Wednesday, 15 January 2014

PAS minta tumpu perbincangan selesai masalah rakyat

PAS meminta semua pihak berikan tumpuan kepada perbincangan untuk menyelesaikan masalah rakyat supaya kerajaan sedar untuk mentadbir dengan berhemah, baik dan adil.
Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata hanya dengan cara itu kesejahteraan dan keharmonian rakyat mendapat pembelaan dan penambahbaikan.
Beliau berkata demikian dalam akaun Facebooknya.

Jarumemas: Nasihat yang baik. 

Pemimpin Pakatan setuju perlu pendirian bersama dalam isu Allah

Pakatan Rakyat (PR) perlu mengambil pendirian bersama berhubung kemelut kalimah Allah yang belum berkesudahan, kata beberapa pemimpun selepas salah seorang penggubal undang-undang mereka memberi amaran bahawa keengganan membuat keputusan mengenai isu itu boleh menyebabkan pakatan pembangkang hilang sokongan pada pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, mereka masih belum menetapkan tarikh mesyuarat untuk membincangkan isu itu, yang marak semula awal bulan ini apabila pihak berkuasa Islam Selangor merampas Bible berbahasa Melayu dan Iban yang disyaki digunakan untuk berdakwah kepada orang Islam, bukan sekadar bertujuan upacara sembahyang.
 Pemimpin PR juga memberi amaran bahawa agama adalah topik sensitif yang perlu diselesaikan secara berhati-hati untuk mengelakkan keadaan beremosi. Secara keselurannya, masyarakat Islam di Malaysia ada 29 juta populasi dengan sekurang-kurangnyanya 10% menjadi Kristian.
Ahli Jawatankuasa PAS pusat, Khalid Samad, berkata beliau bersetuju pendirian bersama yang diambil gabungan pembangkang akan memberi manfaat.

Jarumemas: Eloklah bersatu demi agama, bangsa dan negara. Kalau sesama Islam pun tak sebulu, akan ada yang mengambil kesempatan untuk mengeruhkan lagi keadaan. 

Umno anjur 30 roadshow didik umat Islam tentang isu Allah

Umno Selangor merancang untuk mengadakan perhimpunan bersiri (roadshow) untuk mendidik umat Islam di negeri itu tentang undang-undang mengenai penggunaan kalimah Allah.
30 roadshow yang akan disertai semua 22 bahagian Umno di Selangor itu akan digunakan sebagai pentas untuk mendidik umat Islam mengenai Enakmen 1988 Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam), undang-undang yang melarang semua penganut bukan agama Islam menggunakan kalimah Allah dan 34 perkataan bahasa Arab yang lain di negeri ini.
Roadshow itu akan bermula malam ini di Sekinchan oleh Pengerusi Umno, Datuk Seri Noh Omar, dan diikuti dengan roadshow  Shah Alam pada 17 Januari dan Klang pada tarikh lain.
"Semuanya sudah dirancang dan terserah kepada setiap bahagian untuk memutuskan tempat dan tarikh. Roadshow ini adalah lebih kepada ceramah untuk mendidik umat Islam dan bukan Islam mengapa penggunaan Allah dilarang bagi yang bukan Muslim di negeri ini.
“Kita mempunyai dua penceramah untuk setiap roadshow yang akan berbincang tentang isu ini daripada segi undang-undang dan agama," katanya.
Beliau berkata, antara ahli panel terdiri daripada calon BN parlimen Shah Alam dalam PRU13, Datuk Zulkifli Noordin dan Rusdi Long.

Jarumemas: Buatlah solat hajat dan qunut Nazilah bagi mengatasi kemelut yang semakin meruncing ini. 

Gesaan Dr M ke Putrajaya tindakan terdesak, kata Kadir Jasin

Gesaan untuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke Putrajaya menunjukkan tekanan semakin meningkat daripada mereka yang mahukan kepimpinan lebih kuat, kata wartawan veteran.
Datuk A Kadir Jasin, bekas Ketua Pengarang New Straits Times berkata, mereka yang muak dengan kepimpinan sedia ada seperti bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin percaya bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat itu mampu membantu Putrajaya menangani pelbagai isu termasuk ekonomi dan agama.
"Ia bukan cadangan tidak masuk akal. Hanya menggambarkan mereka terdesak dalam siatuasi sekarang.
"Saya tidak fikir mereka serius mahukan Dr M kemballi, tetapi mereka mahukan kepimpinan yang kuat untuk Malaysia pada masa ini," katanya kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur.

Jarumemas: Kalau dah terdesak apa salahnya kalau dengan adanya beliau dapat memantap kepimpinan negara. 

Penyelesaian 10-perkara hanya polisi bukan undang-undang, kata NGO Melayu-Islam

Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam menegaskan penyelesaian 10-perkara dengan Kristian hanyalah satu polisi dan bukannya undang-undang yang boleh dikuatkuasakan, sambil mempertahankan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Persatuan Bible Malaysia (PBM).
Jurucakap sembilan pertubuhan tersebut, Datuk Zulkifli Nordin berkata sesebuah polisi tidak boleh membelakangi mana-mana undang-undang di dalam negara.
"Penyelesaian 10-perkara tersebut hanyalah sebuah polisi, ianya tidak boleh membelakangi sebuah undang-undang," kata Zulkifli dalam sidang media di pejabat Pertubuhan Masyarakat Sejahtera Malaysia (Muafakat) hari ini.
Menurut Zulkifli lagi, tindakan Jais menyerbu premis PBM berasaskan penerbitan Injil berbahasa Melayu dan Iban tersebut telah melanggar Seksyen 9, iaitu disyaki mengandungi perkataan-perkataan yang dilarang penggunaannya termasuk kalimah Allah.

Jarumemas: kekusutan ini perlu ditangani secara tuntas oleh pihak berwajib. Jangan sampai ada dalang yang memainkan peranannya secara licik 'menangguk di air keruh'. 

Lawak ‘kangkung’ Najib turut jadi berita antarabangsa

Gara-gara kenyataan kontroversi perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai harga kangkung yang turun di pasaran menyebabkan beliau bukan sahaja  dikritik hebat oleh rakyat bahkan turut mendapat liputan media antarabangsa.
Portal berita online BBC melalui kolum "#BBC Trending: Be careful what you say about spinach" (berhati-hati apa yang anda katakan tentang kangkung) menyiarkan, semenjak video kenyataan Najib itu dimuat naik, ia telah  dijadikan bahan lawak dan antara topik hangat dibincangkan dalam laman sosial.
Dalam portal tersebut menyifatkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan memuncak apabila perdana menteri mengeluarkan kenyataan tidak sensitif tatkala kenaikan harga barang dan perkhidmatan seperti gula dan tarif elektrik di Malaysia.
Portal itu juga berkata tindakan Najib itu dilihat memberi peluang kepada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bersama rakyat mentertawakan kerajaan.

Jarumemas: Pada pandangan teman, contoh bahan yang dikaitkan itu hanya spontan. Mengapa hendak dijadikan lelucon oleh pihak yang menjadi 'lampam di bawah jamban'? 

Tinjauan: Warga KL masih mampu bersarapan


Sarapan di luar? Barangkali tidak pada tahun 2014, demikian tanggapan sesetengah warga kota  yang meramalkan harga sarapan tahun ini pastinya meningkat ekoran kenaikan harga petrol, diesel dan gula tahun lepas.

Namun, tinjauan Bernama di sekitar Kuala Lumpur hari ini mendapati warga  kota masih mampu bersarapan di luar kerana rata-rata harga sarapan masih pada kadar berpatutan.

Malahan makanan kegemaran rakyat Malaysia iaitu nasi lemak juga masih  dijual pada harga RM1.50.

Pembantu Restoran Ala Kampung, Pandan Utama, Ampang, Lita Sulkan, 35,  berkata harga kebanyakan menu sarapan di restoran itu masih kekal seperti tahun  lalu namun ada beberapa menu yang dinaikkan harga tetapi hanya sebanyak 10 dan 20 sen sahaja.


Jarumemas: Teman lebih selesa bawak bekal dari rumah sahaja kerana ia lebih jimat dan kebersihan terjamin.