Wednesday, 19 June 2013

Rumah mampu milik jadi mahal?

SEORANG peserta dari Filipina dalam forum Projek Perumahan Mampu Milik Ke-4 di ibu negara baru-baru ini telah bangun bertanyakan soalan yang sebenarnya menjadi pertanyaan seluruh rakyat Malaysia.

Beliau bertanyakan mengapa berlakunya masalah pemilikan rumah mampu milik di Malaysia, adakah perkara itu berpunca daripada kurang kesedaran mengenai pemilikan rumah, ketiadaan subsidi daripada kerajaan atau Malaysia tidak mempunyai syarikat pemaju yang mencukupi?


Salah seorang yang berada di pentas forum berkenaan adalah Pengarah Urusan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Prof. Datuk Dr. Kamarul Salleh, yang dengan tenang mencatatkan pertanyaan peserta dari Filipina itu dan memberikan penjelasan.


Beliau yang kemudian ditemui pemberita untuk penjelasan lanjut, memberitahu, masalah jurang besar antara penawaran dan permintaan rumah mampu milik melibatkan beberapa faktor lain sehingga menyebabkan harga pasaran rumah pada hari ini melambung begitu tinggi.Antaranya, trend pasaran hartanah yang dipengaruhi dengan polisi membenarkan warga asing memiliki hartanah bernilai RM500,000 sehingga menyebabkan pemaju lebih yakin untuk membina rumah mewah yang sebelum ini hanya disasarkan kepada golongan berpendapatan tinggi di Malaysia.

Selain itu, kekurangan projek pembinaan rumah mampu milik secara besar-besaran juga berlaku kerana kenaikan harga bahan binaan sebagaimana yang dilihat semasa krisis kenaikan harga minyak dunia pada tahun 2008.

"Bagaimanapun, keadaan yang berlaku sekarang adalah tidak seimbang, kenaikan tahunan pendapatan rakyat Malaysia masih kecil tetapi harga rumah telah naik dengan begitu tinggi dan cukup dahsyat," katanya.
Masalah kenaikan mendadak harga rumah di negara ini begitu serius sehingga walaupun had pinjaman perumahan dinaikkan, golongan berpendapatan sederhana tetap tidak mampu memiliki hartanah itu.



Sumber: Utusan Malaysia

Jarumemas: Ada rakyat yang berpendapat bahawa pihak pemaju lebih mementingkan laba daripada memeikirkan kebajikan rakyat negara sendiri. Pemaju lebih suka membina rumah untuk orang luar negara kerana pulangannya  berlipat kali ganda, sedangkan rakyat sendiri menggigit jari melihat rumah orang kaya luar negara yang dibeli di Malaysia. 

No comments:

Post a Comment