comments:
Post a Comment