Tuesday, 16 July 2013

Zambry: Kempen terpekik, maki hamun tak perlu


Barisan Nasional (BN) Perak akan menggunakan pendekatan komunikasi berterusan dan mengenal pasti setiap pengundi di kawasan yang dikategorikan sebagai 'kurang sambutan' semasa pilihan raya umum ke-13 yang lalu untuk kempen pada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut.

"Kita hendak orang keluar mengundi. Jadi kalau tidak kenal, tentunya agak sukar untuk kita memberi penerangan tentang apa agenda BN," kata Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata dalam memberi sokongan terhadap kempen BN di PRK Kuala Besut, pendekatan berceramah secara agresif seperti maki hamun dan 'terpekik' adalah tidak perlu.

"Kita tidak akan mengadakan ceramah, tetapi lebih kepada bertanya khabar dan melawat pengundi," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan program bersama penduduk di sekitar Kampung Lampu dan Kampung Nangka di Kuala Besut malam tadi.


Jarumemas: Terpekik, terlolong semasa berkempen memang tidak melambangkan keperibadian orang Melayu. 

PSM: Demo besar jika Parlimen tak bahas TPPA


Parti Sosialis Malaysia (PSM) memberi amaran akan mengadakan himpunan besar-besaran bagi membantah Perjanjian Perkongsian Rentas Pasifik (TPPA) jika kerajaan menandatanganinya tanpa perbahasan di Parlimen.

Bendahari PSM, A Sivarajan berkata Amerika Syarikat yang merupakan salah satu pihak dalam perjanjian perdagangan itu sendiri sudah membentangkannya di Kongres, namun Malaysia sehingga kini gagal memberikan jawapan mutlak isi perjanjian itu kepada orang ramai.

"Kalau TPPA dikuatkuasakan, kita akan gembleng 28 juta rakyat Malaysia seluruh negara untuk tentang perjanjian ini," kata Sivarajan kepada pemberita di hadapan pintu Parlimen pagi tadi.


Jarumemas: Terlalu banyak komen dan pandangan negatif yang ditimbulkan oleh rakyat dan penganalisis ekonomi, jadi kerajaan perlulah mendengar dan membuat kajian terlebih dahulu sebelum terjun ke dalam perjanjian ini. 

AG tolak undang-undang penahanan untuk pencegahan

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata beliau tidak menyokong pembentukan apa-apa undang-undang baru yang membenarkan penahanan untuk pencegahan.


Bagaimanapun Pejabat Peguam Negara masih belum menerima apa-apa deraf atau cadangan dari Kementerian Dalam Negeri atau mana-mana badan kerajaan berhubung undang-undang untuk menggantikan Ordinan Darurat (EO) yang membenarkan penahanan untuk pencegahan, katanya.

“Saya tidak akan bersetuju dengan penahanan pencegahan,” katanya kepada pemberita di dalam satu sidang media di Bangi hari ini.


Jarumemas: Adakah AKta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu dikembalikan?. Nampaknya pihak-pihak tertentu semakin berani mempermainkan undang-undang negara. 

Mukhriz: Kedah larang bukan Islam guna kalimah Allah

Kerajaan negeri Kedah tidak mengizinkan kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam dalam kitab mereka dan memberi amaran keras bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap golongan yang menyalahgunakan kalimah suci itu. 

Ketika memberi amaran itu, Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir turut menyifatkan golongan bukan Islam yang mahu menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu sebagai mempunyai manifestasi tidak baik terhadap umat Islam di samping cuba mengelirukan generasi muda Islam.


Jarumemas: Kalimah ALLAH khusus untuk penggunaan umat Islam sahaja. 

Masuk hari ke-5 kempen, PAS tukar rentak


 
ULASAN Memasuki hari kelima kempen pilihan raya kecil DUN Kuala Besut, PAS dilihat mula mengambil pendekatan 'menyerang' BN dengan membangkitkan pelbagai isu tidak kira isu tempatan atau nasional. 

Ketika pendekatan sentuhan langsung dilihat sama seimbang, PAS kini aktif membangkitkan isu-isu seperti masalah tanah dan rumah setempat, sosio-ekonomi masyarakat, kelemahan infrastruktur serta isu nasional seperti pelantikan pengerusi Tabung Haji baru.

Mereka juga menjadikan tema "16:16 Terengganu Baru" dalam kempen mereka mendapat penguasaan seimbang antara Pakatan Rakyat-BN dalam DUN Terengganu, yang bergantung kepada keputusan di Kuala Besut.

Pada tiga hari pertama kempen, PAS lebih tertumpu kepada usaha memperkenalkan calon mereka dan menyentuh masalah tanah, tetapi semalam parti Islam itu mula mendedahkan berdikit-dikit dakwaan pemilikan tanah empat pemimpin Umno Besut di DUN itu.

Setakat ini, tiada jawapan daripada pemimpin Umno melainkan ADUN Hulu Besut Nawi Mohamad yang mengakui memiliki lot tanah di kawasan Bukit Dendong, mukim Tembila, daerah Besut.

PAS juga mendakwa, berlakunya rampasan tanah - yang diberikan oleh kerajaan PAS pada 1999 - dan perobohan lima rumah yang kini dijadikan projek rumah pangsapuri yang mungkin diberikan "percuma" kerajaan BN. 

Bagaimanapun, faktor tempat yang penduduknya rata-rata bergantung maklumat kepada media arus perdana, pendedahan PAS itu mungkin tidak memberikan kesan besar kepada lawan mereka BN. - Oleh  Abdul Rahim Sabri



Jarumemas: Berkempenlah dengan berhemah. 

Monday, 15 July 2013

'Campur tangan Vatican semarakkan sentimen agama'


Malaysia tidak membenarkan campur tangan atau pengaruh asing dalam isu penggunaan kalimah Allah, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Dalam satu kenyataan hari ini, Anifah berkata sebagai sebuah negara berdaulat campur tangan sebegitu akan hanya menyemarakkan sentimen keagamaan di negara ini serta tidak membantu dalam menyumbang ke arah memastikan kestabilan dan keharmonian kaum serta agama di Malaysia.

"Perkara ini (isu kalacimah Allah) sedang didengar di Mahkamah Rayuan dan semua pihak perlu membiarkan kes itu diputuskan berdasarkan kedaulatan undang-undang negara," katanya. 


Jarumemas: Perlukah orang luar  yang menyibuk dalam kain kita? Apakah ada pihak-pihak tertentu yang menjolok duta tersebut supaya berkata demikian? Masakan tempua bersarang rendah. 

Besut: 'Sedikit kemajuan' selepas 34 tahun

Terdapat persamaan aneh antara pilihan raya kecil 24 Julai ini dengan apa yang berlangsung pada tahun 1979.

Pada 34 tahun lepas, anggota dewan undangan negerinya Zakaria Muda meninggal dunia pada 26 Jun - sama seperti tarikh kematian wakil BN Dr A Rahman Mokhtar pada tahun ini.

Tempoh berkempen pada 1979 juga berlangsung pada bulan Ramadan.

Dalam pilihan raya pada masa itu, Wan Zakaria Wan Abdul Rahman (BN) menewaskan Husin Jusoh (PAS) dengan majoriti 979.

Kali ini, calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berdepan Azlan Yusof daripada PAS.

Bagaimanapun, antara 1979 hingga 2013, masih terdapat persoalan berbangkit berhubung pembangunan di kawasan itu yang masih sedikit.

Nelayan Mohd Faizul Anuar Mat Sin dan Mohd Zaki Che Abdullah antara mereka yang merintih dengan keadaan itu.

Sumber: Malaysiakini

Jarumemas: Sebenarnya ADUN yang dipilih oleh rakyat di situ yang sepatutnya berusaha keras untuk memajukan daerahnya bukan hanya pandai menyalahkan kerajaan atas segala kemunduran dan kekurangan yang dihadapi.